Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum menjawab kiriman salam daripada seseorang kepada kita dan bagaimanakah cara untuk menjawabnya? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 86)
Di dalam mentafsirkan ayat di atas, Syeikh al-Sa‘di menyatakan dalam kitab tafsirnya bahawa ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/191)
Justeru, apabila seseorang daripada kalangan kita hendak memasuki sebuah rumah, tidak kira rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka berilah salam kepada sebahagian yang lain dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” atau “السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ” sekiranya tiada seorang pun di dalam rumah tersebut. Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Apatah lagi, ia disukai oleh orang yang mendengar. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 358)
Malah, sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum yang sama terpakai ketika memasuki masjid-masjid dan bukan semata-mata ketika memasuki rumah sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Juzai, 2/76.)
Amalan mengirim salam
Pada asasnya, amalan kirim mengirim salam ini telah dilakukan sejak dari zaman Nabi SAW lagi. Diceritakan bahawa Malaikat Jibril A.S juga pernah menitipkan salam melalui Nabi SAW kepada Aisyah R.Anha kerana Aisyah tidak dapat melihat Jibril. Beliau menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:
يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ، فَقُلْتُ: وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى
Maksudnya: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Dia mengucapkan salam kepadamu.” Lalu aku menjawab: “وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” (Dan ke atasnya keselamatan dan rahmat Allah).” Nabi SAW melihat apa yang tidak aku lihat.”
Riwayat al-Bukhari (3217); Muslim (2447)
Manakala dalam riwayat Imam Ahmad, Aisyah R.Anha menjawab salam tersebut dengan lafaz:
عَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Maksudnya: “Salam sejahtera kembali buatmu dan buatnya, rahmat Allah dan keberkatan-Nya.”
Riwayat Ahmad (24857)
Selain itu, pernah seorang sahabat menyuruh anaknya untuk berjumpa Nabi SAW dan berpesan untuk menyampaikan salam kepada Baginda SAW. Dalam riwayat tersebut anaknya berkata:
فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَبِى يُقْرِئُكَ السَّلاَمَ. فَقَالَ: عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ
Maksudnya: “Aku pun datang menemui Baginda, lalu aku sampaikan: ‘Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.’ Maka Baginda SAW menjawab: ‘Salam sejahtera kembali buatmu dan buat bapamu.’”
Riwayat Ahmad (23104); Abu Daud (2936) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13430)
Hadith di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga menjawab kepada orang yang diutuskan membawa pesanan salam itu. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 14/97)
Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini dengan menyebutkan bahawa menjawab salam seperti ini hukumnya wajib segera. Demikian juga jika dia menerima kiriman salam melalui kertas (yakni surat) daripada orang yang berada di jauh, wajib ke atas dirinya untuk menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/211.)
Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa apabila seseorang memanggil dari arah belakang dinding atau seumpamanya dengan berkata,
“السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا فُلَانُ” (Salam sejahtera ke atas kamu, wahai fulan) atau seseorang menulis surat dan memberi salam di dalamnya kepada penerima surat, atau seseorang mengutuskan seorang utusan dengan katanya, “Sampaikan salamku kepada fulan,” maka apabila sampai kepada orang tersebut surat, atau orang utusan, wajib ke atas orang tersebut menjawab salam dengan segera.
Begitu juga kita disunatkan untuk turut membalas salam kepada penyampai salam tersebut sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dengan mengucapkan lafaz salam, “وَعَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه” yang bermaksud “Ke atas kamu (utusan yang membawa salam) dan ke atasnya (orang yang mengirim salam) keselamatan, rahmat dan keberkatan daripada Allah jua.” Menurutnya lagi, dalam perkara ini terdapat hadith di dalam Sunan Abi Daud, tetapi sanadnya adalah lemah. Meskipun begitu, hadith-hadith mengenai fadhail amal boleh diamalkan sekalipun ia adalah lemah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/594)
Oleh itu, jelas bahawa apabila seseorang datang dan menyebut bahawa seseorang menyampaikan salam kepada kita, maka wajib untuk kita menjawabnya dengan segera. Demikianlah juga kita turut disunatkan untuk membalas salam kepada penyampai salam tersebut sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di atas.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa menjawab kiriman salam yang disampaikan adalah wajib. Dalam erti kata lain, tatkala sampai sahaja kiriman salam itu kepadanya sama ada melalui utusan yang menyampaikan atau kiriman surat atau sebagainya, maka wajib ke atasnya untuk menjawab salam itu secara lisan dengan segera.
Begitu juga disunatkan untuk turut menjawab salam kepada orang yang membawa pesanan salam tersebut dengan lafaz, “وَعَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه” (Ke atas kamu dan ke atasnya keselamatan, rahmat dan keberkatan daripada Allah jua). Hal ini kerana ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya. Lebih-lebih lagi, ia juga merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta, serta disukai oleh orang yang mendengar.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.