#592: Solat sambil Memikirkan Perkara Haram

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah masih sah solat seseorang yang memikirkan perkara-perkara haram ketika solatnya seperti terfikir-fikir atau terbayang-bayang akan perempuan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebenarnya berfikir-fikir ketika solat ini, hampir berlaku kepada semua orang. Malah Imam al-Bukhari telah meletakkan dalam kitabnya satu bab yang dinamakan: “Bab mengenai Seseorang yang Memikirkan Sesuatu dalam Solatnya”. Kemudian, beliau mebukilkan kata-kata daripada Umar bin al-Khattab R.A:

إِنِّي لأُجَهِّزُ جَيْشِي وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mempersiapkan tenteraku (memikirkan mengenainya), ketika aku sedang menunaikan solat.”

(Lihat Sahih al-Bukhari, 1/427.)

Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Muhallab yang menyebutkan bahawa berfikir adalah perkara kebiasaan yang tidak mungkin seseorang itu akan terhindar daripadanya sama ada di dalam solat atau di luar solat, setelah Allah SWT menjadikan bagi syaitan-syaitan itu jalan ke atas manusia — yakni untuk menggodanya. Akan tetapi, perkara tersebut berbeza keadaannya kerana memikirkan mengenai perkara akhirat dan agama (di dalam solat) sudah tentu lebih ringan berbanding memikirkan mengenai perkara yang bersifat keduniaan. (Lihat Fath al-Bari, 3/117)

Tambahan lagi, Rasulullah SAW sendiri pernah teringat akan harta — yakni emas — yang berada di dalam rumahnya yang belum lagi dibahagikan ketika sedang mendirikan solat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Uqbah bin Harith R.A, beliau berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العَصْرَ، فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ سَرِيعًا دَخَلَ عَلَى بَعْضِ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ وَرَأَى مَا فِي وُجُوهِ القَوْمِ مِنْ تَعَجُّبِهِمْ لِسُرْعَتِهِ، فَقَالَ: ذَكَرْتُ وَأَنَا فِي الصَّلاَةِ تِبْرًا عِنْدَنَا، فَكَرِهْتُ أَنْ يُمْسِيَ – أَوْ يَبِيتَ عِنْدَنَا – فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ

Maksudnya:Aku menunaikan solat Asar bersama Rasulullah SAW. Apabila selesai memberi salam, Baginda SAW segera berdiri dan masuk ke rumah salah seorang daripada isterinya. Kemudian, Baginda keluar dan melihat orang ramai terkejut disebabkan ketergesaannya, lalu Baginda SAW bersabda: ‘Aku teringat ketika aku sedang menunaikan solat tentang emas yang kami miliki. Aku tidak suka jika sampai waktu petang – atau bermalam – emas itu masih ada pada kami. Maka, aku pun memerintahkan supaya ia dibahagikan.’

 Riwayat al-Bukhari (1221)

AL-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa hadith ini secara zahirnya menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mengulangi solatnya semula disebabkan perkara tersebut. Begitu juga, berfikir-fikir di dalam solat tidak menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah, selagi mana dia tidak meninggalkan mana-mana rukun solat. (Lihat Fath al-Bari, 3/118)

Ada dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa berfikir-fikir di dalam solat diharuskan sekiranya sedikit. Adapun memikirkan secara terus-menerus dalam waktu yang panjang sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dilakukan, maka dia termasuk orang yang lalai dalam solatnya dan wajib mengulanginya semula. Ini merupakan pendapat Ibn al-Tin. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula tidak bersetuju dengan pendapat ini dan membawakan bukti bahawa Umar R.A pernah memikirkan sesuatu perkara yang memerlukan suatu tempoh yang panjang seperti menghitung jizyah yang terkumpul dari Bahrain sedangkan ketika itu beliau sedang mendirikan solat.

Begitu juga, turut diceritakan bahawa Umar R.A pernah terlupa membaca surah al-Fatihah ketika menunaikan solat fardhu Maghrib kerana disibukkan dengan memikirkan mengenai rombongan yang beliau telah siapkan ke negeri Syam. Apabila menyedarinya, beliau mengulangi semula solatnya dan bacaan surah al-Fatihah tersebut. Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyimpulan, ini menunjukkan bahawa beliau mengulangi solatnya itu kerana meninggalkan bacaan surah al-Fatihah dan bukannya disebabkan oleh tenggelam dalam fikirannya. (Lihat Fath al-Bari, 3/117)

Di samping itu, Sayyid Sabiq juga ada menyebutkan bahawa meskipun solat dalam keadaan ini (yakni sibuk berfikir mengenai perkara yang tiada kaitan dengan solat) tetap sah dan diterima (yakni tidak perlu mengulanginya). Akan tetapi, sepatutnya orang yang mendirikan solat itu mesti menghadapkan hatinya kepada Allah SWT dan memalingkan daripada dirinya segala fikiran yang menyibukkan (yang tiada kaitan dengan solat) dengan memikirkan mengenai makna ayat-ayat (yang dibaca atau didengar) dan memahami hikmah bagi setiap perbuatan solat. Sesungguhnya tidak ditulis bagi seseorang itu (pahala) daripada solatnya melainkan apa-apa yang disedari (yakni difahami) daripadanya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/196)

Memikirkan perkara haram di dalam solat

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan, disunatkan khusyuk dan merendah diri dalam solat serta mentadabbur bacaan al-Quran, zikir-zikir dan apa yang berkaitan dengannya. Begitu juga hendaklah berpaling daripada memikirkan mengenai apa-apa perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang memikirkan mengenai perkara yang lain — yakni yang tidak berkaitan dengannya — dan banyak memikirkannya, solatnya tidak batal tetapi hukumnya adalah makruh sama ada perkara yang difikirkannya itu adalah sesuatu yang diharuskan atau diharamkan seperti meminum arak. ( Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/32)

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memaafkan umatku akan apa yang dibisikkan oleh hatinya,[1] selagi dia tidak melaksanakan atau mengucapkannya.

Riwayat al-Bukhari (5269)

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang yang memikirkan sesuatu di dalam solatnya, sama ada perkara tersebut banyak atau sedikit, harus atau haram, tidaklah membatalkan solatnya selagi mana tidak meninggalkan rukun-rukun solat. Walau bagaimanapun, jika perkara yang difikir-fikirkan itu tidak berkaitan dengan solat dan banyak, hukumnya adalah makruh. Begitulah juga, seseorang yang memikirkan mengenai hal ehwal perempuan semasa mendirikan solat, solatnya tetap sah sekiranya tiada apa-apa perkara yang membatalkannya seperti keluar sesuatu daripada kemaluannya — yakni air mazi dan seumpamanya — disebabkan oleh fikiran atau khayalannya itu.

Kami mengambil kesempatan di sini mengingatkan kepada semua, sekalipun solatnya tetap dianggap sah dan tidak batal, namun perbuatan berfikir atau berkhayal dalam tempoh yang lama atau banyak itu bukanlah suatu perkara yang digalakkan. Apatah lagi berfikir dan berkhayal mengenai perkara yang haram. Oleh itu, perbuatan tersebut hendaklah dihindari semampu mungkin. Selain itu, kita juga dituntut untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya. Khusyuk di dalam solat adalah merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran menerusi surah al-Mukminun ayat 1-2.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

 

[1] Apa yang dikatakan oleh hati mereka, yakni berniat.