#644: Pewarna Cochineal

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum penggunaan pewarna cochineal? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, ‘Qul – katakanlah’ iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng lagi bidaah. Begitu juga firman Allah SWT, ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya’ iaitu perhiasan tersebut adalah sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah SWT buat sesiapa yang beriman kepada-Nya atau para hamba-Nya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka — yakni orang yang beriman — dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang kafir itu yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang kafir — yakni dari memasukinya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15)

Definisi cochineal

Cochineal ialah pewarna merah yang terdiri daripada badan sejenis serangga betina yang dipanggil cochineal yang telah dikeringkan.[1] Manakala serangga cochineal pula ialah sejenis serangga bersaiz kecil, pemakan kaktus merah dan betinanya merupakan sumber pewarna cochineal.[2] Serangga tersebut ialah Dactylopius coccus daripada famili Coccidae. Cochineal telah digunakan untuk menghasilkan warna merah menyala (scarlet), merah lembayung (crimson), oren dan lain-lain, serta untuk menyediakan pigmen-pigmen seperti lake dan carmine. Pewarna ini diperkenalkan ke Eropah dari Mexico, di mana ia telah digunakan lama sebelum kedatangan orang Sepanyol. Serangga cochineal ini akan disapu dengan teliti dari kaktus ke dalam beg. Kemudiannya ia dibunuh dengan rendaman dalam air panas atau dengan pendedahan kepada cahaya matahari, wap atau haba ketuhar. Ia memerlukan sebanyak 70000 serangga ini untuk membuat satu paun pewarna cochineal.[3]

Gambar di atas: Serangga Cochineal[4]

Secara umumnya, terdapat dua kaedah yang digunakan dalam menghasilkan pewarna cochineal iaitu tradisional dan kawalan. Mengikut kaedah kawalan, pengusaha menggunakan bakul kecil yang disangkut pada pokok kaktus untuk membiakkan cochineal selama tiga bulan. Manakala, kaedah tradisional pula hanya menggunakan tangan untuk mengutip cochineal yang hinggap pada pokok kaktus. Selepas proses pengumpulan dilakukan, cochineal dimasukkan ke dalam air yang panas atau dimasukkan ke dalam ketuhar yang panas sehingga warnanya bertukar kepada warna gelap. Kemudian, ia dijemurkan selama dua hingga ke tiga hari untuk memastikan ia betul-betul kering dan bebas daripada sebarang kelembapan. Proses diteruskan dengan menggoncangkan cochineal ke dalam satu bekas untuk proses pengasingan bendasing. Lalu, cochineal tersebut ditumbuk halus sehingga menghasilkan pewarna merah yang dikenali sebagai karmin.

Warna-warna yang dihasilkan oleh serangga ini memainkan peranan yang sangat penting kepada industri makanan, kosmetik dan farmasi. Di antaranya, ia dicampurkan dalam daging dan ikan yang telah disejuk beku, minuman ringan, yogurt, ais-krim, produk tenusu, sirap, buah-buahan dalam tin dan sebagainya. Manakala dalam bidang farmasi pula menggunakan ‘khidmat’ pewarna cochineal sebagai ejen pewarna untuk pil dan minyak angin. Begitu juga dalam bidang kosmetik pewarna cochineal ini digunakan bagi menghasilkan lipstik, produk penjagaan rambut, dan sebagainya.[5]

Gambar di atas: Serangga cochineal yang berada di kaktus

Hukum pewarna cochineal

Pada asasnya, perkara ini berkait rapat dengan perbahasan ulama mengenai hasyarat kerana serangga cochineal termasuk dalam jenisnya. Jumhur ulama berpendapat bahawa hasyarat — yakni termasuklah serangga, kutu dan haiwan kecil yang melata di bumi — adalah haram untuk dimakan kerana ia dianggap jijik dan kotor, serta tabiat semula jadi manusia menjauhinya. Ini merupakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan Daud sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Pengharaman ini adalah selari dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi “الطَّيِّبَاتِ” ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan “الْخَبَائِثَ” pula bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83)

Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya berhujah dengan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa maknanya ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16) Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[6]

Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga berpendapat bahawa tidak halal untuk makan apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat  seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam jenisnya kerana haiwan-haiwan itu tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada haiwan tersebut sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram untuk dimakan kerana terdapatnya halangan bagi memakannya — yakni tidak boleh disembelih — kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77)

Manakala Imam Malik pula berpendapat bahawa hasyarat adalah halal untuk dimakan sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. Ibn Qudamah turut menyebutkan dalam kitabnya bahawa Imam Malik, Ibn Abi Laila dan al-Auza‘i berpendapat diharuskan untuk memakan kesemua jenis hasyarat kecuali cicak. Ibn ‘Abd al-Bar menyatakan, para ulama telah bersepakat akan pengharaman cicak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16; al-Mughni, 9/406)

Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi’.

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”

Riwayat Abu Dawud (3798)

Sekalipun serangga haram dimakan, namun para ulama berselisih pendapat mengenai status bangkai serangga kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang darahnya tidak mengalir. Menurut al-Bakri, di antara ulama yang berpendapat bahawa bangkai haiwan yang darahnya tidak mengalir adalah suci ialah Abu Hanifah dan Malik, serta al-Qufal dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Begitu juga, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya bahawa semua haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti lalat, nyamuk, kutu, kumbang dan seumpamanya, bangkainya adalah dikira sebagai suci. (Lihat I‘anah al-Talibin, hlm. 108; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/45)

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa darah haiwan yang darahnya tidak mengalir seperti kutu, lalat dan seumpamanya; terdapat dua pendapat dan salah satunya ialah ia adalah suci. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah ‘Ata’, Tawus, al-Hasan, al-Sya‘bi, al-Hakim, Habib bin Abu Thabit, Hammad, al-Syafi‘i dan Ishaq. Hal ini kerana kalaulah darah kutu itu adalah najis, sudah tentu ia akan menajiskan air yang sedikit jika ia mati di dalamnya. (Lihat al-Mughni, 2/60-61)

Di samping itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal: Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).
  2. Muzakarah juga menegaskan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir.
  3. Berdasarkan ketetapan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 178-179)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat penggunaan pewarna cochineal adalah diharuskan selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan kerana bangkai serangga cochineal — yakni haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir — dianggap suci sebagaimana pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun, kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Lebih-lebih lagi pewarna yang dihasilkan daripada cochineal ini juga dilihat memberi manfaat dan sangat memainkan peranan penting kepada industri makanan, farmasi dan kosmetik. Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/cochineal. Diakses pada 3 Mac 2022.

[2] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/cochineal%20insect. Diakses pada 3 Mac 2022.

[3] Lihat https://www.britannica.com/technology/cochineal. Diakses pada 3 Mac 2022.

[4] Gambar diambil daripada https://halalindustryquest.com/2015/01/26/food-colouring-cochineal-in-islam/. Diakses pada 3 Mac 2022.

[5] Lihat Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Pewarna Makanan dari Serangga (Cochineal) Menurut Perspektif Halal: Analisis Fatwa di Beberapa Negara Asean oleh Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, et. al, Januari 2020, Vol. 19, No. 1, Universiti Sains Islam Malaysia.

[6] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 2 Mac 2022.