#501 Membatalkan Solat Sunat Apabila Iqamah Dilaungkan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum membatalkan solat sunat apabila sudah iqamah? Hal ini kerana, saya pernah datang ke masjid dan tunaikan solat tahiyatul masjid. Tiba-tiba, belum saya habis solat, bilal sudah mula melaungkan iqamah. Adakah saya perlu habiskan solat tersebut, atau saya membatalkannya untuk terus ikuti solat fardhu secara berjemaah yang akan didirikan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat sunat merupakan antara amalan atau ibadat yang dituntut oleh syara‘ untuk dikerjakan. Solat-solat sunat yang dianjurkan tersebut juga menjanjikan fadhilat dan ganjaran yang tersendiri. Antaranya adalah, ia mampu menambah atau menampung kekurangan dalam solat fardhu seseorang. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَةٍ شَيْئًا، قَـالَ الرَّبُّ تَبَـارَكَ وَتَعَالَى: اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَيُكَمَّلُ بِهِ مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُوْنُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى نَحْوِ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat fardhunya ada yang kurang, maka Rabb Yang Maha Suci dan Maha Mulia berfirman: ‘Lihatlah, adakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat sunat, maka solat fardhunya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Kemudian dihisablah seluruh amalan wajibnya sebagaimana tadi.”

Riwayat al-Nasa’ie (451), (452) dan al-Tirmizi (411)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/509-528) ketika menjelaskan berkenaan solat-solat sunat atau solat nafal menyebut: Perkataan nafal (النَّفَلُ) dari segi bahasa bererti tambahan. Manakala pada istilah ialah solat lain solat fardhu. Ia dinamakan demikian kerana solat tersebut adalah tambahan  kepada solat fardhu. Solat ini juga disebut sunat, mandub atau mustahab.

Solat sunat terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian tidak sunat dilakukan secara berjemaah dan satu bahagian lagi sunat dilakukan secara berjemaah.

Berkenaan solat yang tidak sunat dilakukan secara berjema’ah, ia boleh dibahagikan kepada dua, iaitu solat yang mengiringi solat-solat fardhu, dan solat sunat yang tidak mengikut solat fardhu.

Pertama: Solat sunat mengiringi solat fardhu.

Solat sunat yang mengiringi solat fardhu terbahagi kepada dua iaitu sunat muakkad dan sunat yang tidak muakkad. Solat sunat muakkad ialah solat sunat dua rakaat sebelum solat fardhu Subuh, dua rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zuhur, dua rakaat selepas solat fardhu Maghrib dan dua rakaat selepas solat Isya’. Solat yang paling muakkad antara semua solat sunat tersebut ialah dua rakaat solat Fajar.[1]

Kedua: Solat yang Tidak Mengiringi Solat Fardhu

Solat sunat ini juga terbahagi kepada dua, iaitu solat sunat yang ditentukan namanya serta mempunyai waktu yang tertentu, dan solat sunat mutlaq yang tidak ditentukan nama dan waktunya.

Solat sunat yang ditentukan namanya serta mempunyai waktu yang tertentu adalah seperti berikut:

• Solat Tahiyyatul Masjid.
• Solat Witir.
• Qiamullail.
• Solat Dhuha.
• Solat Istikharah.

Manakala berkenaan solat sunat mutlaq yang tidak ditentukan nama dan waktunya, ia boleh dilakukan sebanyak mana yang dikehendaki dan pada bila-bila masa yang tidak makruh bersolat. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda kepada Abu Dzar RA:

الصَّلاَةُ خَيْرُ مَوْضُوْعٍ اسْتَكْثِرْ أَوْ أَقِلَّ

Maksudnya: Solat adalah sebaik-baik amalan. Justeru, lakukanlah sebanyak-banyaknya atau sekurang-kurangnya.

Riwayat Ibn Majah (901)

Semua solat sunat yang telah disebutkan di atas adalah tidak sunat melakukannya secara berjemaah. Manakala solat sunat yang sunat berjemaah ialah solat sunat dua Hari Raya, solat Tarawih, solat Gerhana Matahari dan Bulan serta solat Minta Hujan (Istisqa’). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509-528)

Membatalkan Solat Sunat Apabila Sudah Iqamah

Bagi menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu beberapa keadaan yang mungkin terjadi berdasarkan persoalan yang ditanyakan di atas:

Sedang solat sunat kemudian iqamah dilaungkan. Apa yang perlu dilakukan?

Keadaan Pertama: Sekiranya kita masuk ke masjid dan kemudian iqamah telah dilaungkan bagi menunaikan solat fardhu maka pada waktu itu makruh hukumnya untuk kita menunaikan apa-apa solat sunat dan hendaklah bersiap sedia untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

Maksudnya: “Jika sudah diiqamatkan solat, maka tidak ada solat melainkan solat maktubah (fardhu).”

 Riwayat Muslim (710)

Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi  pada bab hadis tersebut dengan mengatakan: “Makruh untuk mendapatkan nafilah (dengan menunaikan solat) selepas iqamah dilaungkan seperti solat sunat (ratib) Subuh, Zuhur dan selainnya  sama ada mengetahui dirinya akan mendapat rakaat bersama imam ataupun tidak.” ( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/221)

Keadaan Kedua: Sekiranya kita sedang solat sunat dan kemudian iqamah sedang dilaungkan, maka disunatkan untuk menyempurnakan solat sunat tersebut sekiranya tidak ditakuti akan terlepas solat berjemaah tersebut dengan imam memberi salam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُمۡ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merusakan pahala) amal-amalmu.

(Surah Muhammad: 33)

Digalakkan untuk meringankan (meringkaskannya dengan meraikan segala rukun solat) solat sunat tersebut dan bersegera untuk mendapatkan pahala berjemaah dan lebih utama lagi untuk mendapatkan takbiratul ihram bersama-sama imam.

Keadaan Ketiga: Sekiranya ditakuti akan terlepas solat berjemaah, maka disunatkan untuk memutuskan solat sunat tersebut dengan memberikan salam. Bagi solat Jumaat pula, sekiranya ditakuti akan terlepas jemaah solat Jumaat, maka pada keadaan ini, wajib untuk memutuskan solat sunat tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)

Keadaan keempat: Jika sedang melakukan solat sunat, kemudian dilaungkan iqamah untuk ditunaikan solat jemaah dan diketahui jika diteruskan solat sunat tersebut, maka akan terlepas solat jemaah, namun kuat pada sangkaannya akan ada jemaah yang baru datang untuk menunaikan solat jemaah, maka pada keadaan tersebut, paling utama adalah dengan menyempurnakan solat sunatnya itu.

Sekiranya sedang melakukan solat fardhu secara bersendirian, kemudian hadir jemaah untuk menunaikan solat secara berjemaah. Apakah yang perlu dilakukan?

  1. Sekiranya terdapat jemaah solat fardhu dan ada yang sedang solat bersendirian pada ketika itu sama ada solat subuh ataupun solat yang 3 rakaat (Maghrib) ataupun solat yang 4 rakaat (Zuhur dan Asar), sekiranya telah selesai 2 rakaat pertama dan berada pada rakaat ke-3, maka sempurnakanlah solat tersebutdan kemudian masuklah menyertai jemaah solat fardhu yang ada pada ketika itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)
  2. Sekiranya yang sedang solat bersendirian itu berada pada rakaat pertama atau masih lagi pada rakaat kedua (belum masuk ke rakaat ketiga), disunatkan untuk menukar niat kepada solat sunat, ringkaskannya kepada dua rakaat kemudian masuk menyertai jemaah solat fardhu yang ada pada ketika itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)
  3. Sekiranya tidak ingin memutuskan solat fardhu secara sendirian, juga tidak mahu menukarkan niat kepada solat sunat iaitu dengan terus berada di dalam solatnya secara bersendirian maka makruh hukumnya. Sah jika sekiranya masuk ke dalam jemaah yang mana menjadikan solatnya pada awal bersendirian dan akhirnya secara berjemaah.

Sebagai contoh: Umar sedang solat Zohor secara bersendiran di masjid dan sedang berada pada rakaat ketiga (sedang membaca al-Fatihah misalannya) lalu datang satu jemaah untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah. Jemaah telah memulakan solat dan Umar terus masuk ke dalam jemaah tersebut dengan meneruskan solatnya yang sedia ada. Apabila jemaah berada pada tahiyyat awal, ini menjadikan Umar berada pada tahiyyat akhir kerana pada asalnya Umar telah solat secara bersendirian sebanyak dua rakaat kemudian masuk menyertai jemaah. Pada keadaan ini, Umar boleh memilih sama ada untuk niat mufaraqah (berpisah dari solat berjemaah tersebut) dan memberikan salam atau Umar boleh tunggu sehingga memberikan salam bersama-sama imam.

Kesimpulan

Seperti mana yang telah dihuraikan di atas, sekiranya seseorang yang sedang bersolat sunat qabliyyah mendengar iqamah dilaungkan, maka dia boleh membatalkan solatnya jika dia takut akan tertinggal fadilat solat berjemaah.

Manakala jika kuat sangkaan dia sempat menyempurnakan solat tanpa tertinggal fadilat berjemaah, yakni takbir bersama imam, maka yang paling afdhal adalah dia selesaikan dahulu solat sunat berkenaan.

Semoga Allah SWT memasukkan kita dalam kalangan orang berjaya kerana sentiasa memelihara solat dan hak-haknya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

[1] Berkenaan pembahagian ini juga, kami telah jelaskan dalam Ahkam Syari’yyah sebelum ini dengan tajuk: #78 Solat Rawatib yang Muakkad dan Tidak Muakkad. (https://maktabahalbakri.com/78-2/)