#566: Lafaz Cerai Ketika Bergaduh Lebih Tiga Kali

Soalan

Jikalau setiap kali bergaduh suami lafaz cerai apa hukumnya? Adakah tidak boleh lebih dari 3 kali? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami. [1]

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

( Surah al-Baqarah :229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. ( Lihat al-Fiqh al-Minhaji,4/123)

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadith:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Sebagaimana yang kami nyatakan di atas, lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas. Kata Imam al-Baijuri :

“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.”  (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.”  (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat, dan secara kinayah (kiasan) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam Syarak jika talak berkenaan disebut ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau.

Berdasarkan persoalan dan situasi di atas, setiap kali lafaz cerai disebut oleh suami ketika bergaduh, talak berkemungkinan besar jatuh, dan hendaklah segera dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk pengesahan lafaz talak. Hal ini penting sebagai rekod untuk menjaga kebajikan pihak isteri. Penyataan ‘tidak boleh lebih dari kali’ itu mungkin merujuk kepada talak bain kubra yakni wanita itu sudah ditalak tiga sehingga dia tertegah untuk berkahwin dengan lelaki terbabit selamanya sehinggalah dia berkahwin dan bersetubuh dengan lelaki lain kemudian bercerai.

Namun begitu, terdapat kemungkinan kecil bahawa si suami melafazkan talak dalam keadaan marah yang melampau sehingga menghilangkan akal beliau. Dalam hal ini, dengan sokongan doktor perubatan, boleh jadi talak itu tidak jatuh.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Mu’tamad  fi al-Fiqh al-Syafie, (4/163-166) , talak yang dilafazkan secara sarih (jelas, seperti cerai dan talak) dan ditujukan kepada isteri, oleh suami, adalah jatuh meskipun dilafazkan tanpa niat. Pengecualian diletakkan pada enam keadaan:

  • Orang yang tidur
  • Orang yang gila
  • Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  • Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  • Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  • Dipaksa dan mabuk bukan kerana maksiat

Bagi  keadaan yang keenam, sandaran nabawiyyah yang digunakan adalah hadith Rasulullah SAW:

لَا طَلَاقَ وَلَا عَتَاقَ فِي إِغْلَاقٍ

Maksudnya: Tidak berlaku talak dan pembebasan hamba yang dilakukan dalam keadaan Ighlaq.

Riwayat Abu Dawud (2193)

Imam al-Syaukani menyatakan di dalam Nail al-Autar (6/279) : “Maksud ‘fi ighlaq’… para ulama al-gharib (pakar dalam istilah-istilah yang sulit) menafsirkannya sebagai paksaan. Ini diriwayatkan daripada Ibn Qutaibah, al-Khattabi, Ibn Sayyid dan selain mereka. Dikatakan maksudnya ialah gila tetap al-Mutarrizi mengecualikannya. Dikatakan juga maksudnya adalah marah. Inilah yang terdapat dalam Sunan Abi Daud, satu riwayat daripada Ibn al-A`rabi dan tafsiran Imam Ahmad. Akan tetapi Ibn Sayyid mengkritik: “Kalau begitu tidak akan pernah berlaku talak kerana seseorang itu tidak mentalakkan melainkan dalam keadaan marah.” Abu Ubaidah menyatakan: Ighlaq itu penyempitan.”

Kesimpulan

Justeru dalam mazhab al-Syafie, talak yang dijatuhkan ketika bergaduh dan marah adalah sah. Namun kami juga cenderung juga kepada pendapat jika pergaduhan dan marah itu sifatnya melampau sehingga hilang akal dan perasaan, seperti orang gila, maka tidak jatuh talak. Bagi kedua-dua keadaan, memandangkan lafaz itu disebut secara sarih, hendaklah isteri atau suami itu wajib segera merujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah setempat bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai kerana urusan talak ini adalah urusan yang serius berkait dengan tujuan Syariah iaitu penjagaan nasab, keluarga dan keturunan.

Semoga Allah memelihara kita daripada bermudah-mudah dan bermain-main dalam isu talak.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=talak