#448: Berhutang Untuk Melakukan Aqiqah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya dan isteri ingin melakukan majlis aqiqah untuk cahaya mati kami tidak lama lagi. Namun, apabila melihat kepada kos perbelanjaan majlis tersebut, kami bercadang untuk berhutang bagi menanggung separuh daripada kos majlis tersebut. Apa pandangan ustaz tentang hal ini? Adakah sah aqiqah yang dilakukan dengan cara berhutang? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Akikah dari segi bahasa bermaksud nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong. Dari sudut istilah syarak pula bermaksud binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/55 dan al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami, hlm. 482)

Dalam erti kata lain, aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426)

Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2839)

Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Berdasarkan hadis di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafieyyah. (Lihat al-Majmu’, 8/431)

Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut di dalam kitabnya, bahawa waktu untuk melakukan aqiqah adalah bermula daripada kelahiran bayi tersebut sehinggalah waktu mencapai usia baligh. (Lihat al-Ghurur al-Bahiyyah, 5/171)

Berdasarkan hadis lain yang diriwayatkan oleh Buraidah Bin Husoib al-Aslami RA:

الْعَقِيقَةُ تُذْبَحُ لِسَبْعٍ ، أَوْ أَرْبَعَ عَشرَةَ ، أَوْ أَحَدَ وَعِشْرِينَ

Maksudnya: “Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari ketujuh, atau hari ke-14 atau hari ke-21.”

Riwayat al-Baihaqi (19771) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4882) dan al-Mu’jam al-Saghir (723)

Asalnya, disunatkan untuk buat hari ketujuh. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak berkemampuan, laksanakanlah pada hari yang ke-14. Jika tidak berkemampuan juga, laksanakan pada hari yang ke-21. Sekiranya tidak berkelapangan juga, buatlah pada mana-mana hari yang berkelapangan. Ini juga pandangan yang dinyatakan oleh Dar al-Ifta’ Mesir.[9]

Sebahagian ulama Syafi’i yang terkemudian berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan aqiqah kemudian berkelapangan selepas tujuh hari kelahiran, tidak disunatkan untuk melakukan aqiqah. Manakala sebahagian Syafi’iyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Namun, pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie menyebut bahawa hukum sunat kekal sehingga anak itu baligh. Selepas tempoh baligh, disunatkan anak itu membuat aqiqah untuk dirinya sendiri. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/139)

Berhutang untuk Melakukan Aqiqah

Pertamanya, ucapan tahniah daripada kami di atas bakal kelahiran cahaya mata sulung kepada tuan serta isteri. Semoga kelahiran anak tersebut bakal menjadi penyejuk mata dan hati keluarga. Amin.

Menjawab kepada persoalan di atas, hukum melaksanakan aqiqah dengan cara berhutang adalah sah disisi syarak. Namun begitu, konsep berhutang dalam melaksanakan sesuatu ibadat adalah satu perkara yang akan menjadi beban yang menyusahkan diri sendiri pada masa akan datang. Justeru, perbuatan seperti ini adalah tidak digalakkan sama sekali kerana tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:

مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Maraghi menyebut: “Dalam ketentuan syariat yang Allah SWT tetapkan kepada manusia, Allah SWT tidak sedikit pun bermaksud untuk membebankan manusia kerana Allah SWT tidak memerlukan manusia sedikit pun. Lagipun Allah SWT hanya mensyariatkan kepada manusia sesuatu perkara yang baik dan mendatangkan manfaat kepada manusia.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1500)

Selain daripada itu, terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya sepertimana yang dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya“Roh seorang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya sehingga hutangnya itu dilunaskan.”

Riwayat al-Tarmizi (1078) dan Ibn Majah (2413). Imam al-Tirmizi menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dalam Sunannya.

Syeikh al-Mubarakfuri menakalkan kata-kata Imam al-Sayuti dalam menjelaskan yang dimaksudkan dengan tergantung dalam hadith ini adalah tertahan daripada ditempatkan pada tempat yang sepatutnya.” (Lihat Tuhfaz al-Ahwazi, 4/164)

 

Nasihat dan Syor

Antara nasihat yang dapat kami anjurkan ialah:

  • Umat Islam disuruh untuk sentiasa berlumba-lumba dan terkehadapan dalam apa jua amalan kebaikan dan kebajikan. Ini berpandukan kepada nas Ilahi:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 148)

Syeikh al-Maraghi menyebut: “Bersegeralah kamu membuat apa jua kebaikan dan hendaklah setiap orang di antara kamu berkeinginan untuk bersaing dan berlomba-lomba untuk mengikut perintah pembimbing, bukannya perintah orang yang berlumba mencampakkan kebenaran sebab dia berlumba ke arah kejahatan dan kesesatan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/288)

  • Ibadat aqiqah adalah dituntut bagi mereka yang mampu untuk melaksanakan. Kemampuan tersebut dipandang dari segala aspek terutamanya dari sudut ekonomi keluarga. Elakkan daripada berhutang dalam melaksanakan ibadat aqiqah.

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa melakukan aqiqah dengan cara berhutang adalah sah sekiranya telah memenuhi dan menepati rukun-rukun aqiqah. Namun, ianya dihukum sebagai makruh. Ini kerana, amalan berhutang dalam beribadat adalah tidak digalakkan sama sekali.

Sebagai seorang yang waras, kita perlu tahu dalam menilai dan menimbang risiko-risiko yang akan mendatang akibat daripada amalan berhutang. Sememangnya telah terbukti bahawa amalan berhutang akan menjejaskan kehidupan seharian kita khususnya masyarakat Islam.

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melakukan ibadat menurut konsep syariah Islam yang sebenar. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx ID=12452&LangID=1&MuftiType=0&%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%82%D9%8A%D9%82%D8%A9_%D9%88%D8%A3%D8%AD%D9%83%D8%A7%D9%85%D9%87%D8%A7