#714: Berdua-duaan Berlainan Jantina dalam Kenderaan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya berdua-duaan dalam kenderaan dengan pemandu berlainan jantina yang bukan mahram? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ الـمـَـوْتُ

Maksudnya:Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita-wanita. Seorang lelaki Ansar berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu dengan al-Hamwu (iaitu kaum kerabat suami yang halal dinikahi)?’ Baginda menjawab: “Al-Hamwu ialah kematian.”

Riwayat al-Bukhari (5232)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ. فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً، وَاكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: ارْجِعْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ

Maksudnya:Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya. Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu’.

Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. Sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut di situ sama seperti tiada. Selain itu, ulama-ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tiada beza dalam pengharaman khalwat — antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah — sama ada khalwat itu berlaku ketika solat atau selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan larangan berdua-duaan antara lelaki dan wanita ajnabiyyah merupakan kesepakatan para ulama. Akan tetapi para ulama berbeza pendapat adakah keperluan adanya mahram ini boleh digantikan dengan bukan mahram yang lain, contohnya seperti adanya sekumpulan wanita-wanita yang dipercayai? Pendapat yang sahih ialah ia adalah dibolehkan kerana kurangnya fitnah dan tohmah dalam hal tersebut. Manakala al-Qaffal tetap berpendapat bahawa mesti ada juga mahram. Begitu juga halnya dengan sekumpulan wanita yang dipercayai dalam permusafiran menunaikan haji, mestilah ada mahram bersama salah seorang daripada mereka. Ini diperkuatkan lagi dengan nas Imam al-Syafi‘i  bahawa tidak boleh seorang lelaki mendirikan solat bersama kaum wanita melainkan bersama-sama salah seorang wanita itu mahramnya. (Lihat Fath al-Bari, 4/77)

Antara hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah adalah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam dan menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya:Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa syaitan ada bersama kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu, lalu membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320)

Walau bagaimanapun, para fuqaha ada menyebutkan beberapa pengecualian serta keadaan yang dibenarkan bagi seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita ajnabiyyah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa dikecualikan daripada isu ini (berdua-duaan dengan bukan mahram) kesemua tempat-tempat yang terdapat padanya darurat seperti seseorang lelaki menjumpai seorang perempuan yang sesat di jalanan atau seumpamanya, maka diharuskan kepadanya untuk menemani wanita itu. Bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal itu sekiranya dia risaukan keselamatan wanita itu apabila ditinggalkan bersendirian. Dalam situasi ini, tiada khilaf padanya dan berdalilkan dengan hadith Aisyah R.Anha mengenai peristiwa al-Ifk. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109)

Selamat daripada sebarang tohmahan, fitnah dan syak wasangka

Selain daripada itu, para ulama juga telah meletakkan garis panduan dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama. Mengenai hal ini, al-Syibramalisi dan ‘Abd al-Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa garis penentuan khalwat yang dilarang adalah ke atas perhimpunan — antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram — yang tidak selamat daripada sebarang tohmah — yakni fitnah dan syak wasangka — pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan atau pertemuan tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat — yang dilarang. (Lihat Hasyiah Nihayah al-Muhtaj, 7/163; Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 8/269)

Begitu juga Abu Said al-Khadimi menyebutkan, seorang lelaki tidak dibenarkan bercakap dengan seorang wanita ajnabiyyah tanpa sebarang keperluan kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah. Akan tetapi sekiranya ada keperluan seperti penyaksian, jual beli atau berdakwah, maka ia adalah diharuskan — yakni dibenarkan. (Lihat Bariqah Mahmudiyah, 4/7)

Demikian juga, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa dibolehkan bagi lelaki memberi salam kepada wanita atau sebaliknya, dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah — yakni tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 11/33)

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, sekiranya seorang perempuan masuk ke dalam masjid yang mana di dalamnya ada seorang lelaki, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat yang dilarang kerana masjid merupakan tempat yang sentiasa dimasuki oleh setiap orang, dan perkara ini hanya dibenarkan pada masjid yang menjadi laluan orang ramai serta tidak terputus orang yang keluar masuk pada adat kebiasaannya. Demikianlah juga hukumnya, apa yang menyerupainya seperti jalan atau selainnya — yang terdiri daripada tempat-tempat awam yang lain — yang menjadi laluan orang ramai, berbeza dengan tempat-tempat yang tidak menjadi laluan orang ramai — yakni terpencil dan sunyi. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 8/269-270)

Oleh itu, dapat difahami bahawa tempat parameter pertemuan antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan adalah selamat dan jauh daripada fitnah — yakni tidak menimbulkan curiga. Oleh sebab itu, mereka mensyaratkan pertemuan itu berlaku di tempat-tempat awam yang menjadi laluan orang ramai dan adanya keperluan. Jika pertemuan itu tanpa ada sebarang keperluan yang dibenarkan oleh syarak maka ia juga boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka sekalipun berlaku di tempat awam. Apatah lagi jika ia berlaku di tempat-tempat yang sunyi dan terpencil, maka ia  adalah lebih-lebih lagi haram dan dilarang.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sekiranya tidak dapat dielakkan maka tidak mengapa seorang wanita itu menaiki kenderaan awam seperti teksi dan seumpamanya yang pemandunya berlainan jantina dengan syarat-syarat yang berikut:

  • Hal ini adalah disebabkan tiadanya pilihan lain dari segi pemilihan pemandu atau tidak boleh membatalkan tempahan kereta grab atau uber yang telah dibuat kerana melibatkan kos tambahan dan seumpamanya.
  • Pemandu hendaklah memilih jalan atau laluan yang biasanya dilalui oleh orang ramai dan bukannya laluan yang sunyi. Begitu juga perempuan tersebut hendaklah duduk di kerusi belakang dan tidak berbual melainkan sekadar yang perlu sahaja. Dalam erti kata lain, keadaan itu mestilah selamat dan aman daripada fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya) dan dapat menjamin keselamatan dirinya yakni wanita berkenaan. Sekiranya syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, haram hukumnya seorang wanita menaiki menaiki teksi atau seumpamanya secara bersendirian dengan pemandu lelaki yang bukan mahram.

Walau bagaimanapun, kami ingin menasihati sekiranya dapat dielakkan daripada menaiki kenderaan secara berdua-duaan adalah lebih baik kerana ia jauh daripada fitnah dan lebih menjamin keselamatan diri. Sekurang-kurangnya biarlah ada bersama seorang perempuan lain atau lebih, supaya dapat mengelakkan diri daripada termasuk di dalam larangan tersebut.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin berpesan kepada pemandu mahupun penumpang yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan, agar jagalah diri sebaik mungkin serta tundukkan pandangan daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya. Moga-moga Allah memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam perkara yang dimurkai-Nya. Begitu juga, janganlah sesekali kita memberi peluang atau membuka ruang kepada syaitan dan musuh-musuh agama, dalam usaha mereka untuk merosakkan anak Adam, menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka dan menjauhkan mereka daripada agama yang sebenarnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H