#390: Solat Dhuha Empat Rakaat Sekali Salam

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah solat Dhuha ditunaikan secara empat rakaat terus, kemudian memberi salam? Atau mesti solat dua rakaat, beri salam dan diikuti dua rakaat, beri salam. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat Dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :

 أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya: “Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat Muslim (721)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa solat dhuha ini dituntut oleh Rasulullah SAW. Dua rakaat solat dhuha yang disebutkan di dalam hadis ini menjelaskan berkenaan bilangan rakaat paling ringkas bagi solat dhuha. Meskipun begitu, ia tidaklah terhad kepada dua rakaat sahaja, bahkan para fuqaha al-Syafi’eyyah menjelaskan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat manakala bilangan rakaat paling maksima adalah sebanyak 12 rakaat seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi turut berkata: Sesungguhnya Nabi SAW melakukan solat dhuha ini pada sebahagian waktu dan baginda meninggalkannya pada sebahagian waktu yang lain, takut-takut orang ramai menyangka ia sebagai wajib atau takut-takut ia difardhukan ke atas mereka. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/37)

Berbalik kepada persoalan di atas, sunat hukumnya dilakukan solat sunat Duha secara dua rakaat satu salam, tetapi jika dilakukan dengan empat rakaat satu salam itu harus hukumnya. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/294)

Walaupun begitu, kami berpendapat agar dilaksanakan solat dhuha itu secara dua rakaat satu salam sebanyak empat rakaat atau lebih kerana demikian lebih dekat dengan nas. Daripada Ummu Hani R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى يَوْمَ الْفَتْحِ سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ وَيُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya:Bahawa Rasulullah bersolat Duha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan kota Mekah. Baginda mengucap salam setiap kali selesai dua rakaat.”

[Riwayat Abu Dawud (1290). Imam al-Nawawi berkata: Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan solat dhuha sebanyak lapan rakaat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/233)]

Selain itu, dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى

Maksudnya: “Solat sunat pada malam dan siang hari adalah dengan dua rakaat , dua rakaat.”

Riwayat Abu Dawud (1295)

Hadis sahih ini menjelaskan bahawa lebih utama (afdal) melaksanakan solat sunat dua rakaat dengan satu salam sama ada solat sunat pada malam hari atau siang hari. Oleh itu, solat sunat digalakkan untuk dilaksanakan dengan satu salam bagi setiap dua rakaat. Namun, sekiranya  mengabungkan  rakaat-rakaat  dengan  satu salam adalah harus. (Lihat  Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/30)

Pandangan yang menyatakan solat sunat dipisahkan kepada dua rakaat dengan satu salam adalah pandangan majoriti ulama mazhab termasuk mazhab Syafi’ie. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/416, 2/411)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H