#394: Bersalaman dengan Berlainan Jantina

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum bersalaman dengan berlainan jantina ajnabi? Sekiranya orang yang berlainan jantina dengan kita menghulurkan tangan untuk bersalaman, adakah kita boleh bersalam agar menjaga hatinya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam adalah agama rahmah yang sentiasa menyeru manusia agar mengeratkan persaudaraan. Islam sangat menggalakkan umatnya memberikan salam dan bersalaman antara satu dengan yang lain.

Bersalaman di atas tujuan bersilaturrahim kerana Allah SWT merupakan satu kemuliaan dan dijanjikan pengampunan dosa. Ini sepertimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bara’ bin Azib, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا ‏

Maksudnya: “Tidaklah dua orang Muslim itu bertemu, kemudian mereka bersalaman dengan berjabat tangan, kecuali akan diampuni (dosa-dosa) mereka berdua sebelum mereka berpisah.”

Riwayat Abu Dawud (5212) dan al-Tirmizi (2727). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib.

Maka berdasarkan hadis ini, hukumnya adalah sunat bagi seorang lelaki bersalaman dengan lelaki yang lain. Begitu juga, sunat bagi seorang perempuan bersalaman dengan perempuan lain. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Ibn al-Qasim, 1/178)

Dalam hadis lain, yang diriwayatkan daripada Qatadah RA, beliau berkata kepada Anas bin Malik RA:

أَكَانَتِ المُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Adakah terdapat perbuatan bersalaman dalam kalangan sahabat Nabi SAW?” Jawab Anas: “Ya.”

Riwayat al-Bukhari (6263)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Ibn Batthal menyebut, bersalaman merupakan satu kebaikan menurut kebanyakan ulama. Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa bersalaman merupakan sunnah yang disepakati ketika bertemu. (Lihat Fath al-Bari, 11/55)

Perbuatan ini juga telah dinaskan oleh kebanyakan para ahli feqah bahawa bersalaman adalah sunnah dengan berdalilkan kepada sejumlah khabar-khabar yang sahih dan juga hasan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/356)

Bersalaman Berlainan Jantina Ajnabi

Berkenaan dengan bersalaman berlainan jantina hadis daripada Muhammad bin Munkadir RA berkata, aku mendengar daripada Umaimah binti Ruqaiqah menceritakan:

جِئْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فِي نِسْوَةٍ نُبَايِعُهُ فَقَالَ لَنَا: ‏فِيمَا اسْتَطَعْتُنَّ وَأَطَقْتُنَّ إِنِّي لاَ أُصَافِحُ النِّسَاءَ‏

Maksudnya: Ketika aku datang bersama perempuan untuk membai’h kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW bersabda “Aku baia’h (perjanjian) kepada apa yang kalian mampu dan berupaya akan tetapi aku tidak berjabat tangan dengan wanita.”

Riwayat Ibnu Majah (2984)

Begitu juga hadis daripada Saidatina A’ishah R.Anha berkata:

وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ، مَا يُبَايِعُهُنَّ إِلاَّ بِقَوْلِهِ

Maksudnya: “Demi Allah, tangan Rasullullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekali pun dalam baia’h (perjanjian). Mereka hanya membaia’h dengan ucapan sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (4891)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam syarahnya melarang bersalaman di antara lelaki dan perempuan:

فَلَا يُصَافِحُ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ وَلَا عَكْسُهُ

Maksudnya: “Dilarang bersalaman lelaki dan perempuan dan begitu juga sebaliknya.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/56)

Dalam hal ini Imam Bujairimi di dalam Hasyiahnya menyatakan: “Dan disunatkan bersalaman iaitu sesama jantina, adapun sekiranya berbeza (jantina) pada yang mempunyai hubungan mahram, suami isteri, kanak-kanak yang tidak mempunyai daya tarikan (bersyahwat) atau orang tua dengan menggunakan pelapik maka dibolehkan tanpa bersyahwat dan mengundang fitnah.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, 3/385)

Pandangan Syeikh Yusuf al-Qardawi di dalam fatwanya menyatakan:

جواز مصافحة الرجل للمرأة بشرطين هما أن تكون هناك ضرورة، وحال أمنت الفتنة

Maksudnya: “Diharuskan bersalaman di antara lelaki dan perempuan sekiranya dalam keadaan darurat dan aman daripada fitnah.”[1]

Syeikh Ali Juma’h menyatakan: “Hukum bersalaman di antara lelaki dan perempuan ajnabi ulama berbeza pendapat berkenaan dengannya. Jumhur ulama mengharamkannya melainkan mazhab Hambali dan Hanafi membenarkan bersalaman dengan orang tua yang tidak mendatangkan syahwat dan tidak mendatangkan fitnah.” (Lihat Dar al-Ifta al-Misriyyah, fatwa no. 2287)

 

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama’ berbeza pendapat berkenaan hal bersalaman dengan berlainan jantina ajnabi. Dan jumhur ulama’ termasuk mazhab Syafie’ mengharamkan bersalaman di antara lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya.

Walaupun terdapat pandangan yang membolehkannya dengan bersyarat, sebaiknya keluar daripada perkara khilaf merupakan perkara yang dituntut.

Kami lebih cenderung kepada meraikan mazhab dan keadaan setempat. Sebagai contoh di Malaysia kebanyakannya bermazhab Syafie’. Akan tetapi sekiranya dalam keadaan dan situasi tertentu dibenarkan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] https://www.al-qaradawi.net/node/1494