#439 Guna Peti Ais dan perkakas memasak Non-Muslim

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya kita menggunakan peti ais atau perkakas-perkakas memasak yang lain, yang ditinggalkan oleh orang bukan Islam kerana kemungkinan mereka ada menyimpan arak atau daging babi dalam peti ais itu atau memasaknya dengan menggunakan perkakas tersebut?  Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

(Surah al-An‘am: 145)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan tujuan yang terpenting — yakni untuk dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi berdasarkan ayat di atas. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)

Pada asasnya, kita tidak boleh menggunakan apa-apa bekas yang digunakan untuk memasak bahan-bahan bernajis di dalamnya — seperti daging yang tidak disembelih mengikut syarak, arak dan seumpamanya — melainkan setelah dibersihkan bekas itu terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Abu Tha‘labah al-Khusyani bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya:Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang engkau sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya engkau mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah engkau makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Para ulama menyebutkan, hadith ini dapat difahami bahawa bekas-bekas itu telah digunakan untuk memasak dan meminum bahan-bahan bernajis sebagaimana hal tersebut telah dinyatakan secara jelas dalam riwayat Abu Tha‘labah yang lain, katanya:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya:Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’

Riwayat Abu Daud (3839)

Al-Khattabi menyebutkan, hukum asal dalam perkara ini adalah jika diketahui bahawa orang bukan Islam itu memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan gelas-gelas mereka, maka tidak boleh menggunakan perkakas-perkakas itu melainkan setelah dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. ( Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/257.)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kenyataan al-Syirazi yang berpendapat makruh menggunakan bekas-bekas orang kafir dan pakaian-pakaian mereka sama ada mereka dalam kalangan Ahli Kitab atau selainnya, begitu juga sama ada mereka menggunakan najis dalam pengamalan agamanya atau selainnya adalah bermaksud jika tidak yakin atau pasti akan kebersihan bekas-bekas dan pakaian-pakaian itu. Hal ini kerana jika yakin dan pasti akan kebersihan perkakas-perkakas atau pakaian-pakaian mereka, maka ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa hukumnya tidak lagi makruh ketika itu untuk menggunakannya, sama seperti pakaian seorang Muslim. Di antara ulama yang menjelaskan hal ini ialah al-Mahamili dalam al-Majmu‘, al-Bandaniji, al-Jurjani dalam al-Bulghah, al-Baghawi, dua pemilik kitab al-‘Uddah dan al-Bayan dan selain mereka, dan kami tidak ketahui adanya perbezaan pendapat dalam masalah ini.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan lagi, apabila seseorang bersuci menggunakan bejana seorang kafir dan dia tidak tahu adakah bekas itu suci ataupun najis. Dalam hal ini, jika orang kafir itu daripada kalangan mereka yang tidak menggunakan najis dalam pengamalan agamanya, maka sah bersuci dengan bekas tersebut tanpa ada khilaf. Jika orang kafir itu daripada kalangan mereka yang menggunakan najis dalam pengamalan beragamanya, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang sahih dengan kesepakatan Ashab (ulama mazhab Syafi‘i) pada dua jalan bahawa sah bersucinya, dan ia merupakan nas Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Harmalah dan pendapat Qadim. Inilah juga pendapat Ibn Abi Hurairah. Manakala pendapat yang kedua pula, tidak sah bersucinya, dan ini merupakan pendapat Abu Ishaq dan disahihkan — yakni dipilih — oleh al-Mutawalli. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/263-264.)

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa harus menggunakan perkakas-perkakas orang bukan Islam dan pakaian-pakaian mereka berdasarkan hadith Abu Tha‘labah itu. Manakala perintah untuk membasuhnya pula adalah sunat kerana orang bukan Islam tidak menghindarkan diri mereka daripada bahan-bahan bernajis. Begitu juga diharuskan untuk berwuduk dengan menggunakan bejana-bejana mereka, jika mereka bukanlah daripada kalangan orang yang menggunakan najis dalam pengamalan agamanya. Akan tetapi jika mereka daripada kalangan orang yang menggunakan najis dalam pengamalan beragamanya seperti kelompok Majusi dan Brahmin yang mandi dengan air kencing lembu sebagai satu cara mendekatkan diri dengan tuhan, maka wuduk dengan menggunakan bekas mereka itu adalah sah tetapi makruh kerana hukum asalnya adalah suci. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/50-51.)

Tambahan lagi, dalam al-Fiqh al-Manhaji ada menyebutkan bahawa perintah membasuh perkakas itu adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan peti ais atau apa-apa perkakas milik orang bukan Islam kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya. Dalam hal ini terdapat satu kaedah menyebut:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya:Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.”(Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324.)

Namun, jika ada perkakas-perkakas lain yang dapat digunakan — selain daripada milik orang kafir itu — maka adalah lebih utama untuk menggunakannya terlebih dahulu. Begitu juga, kita disunatkan — dan bukannya wajib — untuk membasuh atau membersihkan perkakas-perkakas itu terlebih dahulu dengan air kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk bahan-bahan bernajis.

Akan tetapi, jika jelas terdapat najis padanya atau bukti kuat yang menunjukkan perkara tersebut, maka hukumnya adalah wajib untuk membersihkan perkakas tersebut terlebih dahulu daripada najis berkenaan sebelum menggunakannya. Jika ia dalam kategori najis mutawassitah (sederhana), maka membersihkannya adalah dengan menggunakan air mutlak. Jika ia dalam kategori najis mughallazah (berat) pula, maka menurut mazhab Syafi‘i, hendaklah dibasuh tujuh kali dengan air mutlak serta salah satunya daripada basuhan air bercampur tanah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H