#7748: Kedudukan Nabi Ibrahim AS di Langit

Soalan

Dimanakah kedudukan Nabi Ibrahim AS ketika isra’ dan Mikraj Nabi SAW? Adakah di langit keenam atau ketujuh, ataupun di sidaratul muntaha? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.[1]

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan: Allah memuji diri-Nya sendiri, mengagungkan kedudukan-Nya, kerana kekuasaan-Nya dan apa yang tidak dikuasai oleh siapapun selain Dia. dengan demikian, tidak ada tuhan yang behak di sembah selain Dia dan tidak pula ada Rabb selain diri-Nya saja. Dia lah yang telah memperjalankan hamba-Nyai iaitu Nabi Muhammad pada sebahagian malam dari Masjidil Haram di Makkahmenuju ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis yang terletak di Iliya yang merupakan pusat para Nabi sejak Nabi Ibrahim al-Khalil AS.  “Yang telah Kami berkati sekelilingnya.” Iaitu dengan pelbagai tanaman dan buah-buahan supaya Kami perlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW sebahagian daripada kebesaran Kami. [2]

Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut: Ayat ini menerangkan bahawa salah satu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ialah peristiwa Isra’ dan Mikraj, yang berlaku sekitar setahun atau satu tahun setengah sebelum berlakunya hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, dan menurut satu pendapat yang masyhur bahawa peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab.[3]

Kedudukan Nabi Ibrahim AS di Langit

Berdasarkan persoalan di atas, Nabi Ibrahim AS berada di langit yang ketujuh pada peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Malik bin Sa’sa‘ah R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:

 فَأَتَيْنَا السَّمَاءَ السَّابِعَةَ، قِيلَ: مَنْ هَذَا؟ قِيلَ: جَبْرَئِيلُ، قِيلَ مَنْ مَعَكَ؟ قِيلَ: مُحَمَّدٌ. قِيلَ: وَقَدْ أُرْسِلَ إِلَيْهِ؟ مَرْحَبًا بِهِ! وَلَنِعْمَ المَجِيءُ جَاءَ! فَأَتَيْتُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَقَالَ: مَرْحَبًا بِكَ مِنِ ابْنٍ وَنَبِيٍّ! فَرُفِعَ لِيَ البَيْتُ المَعْمُورُ، فَسَأَلْتُ جَبْرَئِيلَ، فَقَالَ: هَذَا البَيْتُ المَعْمُورُ يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرُ مَا عَلَيْهِ.

Maksudnya: Kami tiba di langit ketujuh. Dikatakan: “Siapakah ini?” Dikatakan: “Jibril.” Dikatakan: “Siapakah yang bersamamu?” Dikatakan: “Muhammad.” Dikatakan: “Adakah dia telah dijemput? “Selamat datang kepadanya! Sesungguhnya sebaik-baik orang yang datang kini telah pun datang!” Aku datang kepada Nabi Ibrahim A.S dan memberi salam kepadanya. Nabi Ibrahim A.S berkata: “Selamat datang untukmu, seorang anak dan seorang nabi.” Maka diangkatlah (disingkapkan dan didekatkan) Baitul Ma‘mur untukku. Aku bertanya kepada Jibril, maka Jibril menjawab: “Ini ialah Baitul Ma‘mur. Setiap hari, 70000 malaikat solat di dalamnya. Apabila mereka keluar maka mereka tidak akan kembali lagi kepadanya kerana itu merupakan kali terakhir mereka memasukinya.”.[4]

Begitu juga dengan lafaz yang lain, daripada Malik bin So‘so‘ah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW menceritakan kepadanya tentang malam Baginda diisrakkan (perjalanan Isra’ dan Mikraj). Baginda SAW bersabda:

ثُمَّ صَعِدَ بِي إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ، قِيلَ: مَنْ هَذَا؟ قَالَ: جِبْرِيلُ، قِيلَ: وَمَنْ مَعَكَ؟ قَالَ: مُحَمَّدٌ، قِيلَ: وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: مَرْحَبًا بِهِ، فَنِعْمَ المَجِيءُ جَاءَ، فَلَمَّا خَلَصْتُ فَإِذَا إِبْرَاهِيمُ قَالَ: هَذَا أَبُوكَ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، قَالَ: فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَرَدَّ السَّلاَمَ، قَالَ: مَرْحَبًا بِالِابْنِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ،

Maksudnya: Kemudian aku dibawa naik ke langit ketujuh lalu Jibril meminta pintu langit dibuka. Kemudian dia ditanya: “Siapakah ini?” Jibril menjawab: “Jibril.” Ditanyakan lagi: “Siapakah orang yang bersamamu?” Jibril menjawab: “Muhammad.” Ditanyakan lagi: “Adakah dia telah diutus (sebagai Rasul)?” Jibril menjawab: “Ya.” Maka dikatakan: “Selamat datang kepadanya dan ini sebaik-baik ketibaan orang yang datang.” Pintu pun dibuka dan setelah aku melaluinya, aku berjumpa dengan (Nabi) Ibrahim A.S. Jibril berkata: “Ini adalah datukmu (Nabi Ibrahim). Ucapkanlah salam kepadanya.” Maka aku memberi salam kepadanya dan (Nabi) Ibrahim membalas salamku lalu berkata: “Selamat datang wahai anak yang soleh dan nabi yang soleh.[5]

Di dalam riwayat Muslim, diceritakan juga bahawa baginda Nabi SAW melihat Nabi Ibrahim AS bersandar pada Baitul Ma’mur sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا أَنَا بِإِبْرَاهِيمَ صلى الله عليه وسلم مُسْنِدًا ظَهْرَهُ إِلَى الْبَيْتِ الْمَعْمُورِ، وَإِذَا هُوَ يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ لاَ يَعُودُونَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Aku berjumpa dengan Ibrahim SAW. Ketika itu baginda sedang menyandarkan belakangnya pada Baitul Ma’mur. Sebuah tempat yang seharinya dimasuki 70.000 malaikat. Para Malaikat yang pernah masuk ke tempat tersebut, tidak akan mengulanginya lagi.” [6]

Ibn al-Qayyim menyatakan: Ruh-ruh para Nabi berada di langit setelah berpisah daripada jasad, manakalah Ruh Rasulullah SAW naik ke langit dalam keadaan baginda hidup kemudian dikembalikan ke jasad baginda kembali sebagaimana dalam peristiwa isra’ dan mikraj.[7]

Ibnu Kathir berkata: Hakikat yang sebenar adalah bahawa sesungguhnya baginda SAW diisra’kan dalam keadaan sedar (bukan mimpi) dari Makkah menuju Baitul Maqdis dengan menaiki Buraq. Tasbih yang mengawali ayat ini menunjukkan bahawa apa yang terjadi adalah suatu perkara yang sangat besar. Sekiranya perkara tersebut terjadi hanya di dalam mimpi, sudah tentu perkara itu bukan sesuatu yang besar atau wajar dianggap besar. Orang-orang kafir Quraisy pun tidak akan mendustakannya, malah tidak akan terjadi fenomena murtad sebahagian orang-orang yang asalnya telah memeluk Islam.[8]

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa Nabi Ibrahim AS berada di langit yang ketujuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW semasa menceritakan kisah baginda di isra’ dan dimikrajkan kepada para sahabat sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Surah al-Isra’ : 1

[2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/5

[3] Lihat al-Tafsir al-Wasit, 2/1322

[4] Riwayat al-Bukhari (3207)

[5] Riwayat al-Bukhari, (3887) dan Muslim (164)

[6] Riwayat Muslim (162).

[7] Lihat Zad al-Ma’ad, 3/40

[8] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/42-43