#626: Lelaki Memakai Inai

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya biasa melihat, ketika majlis-majlis perkahwinan, biasanya pengantin akan diinaikan jarinya. Sesetengah keadaan, bukan sahaja pengantin perempuan memakai inai, malah pengantin lelaki juga diinaikan jarinya. Mohon pandangan ustaz, apakah hukumnya bagi lelaki memakai inai? Terima kasih.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Takrif Inai

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, inai merupakan sejenis tumbuhan pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari. Inai juga ditakrifkan sebagai benda untuk memerahkan kuku, yang dibuat daripada daun inai. Berinai pula adalah perbuatan memerahkan kuku dan jari dengan menggunakan inai.

Larangan Tasyabbuh (Lelaki Menyerupai Perempuan dan Sebaliknya)

Sebelum kami menjelaskan berkenaan isu di atas, perlu juga difahami terlebih dahulu berkenaan isu tasyabbuh (penyerupaan). Pada asasnya, lelaki adalah dilarang menyerupai perempuan dan begitu juga perempuan dilarang menyerupai lelaki. Hal ini sama ada dalam bentuk percakapan, pemakaian, keadaaannya dan seumpamanya.

Dalam Bahasa Arab, perkataan ‘tasyabbuh’ secara bahasanya bermaksud menyerupai sesuatu.

Dari segi perbahasan fiqh pula, ianya bermaksud seorang lelaki yang menyerupai perempuan, atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut:

  • Pakaian
  • Perhiasan
  • Percakapan dan suara
  • Gaya berjalan dan gerak badan
  • Mengubah bentuk fizikal badan

Hukum tasyabbuh adalah haram bahkan termasuk salah satu daripada dosa besar kerana telah thabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5886), Abu Dawud (4953) dan al-Tirmizi (2785)

Ibn al-Athir berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)

Dalam riwayat yang lain, disebut:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Dawud (4097), al-Tirmizi (2784) dan Ibn Majah (1904)

Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. Imam al-Syaukani turut menyebut bahawa hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. (Lihat Subul al-Salam, 2/421; Nail al-Autar, 6/230)

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. ( Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/57)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh antara lain menyatakan haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Menurut Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaymeen  dalam komentarnya terhadap masalah ini, katanya, “Ini kerana penyerupaan boleh membawa kepada kecacatan sunnatullah pada makhluk-Nya yang diciptakan lelaki dan perempuan.”

Hukum Lelaki Memakai Inai

Inai adalah perhiasan bagi wanita bukannya untuk lelaki. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:

أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: ‏ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ‏.‏ قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ ‏.‏قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ.‏ يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.

Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai).”

Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) dan Ahmad di dalam Musnadnya (26258). Al-Albani menilainya Hasan.

Dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan kepada tersangat digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 11/149) Al-Sanadi mula menyebutkan bahawa yang disebutkan dengan (لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً) itu membawa makna: “Sekiranya kamu meraikan syiar bagi wanita, nescaya kamu akan mengenakan inai pada tanganmu.”

Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadith yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5885)

Imam Ibn Battal menyebut bahawa al-Tabari mengatakan bahawa pada hadith di atas terdapat fiqhnya iaitu tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita pada sudut pakaian, perhiasan yang dikhususkan buat wanita. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 9/140)

Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW pernah membuang daerah lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم:  مَا بَالُ هَذَا‏.‏ فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ.‏ فَأُمِرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَقْتُلُهُ فَقَالَ:‏ إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas[1] yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?” Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita.” Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut dibuang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat.”

Riwayat Abu Daud (4928). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhoif (lemah).

Imam al-Nawawi menyebut:

أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي

Maksudnya: “Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dalam kalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/294)

Begitu juga al-Imam al-Syarwani di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki. (Lihat Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 4/59)

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.

Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai sama ada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Adapun bagi lelaki untuk mengenakan inai pada rambut, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini kerana terdapat hadith yang membenarkannya.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H

 

[1] Mukhannas adalah golongan lelaki yang meniru wanita dari sudut akhlak, percakapan dan juga pergerakan yang mana pada asal penciptaannya bukanlah begitu. Ianya dibuat-buat agar nampak seperti wanita.