#556: Berwuduk Sebelum Makan Jika Berjunub

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah orang yang berjunub perlu berwuduk terlebih dahulu sebelum makan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. ( Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44)

Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35.)

Begitu juga terdapat sebuah riwayat daripada Salman al-Farisi R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَرَكَةُ الطَّعَامِ الوُضُوءُ قَبْلَهُ وَالوُضُوءُ بَعْدَهُ

Maksudnya: “Keberkatan makan itu ialah dengan berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1846); Abu Daud (3761); Ahmad (23783)

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa makan selepas membasuh kedua-dua tangan menjadikan makanan itu lebih selamat dan enak kerana tangan tidak dapat lari daripada tercemar atau kotor disebabkan oleh aktiviti seharian kita, maka membasuhnya merupakan perbuatan yang lebih dekat (yakni terjamin) kepada kebersihan dan kesucian. Selain itu, di antara tujuan makan juga adalah untuk memudahkan kita beribadah (yakni memberi kekuatan untuk beribadah). Maka, perkara tersebut sesuai, lebih-lebih lagi ia selari dengan perbuatan bersuci bagi menunaikan solat (yakni berwuduk) yang mana dimulai dengan membasuh kedua-dua tangan. Manakala makna kedua bagi berwuduk di sini ialah membasuh kedua-dua tangan dan mulut daripada lemak-lemak daging yang melekat pada tangan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/470.)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (45/270) dinyatakan bahawa menurut mazhab Syafi‘i, membasuh tangan sebelum makan bagi orang yang berjunub hukumnya adalah sunat. Ini juga merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Hanafi dan Hanbali. Namun, Imam al-Nawawi secara jelas ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa makruh hukumnya bagi orang yang berjunub untuk tidur sehinggalah dia berwuduk. Begitu juga disunatkan, sekiranya dia mahu makan atau minum untuk dia berwuduk sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat serta membasuh kemaluannya pada setiap keadaan-keadaan ini. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/156)

Tambahan lagi al-Khatib al-Syirbini ada menyebutkan bahawa diqiaskan orang yang berjunub dengan perempuan yang haid dan nifas sekiranya telah berhenti darahnya. Begitu juga diqiaskan dengan perbuatan makan dan minum. Hikmah akan perkara tersebut adalah bagi meringankan hadasnya dan kebersihan. Sekiranya dia melakukan semua perkara tersebut — yakni seperti makan, minum dan tidur — dalam keadaan berjunub, hukumnya adalah makruh. Wuduk yang dimaksudkan disini ialah wuduk syar‘i  — yakni sebagaimana hendak solat — dan bukannya lughawi — yakni dengan maksud perbuatan membasuh tangan. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/195)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

كانَ رَسولُ اللهِ ﷺ إذا كانَ جُنُبًا، فأرادَ أنْ يَأْكُلَ، أوْ يَنامَ، تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sekiranya dalam keadaan berjunub. Kemudian, Baginda mahu makan atau tidur, Baginda akan berwuduk terlebih dahulu sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (288); Muslim (305)

Walau bagaimanapun, para ulama telah berselisih pendapat mengenai makna ‘berwuduk’ yang terdapat dalam hadith di atas, kepada dua pendapat:

  1. Ada yang berpendapat maknanya adalah sebagaimana wuduk bagi menunaikan solat.
  2. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat maknanya ialah membasuh kedua-dua tangan — yakni dari sudut bahasa. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)

Tambahan pula, pendapat kedua ini adalah berdasarkan kepada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللهُ علَيهِ وسلَّمَ إذا أرادَ أن ينامَ، وَهوَ جنبٌ، تَوضَّأَ. وإذا أرادَ أن يأْكلَ، أو يشربَ. قالت: غسلَ يدَيهِ، ثمَّ يأكلُ أو يشربُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sekiranya mahu tidur sedangkan Baginda dalam keadaan berjunub, Baginda akan berwuduk terlebih dahulu. Sekiranya Baginda mahu makan atau minum, Aisyah R.Anha berkata: ‘Baginda akan membasuh kedua-dua tangannya, kemudian barulah Baginda akan makan atau minum.’”

Riwayat al-Nasa’i  (257) dan al-Albani menilainya sebagai sahih.

Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah iaitu jika orang yang berjunub itu hendak makan, maka basuhlah kedua-dua tangannya terlebih dahulu. ( Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 10/233)

Walau bagaimanapun, Syeikh ‘Abd al-Aziz al-Rajihi menyimpulkan bahawa hadith ini menunjukkan keluasan dalam perkara tersebut. Hal ini kerana terdapat dalam hadith yang lain, sekiranya Baginda mahu makan, Baginda akan berwuduk terlebih dahulu. Sedangkan di dalam hadith ini pula menunjukkan Baginda hanya membasuh kedua-dua tangannya. Oleh yang demikian, perbuatan membasuh tangan itu, hukumnya adalah diharuskan. Akan tetapi sekiranya dia dapat berwuduk adalah lebih baik (afdhal) dan tiada masalah sekiranya dia meninggalkan wuduk sekalipun. Namun, sekiranya dia mahu tidur, dia hendaklah berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.

Selain daripada itu, dapat difahami daripada hadith itu bahawa urusan makan dan minum adalah lebih mudah berbanding hendak tidur. Hal ini kerana Nabi SAW tidak pernah tidur melainkan dalam keadaan berwuduk. Bahkan ketika Baginda dalam keadaan junub sekalipun, Baginda akan berwuduk sekiranya hendak tidur. Adapun mengenai soal makan dan minum, ada kalanya Baginda SAW akan berwuduk terlebih dahulu dan ada kalanya Baginda SAW makan dan minum tanpa berwuduk terlebih dahulu. (Lihat Syarah Sunan al-Nasa’i, 13/32-34)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan bagi orang yang berjunub untuk berwuduk terlebih dahulu sebelum makan dan minum — inilah yang afdhalnya — sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i.

Walau bagaimanapun, jika terdapat kesukaran untuk melakukannya — yakni berwuduk sebelum makan dan minum — maka sekurang-kurangnya basuhlah kedua tangan terlebih dahulu. Perbahasan mengenai hukum membasuh tangan sebelum makan, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #528 Basuh Tangan Sebelum Makan.[1]

Hal ini kerana tangan kita tidak dapat lari daripada tercemar atau kotor disebabkan oleh aktiviti seharian kita, maka membasuhnya merupakan perbuatan yang lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, (2/3). Malah ia juga adalah sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

 

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/528-basuh-tangan-sebelum-makan/. Diakses pada 21 Februari 2022.

[2] Lihat https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/mengapa-perlu-kerap-membasuh-tanganmembasuh-tangan-terutama-sebelum-makan-atau-s/10157140736861237/. Diakses pada 17 Februari 2022.