#398 Cara Atasi Sikap Panas Baran

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya selalu melenting dan cepat sangat marah walaupun untuk hal-hal kecil sahaja. Jadi, bolehkah Datuk kongsikan dengan saya beberapa nasihat atau cara untuk saya mengawal sikap panas baran saya itu? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

(Surah Ali ‘Imran: 134)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya agar tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/238)

Definisi Marah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, marah ialah berasa panas hati kerana ditipu, dihina dan lain-lain.[1] Selain itu, perasaan marah adalah luahan emosi yang dialami setiap individu. Manusia mengekspresikan perasaan dan tingkah laku marah melalui proses peniruan yang dapat disaksikan dan dimodelkan dari persekitaran kehidupan harian. Terdapat banyak faktor menyebabkan timbulnya perasaan marah ini. Kebiasaannya, ia dikaitkan dengan peristiwa atau situasi yang berlaku yang memberikan ancaman kepada diri seseorang individu. Setiap kepercayaan dalam pelbagai agama, meletakan amarah sebagai satu tingkah laku yang mendatangkan kemudaratan pada diri orang yang marah dan diri orang yang kena marah. Hal ini kerana perasaan marah boleh merenggangkan perhubungan siraturahim di antara satu sama lain.[2]

Rasulullah SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan. Diceritakan bahawa Baginda tidak akan marah jika melibatkan urusan dunia atau urusan peribadi. Namun, Baginda akan marah jika melibatkan perkara yang menyanggahi kebenaran. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Hasan bin Ali yang bertanya kepada bapa saudaranya, Hindun bin Abu Halah berkenaan gambaran bagaimana Rasulullah SAW bercakap. Lalu beliau menceritakannya dan di antara perkara yang disebutkan ialah:

وَلَا تُغْضِبُهُ الدُّنْيَا، وَلَا مَا كَانَ لَهَا، فَإِذَا تُعُدِّيَ الْحَقُّ لَمْ يَقُمْ لِغَضَبِهِ شَيْءٌ حَتَّى يَنْتَصِرَ لَهُ، وَلَا يَغْضَبُ لِنَفْسِهِ، وَلَا يَنْتَصِرُ لَهَا

Maksudnya:Urusan dunia dan isinya tidak pernah membuatkan Baginda marah. Namun, jika kebenaran disanggah, Baginda tidak akan berdiam diri sehingga kebenaran itu ditegakkan. Baginda juga tidak pernah marah dan tidak memperjuangkan kepentingan peribadi.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (226)

Mengawal kemarahan

Mengawal kemarahan merupakan satu sikap yang sangat terpuji. Lebih-lebih lagi ia juga merupakan antara ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 134 daripada surah Ali ‘Imran, yang telah kami sebutkan di atas.

Selain itu, orang yang dapat mengawal kemarahkan juga disifatkan oleh Baginda SAW sebagai seorang yang kuat. Hal ini adalah sepertimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ

Maksudnya:Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat mengalahkan orang lain, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”

Riwayat al-Bukhari (6114)

Begitu juga orang yang dapat mengawal kemarahannya itu dijanjikan ganjaran, di mana dia boleh memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada M‘az bin Jabal R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ، دَعَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ اللَّهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ مَا شَاءَ

Maksudnya:Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya. Maka Allah ‘Azza wa Jalla akan memanggilnya di Hari Akhirat di hadapan makhluk-makhluk-Nya sehingga dia diberi pilihan oleh Allah untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya.”

Riwayat Abu Dawud (4777) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini sebagai hasan.

Dalam erti kata lain, orang yang menahan kemarahan ini akan diperkenalkan kepada sekalian manusia dan dipuji-puji disebabkan oleh sifatnya yang hebat — yakni berjaya mengawal kemarahan. Oleh itu, dia diberi pilihan untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya. Hal ini juga merupakan kinayah bahawa dia akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan memperoleh kedudukan yang tertinggi. Di samping itu, al-Tibi menyebutkan bahawa orang yang mampu mengawal kemarahannya diberi pujian disebabkan oleh kejayaannya dalam menundukkan hawa nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Oleh yang demikian, Allah SWT memuji mereka menerusi firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 134 dengan menyebutkannya sebagai antara ciri-ciri orang yang bertaqwa. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 13/95)

Cara-cara mengawal sikap panas baran

Sebenarnya, terdapat beberapa tip atau cara yang dapat kita amalkan dalam mengawal sikap amarah sebagaimana yang telah ditunjukkan kepada kita melalui petunjuk Nabi SAW. Antaranya ialah:

  • Mengambil wuduk. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya:Kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan itu pula dijadikan daripada api. Sesungguhnya api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia berwuduk.

Riwayat Abu Dawud (4784)

  • Mengubah kedudukannya kepada duduk jika dia sedang berdiri, dan kepada berbaring jika dia sedang duduk. Daripada Abu Zar R.A, beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya itu hilang (ketika dia sedang duduk, maka hal itu adalah baik). Namun, sekiranya masih lagi tidak hilang, maka hendaklah dia berbaring.”

Riwayat Abu Dawud (4782)

  • Beriltizam dengan wasiat Nabi SAW. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ bahawa beliau berkata kepada Baginda SAW:

يا رسول الله، دلَّني على عمل يدخلني الجنَّة. قال: لا تغضب

Maksudnya:Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda bersabda: “Janganlah kamu marah.

(Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/165 dan al-‘Iraqi menyebutkan bahawa hadith Abu Darda’ ini telah diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dan al-Tabarani dalam al-Kabir dan al-Ausat dengan sanad yang hasan. (Lihat juga Takhrij Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/1801)

  • Mendiamkan diri. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Riwayat Ahmad (2136)

Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa mendiamkan diri ketika marah merupakan penawar yang berkesan bagi sifat marah kerana ketika perasaan marah sedang membuak-buak berkemungkinan akan terkeluar daripadanya ungkapan-ungkapan yang tidak sepatutnya diucapkan seperti cercaan dan lain-lain yang akan mengakibatkan kemudaratan yang besar — seperti terguris perasaan orang lain atau mungkin akan memberi ancaman kepada diri sendiri. Oleh itu, apabila dia diam ketika sedang marah, maka hilangkan segala keburukan dan kemudaratan tersebut daripadanya. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/406)

  • Mengucapkan isti‘azah berlindung daripada syaitan. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا غَضِبَ الرَّجُلُ فَقَالَ: أَعُوذُ بِاللهِ، سَكَنَ غَضَبُهُ

Maksudnya:Apabila seseorang marah, hendaklah dia mengucapkan, ‘أَعُوذُ بِاللهِ’ (yakni Aku berlindung kepada Allah). Marahnya akan reda.

(Lihat al-Jami‘ al-Sahih li al-Sunan wa al-Masanid oleh Suhaib ‘Abd al-Jabbar, 8/467)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan penghujahan di atas, kami menyimpulkan bahawa perasaan marah hendaklah dikawal semampu mungkin kerana sekiranya ia tidak dikawal sehingga membiarkan perasaan marah itu menguasai diri, ditakuti akan mengakibatkan tindakan-tindakan di luar batasan syarak. Oleh sebab itu, mereka yang mampu mengawalnya disifatkan dengan sifat yang terpuji di sisi syarak serta dijanjikan dengan ganjaran yang besar.

Sekalipun begitu, terdapat beberapa keadaan, rasa amarah itu dibenarkan oleh syarak seperti berasa marah apabila agama Islam dihina atau marah ketika berlakunya kezaliman dan penindasan ke atas golongan yang lemah. Namun, rasa amarah itu tetap perlu dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul, dan tidak melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Akhir kalam, berusahalah sebaik mungkin untuk mengikuti nasihat-nasihat dan pesanan-pesanan Baginda SAW bagi menghadapi dan mengawal sikap panas baran sebagaimana yang telah kami sebutkan sebahagiannya di atas. Moga-moga ia dapat dijadikan sebagai pedoman dalam mengubati sikap panas baran dan mengawal rasa marah yang menutupi kewarasan akal seseorang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 3 Februari 2022 bersamaan 1 Rejab 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=marah. Diakses pada 4 Januari 2022.

[2] Lihat http://web.usm.my/mentor/download/pengenalan%20krisis,%20amarah,%20stres,%20krisis.pdf. Diakses pada 4 Januari 2022.