#635: Doakan Keberkatan Berulang Kali

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika saya telah melihat sesuatu yang menakjubkan, adakah setiap kali melihatnya saya perlu mengulangi ucapan doa “Ya Allah berikanlah keberkatan”, atau cukup untuk diucapkan di awalnya sahaja?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nabi SAW telah menyuruh jika seseorang itu melihat saudara-saudara muslim yang lain apa yang menakjubkan, hendaknya mendoakan keberkatan, seabagaimana di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Bin Sahl RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu melihat hal yang menakjubkan daripada saudaranya, maka hendaklah mendoakan keberkatan kepadanya.”

Riwayat Malik di dalam al-Muwata’, 2/939 dan Imam Ahmad di dalam al-Musnad (25/355) dan Ibn Majah (3509)

Hadith di atas jelas menunjukkan perintah berdoa keberkatan dengan adanya ketakjuban, dan hal ini menuntut agar doanya berulang dengan berulangnya melihat dalam keadaan takjub ketakjuban.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan: Sebahagian salaf menyatakan: “Sesiapa yang merasa kagum dan takjub terhadap sesuatu daripada keadaan atau urusannya, hartanya, atau anak keturunannya, maka hendaklah dia mengatakan:

مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Maksudnya: Semua ini tercipta benar-benar atas kehendak Allah, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/158)

Justeru, apabila seseorang itu kagum dengan apa yang ada pada saudaranya hendaklah dia mendoakan keberkatan disamping memuji Allah sebagaimana yang dilakukan oleh para salaf al-soleh.

Namun begitu, sekiranya seseorang itu sudah berkali-kali melihatnya, dan meninggalkannya doa tersebut pada waktu yang lain, terdapat dua keadaan:

Pertama:

Sekiranya ketakjubannya kuat dan dikhuatiri akan menyebabkan penyakit ain, maka di sini, wajib untuk dia berdoa. Hal ini kerana seorang muslim diwajibkan kepadanya untuk menolak keburukan dan penyakit kepada saudara-saudaranya.

Ibn al-Qayyim berkata: “Jika seseorang itu berasa risau akan bahaya matanya dan akan mengenai orang lain, maka hendaklah dia menolak keburukannya dengan ucapan: “Ya Allah, berikanlah keberkatan kepadanya”, sebagaimana sabda Nabi SAW kepada ‘Amir bin Rabi’ah ketika penyakit ‘ain’nya mengenai Sahl bin Hanif: “Tidakkah kamu mendoakan keberkatan ?”, maksudnya, ucapkanlah: “Ya Allah berikanlah keberkatan kepadanya.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/156)

Ibn Abd al-Bar berkata: “Dan di dalam sabda Rasulullah SAW “Tidakkah kamu mendoakan keberkatan”, menjadi dalil bahawa penyakit Ain ini tidak membahayakan dan tidak menular jika pemilik mata tersebut mendoakannya, dan hanya akan menular jika tidak doakan keberkatan. Justeru, diwajibkan kepada orang yang takjub kepada sesuatu untuk mendoakan keberkatan, kerana jika dia mendoakan keberkatan, pasti dengan doa tersebut akan menghindarkan daripada bahaya yang dikhuatiri. (Lihat al-Tamhid, 6/240-241)

Kedua:

Jika dia belum mengenali penyakit ‘ain, dan tidak ada kerisauan pada dirinya mengenai penyakit ain, dan dia tidak risau bahawa dia akan mendatangkan bahaya kepada saudaranya dengan matanya, maka dia tetap disyari’atkan untuk berdoa keberkatan kerana hal ini termasuk dalam perkara berbuat baik kepada saudara-saudaranya, dan ia bukanlah termasuk dalam kewajipan kepadanya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa kita dituntut untuk mendoakan keberkatan kepada saudara kita apabila kekaguman datang di dalam diri kita walaupun berulang kali kita melihatnya. Mengenai penyakit Ain, kami sudah menghuraikannya di dalam artikel bertajuk Penyakit ‘Ain dan Rawatannya.[1]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/penyakit-ain-dan-rawatannya/