#678: Qadha’ Solat Untuk Keluarga Yang Meninggal Dunia

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seorang muslim mengantikan semula solat yang ditinggalkan ketika hidup bagi seorang muslim lain yang sudah meninggal?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat adalah suatu ibadat yang disyariatkan kepada setiap individu, dan tidak dibolehkan untuk dilakukan oleh orang lain. Begitulah juga halnya selepas seseorang itu meninggal, tidak boleh untuk mengantikan solat yang ditinggalkan. Inilah pendapat jumhur ulama terhadap masalah ini. (Lihat Hasyiah Rad al-Mukhtar, 2/79; I’anah al-Thalibin, 1/33)

Firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ (39) وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ (40) ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ

Maksudnya:Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari akhirat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.”

(Surah al-Najm: 39-41)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini menyebut bahawa di sisi ahli ta’wil ayat ini adalah muhkam, tidak boleh seseorang melakukan amalan untuk yang orang lain, dan mereka berijma’ bahawa tidak boleh seseorang melakukan solat untuk orang lain. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/114)

Individu yang meninggal dunia dan dia pernah meninggalkan solat, maka ahli waris tidak perlu melakukan menqadha’kan solat untuk si mati dan juga tidak perlu membayar apa-apa fidyah. Ini merupakan pendapat majoriti ulama iaitu ulama bermazhab Maliki, pendapat yang muktamad menurut mazhab Syafi’i dan juga pendapat ulama bermazhab Hanbali. Hujah mereka, solat adalah ibadah yang dilakukan dengan anggota badan semata-mata dan tiada hadith sahih yang mengatakan perlu membayar fidyah solat yang ditinggalkan, berbeza dengan puasa. (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 272; Hasyiah I’anah al-Talibin, 1/33; Kassyaf al-Qina’, 2/336; Hasyiah al-Raudh al-Murabba’, 3/440)

Solat yang ditinggalkan juga tidak perlu diqadha’ oleh ahli waris kerana terdapat hadith mauquf yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Abbas, katanya:

لا يُصلِّي أحدٌ عن أحَدٍ، ولا يصومُ أحدٌ عن أحَدٍ

Maksudnya:Janganlah seseorang itu melakukan solat untuk orang lain, Janganlah seseorang itu berpuasa untuk orang lain”

Riwayat al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (2930). Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir (2/811) menyatakan sanad hadith ini sahih

Namun begitu, terdapat sebahagian ulama bermazhab Syafi’i menyatakan, jika si mati ada meninggalkan solat fardhu semasa hidupnya, maka ahli warisnya perlu menqadha’kan solat itu, serta boleh diambil daripada harta peninggalan si mati untuk membayar kafarah kerana meninggalkan solat tetapi ia bukan fidyah. Al-Malibari di dalam Fath al-Mu’in menyatakan bahawa pernah diriwayatkan bahawa Imam al-Subki pernah menqadha’kan solat untuk ahli keluarganya yang sudah meninggal dunia. Hujah pendapat ini, diqiyaskan qadha’ solat si mati dengan qadha’ puasa si mati. Manakala menurut sebahagian ulama bermazhab Hanbali, jika si mati pernah bernazar untuk melakukan solat tetapi dia tidak sempat melaksanakan solat nazar itu, maka wajib ahli warisnya untuk melakukan solat tersebut. (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 272; Kassyaf al-Qina’, 2/336)

Manakala para ulama mazhab Hanafi dan sebahagian ulama mazhab Syafi’I menyatakan, jika si mati ada meninggalkan solat semasa hidupnya, maka wajib membayar fidyah bagi setiap waktu solat yang ditinggalkan dengan kadar 15 tahil beras. Tetapi tidak perlu mengqadha’kan solat tersebut. Menurut Imam Abu Hanifah, fidyah tersebut hanya wajib dibayar jika si mati mewasiatkan agar dibayarkan fidyah itu selepas kematiannya. Namun menurut sebahagian ulama bermazhab Hanafi, wajib membayar fidyah itu walaupun tidak diwasiatkan oleh si mati. Hujah pendapat ini, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahwa Nabi SAW bersabda, “Janganlah seseorang itu melakukan solat untuk orang lain dan janganlah seseorang itu berpuasa untuk orang lain. Tetapi bagi setiap hari yang ditinggalkan itu diberi makanan sebanyak satu mud bijirin.” Hadith ini secara jelas menyatakan bahawa orang yang meninggalkan solat dan puasa hendaklah dibayar fidyah sebanyak satu mud bijirin. Namun menurut majoriti ulama yang berpendapat bahawa tiada fidyah solat, hadith ini dha’if serta ia lebih tepat merujuk kepada fidyah puasa sahaja. (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 272, dan Hasyiah I’anah al-Talibin, 1/33)

Oleh itu, pendapat yang paling tepat ialah jika si mati pernah meninggalkan solat, maka ahli warisnya tidak perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengqadha’kan solat tersebut.

Fatwa-Fatwa Berkenaan Qadha’ Solat Untuk Orang Lain

  • Menurut keputusan Fatwa Negeri Pulau Pinang: “Tiada diqadhakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi solat si mati.”
  • Menurut keputusan Fatwa Negeri Perlis: “Di dalam solat tidak ada fidyah kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Tinggal solat dengan sengaja itu tidak ada jalan untuk menebusnya melainkan bertaubat Nasuha’.”[1]
  • Menurut Fatwa Negeri Melaka: “Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil 3/2007 yang bersidang pada 2 Zulhijjah 1428H bersamaan 12 Disember 2007 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa: Tiada qadha’ dan tiada fidyah bagi solat yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta’ daripada Ibn Umar radhiyallahu anhuma:

لاَ يَصُوْمُ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ وَلاَ يُصَلِّىْ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ

Maksudnya: “Seseorang tidak boleh puasa untuk menggantikan puasa orang lain, dan tidak pula solat untuk menggantikan solat orang lain”. [2]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan terdapat tiga pendapat mengenai hukum fidyah solat dalam mazhab Syafie, antaranya:

  • Tidak diqadhakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi solat si mati dan ini merupakan pandangan muktamad di dalam mazhab Syafie
  • Diqadhakan solat si mati oleh waris atau kerabatnya, boleh dikeluarkan harta peninggalan si mati bagi tujuan tersebut tetapi tidak dibayar fidyah. Antara ulama yang membolehkan qadha ialah Imam Subki.
  • Boleh dibuat fidyah ke atas setiap waktu yang ditinggalkan oleh si mati dengan kadar 15 tahil beras setiap solat. Mengikut mazhab Abu Hanifah, boleh diberi fidyah sebagaimana fidyah mereka yang meninggalkan puasa.

Setelah meneliti pelbagai pandangan, kami lebih cenderung kepada pendapat tidak perlu difidyahkan dan diqhada’kan solat si mati dan ia merupakan pandangan muktamad di dalam mazhab al-Syafie dan majoriti para ulama’ mazhab yang lain. Hal ini kerana tiada sebarang dalil qat’ie dalam hal ini. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabat serta salaf al-soleh tidak pernah melakukannya.

Kami juga bersetuju dengan kaedah asal ibadah itu adalah tawaqquf dan ta’abbudi. Kaedah menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ التَّوَقُّفُ

Maksudnya: Asal bagi ibadah adalah terhenti (kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.)

Ini memberi maksud bahawa asal ibadah adalah tawaquf kepada dalil dan hujjah. Selagi mana tiada dalil dan hujjah, maka tidaklah boleh diqadha’ ibadah bagi pihak orang lain, khususnya solat. Ini pula berlainan dengan puasa dan haji kerana terdapat nas jelas yang membenarkannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 11 Mac 2022 bersamaan 8 Syaaban 1443H

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11089

[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10543