#7744: Sahabat Yang Mirip Dengan Rasulullah SAW

Soalan

Siapakah dalam kalangan sahabat yang rupanya hampir sama dengan Nabi SAW.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”[1]

Dr. ‘Aidh al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:

  • Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah SWT.
  • Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.
  • Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain.
  • Baginda SAW membina satu tamadun baru di antara sekalian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.
  • Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi.

Antara Para Sahabat Yang Mirip Dengan Nabi SAW:

  1. Al-Hasan bin Ali. Beliau merupakan cucu Rasulullah SAW dan merupakan anak kepada Ali bin Abu Talib RA bersama Fatimah R.Anha. Beliau merupakan adik beradik dengan Husain bin Ali. Hasan dilahirkan dua tahun setelah Hijrah ke Madinah.

Daripada Anas RA, katanya:

لَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَشْبَهَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ

Maksudnya:Tidak ada seseorang pun yang lebih menyerupai dengan Nabi SAW berbanding al-Hasan bin Ali.” [2]

  1. Al-Husain Bin Ali RA. Beliau merupakan cucu Rasulullah SAW dan merupakan anak kepada Ali bin Abu Talib RA bersama Fatimah R.Anha. Beliau merupakan adik beradik dengan al-Hasan bin Ali. Al-Husain dilahirkan empat tahun setelah Hijrah ke Madinah.

Daripada Anas bin Malik RA, katanya:

أُتِيَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الحُسَيْنِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا، فَقَالَ أَنَسٌ: كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالوَسْمَةِ.

“Kepala al-Husain A.S dibawakan kepada ‘Ubaidullah bin Ziyad (pemimpin Kufah yang berpihak kepada Yazid bin Mu‘awiyah). Lalu kepala itu diletakkan di atas sebuah talam (bekas). Dia mula menusuknya (diantara mata dengan hidung) serta mengatakan sesuatu tentang ketampanannya (dalam bentuk kejian).” Anas berkata: “Beliau (al-Husain) sangat mirip dengan Rasulullah SAW di antara kamu semua. rambutnya diwarna dengan wasmah.” [3]

  1. Jaafar bin Abi Talib RA. Beliau adalah Jaafar al-Tayyar, sepupu Rasulullah SAW dan adik beradik kepada Ali bin Abi Talib RA. Beliau syahid pada peperangan Mu’tah yang berlaku pada tahun ke 8 Hijrah.

Daripada Ali bin Abi Talib, bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Jaafar bin Abi Talib:

وَأَمَّا أَنْتَ يَا جَعْفَرُ فَأَشْبَهْتَ خَلْقِي وَخُلُقِي

Maksudnya: Kamu pula wahai Jaafar, menyerupai rupaku dan akhlakku.[4]

  1. Mus’ab bin Umair RA. Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang kibar. Beliau diutuskan bersama dengan Abdullah ibn Umm Maktum ke Madinah sebelum berlakunya hijrah.

Di dalam Peperangan Uhud yang berlaku pada tahun ketiga hijrah, diceritakan bahawa Mus’ab bin Umair RA memperlihatkan kecekalannya yang luar biasa mempertahankan diri Rasulullah SAW daripada serangan Ibn Qami’ah dan kuncu-kuncunya. Pada hari peperangan uhud tersebut, panji Islam berada di tangan Mus’ab RA, beliau telah dicantas sebelah tangan kanannya, lantas tangan kirinya mengambil panji berkenaan, penuh ketabahan hati beliau menghadapi serangan musyrikin hingga terputus tangan kirinya, sekali lagi beliau mempertahankan bendera Islam itu dari terjatuh dengan mengepitkannya ke dada dengan lehernya, akhir sekali beliau dibunuh oleh kaum musyrikin, pembunuhnya ialah Ibn Qami’ah yang menyangka bahawa Mus’ab RA adalah Rasulullah SAW, kerana beliau hampir menyerupai Baginda SAW. Setelah itu, Ibn Qami’ah terus berlari menemui musyrikin yang lain berteriak: “Muhammad telah terbunuh”.[5]

Kemiripan Fatimah R.Anha dengan Rasulullah SAW

Manakala Fatimah Binti Muhammad R.Anha merupakan anak Rasulullah SAW yang menyerupai baginda daripada sudut percakapan dan tutur kata sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

 مَا رَأَيْتُ أَحَدًا كَانَ أَشْبَهَ كَلَامًا وَحَدِيثًا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ، وَكَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبَّلَهَا وَرَحَّبَ بِهَا

Maksudnya: Aku belum pernah melihat seseorang yang sangat mirip dengan Rasulullah dalam hal percakapan dan tutur kata melebihi Fatimah. Jika Fatimah datang menemui Rasulullah, maka Rasulullah berdiri menciumnya dan menyambutnya.[6]

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat sebilangan lagi sahabat dan keturunan Nabi SAW yang rupa mereka mirip dengan Nabi SAW. Walapun begitu, Rasulullah SAW merupakan manusia yang terbaik dan juga contoh yang mesti diikuti oleh setiap ummatnya. Bahkan baginda memiliki akhlak yang mulia sebagaimana Firman Allah SWT:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. [7]

Syeikh Tahir Ibn Asyur dalam tafsirnya, al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: “Sebagaimana Allah SWT menjadikan rasul-Nya SAW di atas akhlak yang agung, dia juga menjadikan syariatnya supaya membawa manusia dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Dengan ini, bertambah jelaslah makna tamakkun yang membawa kepada huruf isti’la’, menggambarkan ketinggian pekerti serta nilai akhlak yang agung, yang dimiliki oleh Baginda SAW sehingga ia juga tamakkun dalam menyampaikan dakwah agamanya.”[8]

Bahasa yang digunakan oleh Baginda SAW sendiri berkenaan dengan objektif kebangkitannya untuk menyempurnakan Makarim al-Akhlak. Justeru, menyeru kepada akhlak yang mulia dan indah sudah pasti mewatakkan jiwanya dengan keluhuran budi dan kesantunan pekerti yang tinggi.

Akhirnya, semoga Allah menjadikan kita orang yang sentiasa mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan menjadikan baginda sebagai ikutan kita daripada segenap aspek.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Surah al-Anbiya’: 107

[2] Riwayat al-Bukhari (3752)

[3] Riwayat al-Bukhari (3748) .Wasmah ialah sejenis tumbuhan yang digunakan untuk mewarnakan rambut, berwarna gelap hampir kepada hitam.

[4] Riwayat Abu Dawud (2278), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra, (8456) dan al-Bazzar (851). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid (9/159) menyatakan para perawi hadith ini thiqah

[5] Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 209

[6] Riwayat Abu Dawud (5217), al-Tirmidzi (3872) dan al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (8369). Syeikh Syuaib al-Arnout menyatakan di dalam Takhrij Siyar A’lam al-Nubala (2/127) bahawa sanad hadith ini hasan

[7] Surah al-Qalam: 4

[8] Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir ,29/64

 

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.