#728: Solat di Atas Kerusi yang Dicuri

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana hukum solat yang dilakukan di atas kerusi yang dicuri atau dirampas secara haram? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asalnya, berdiri bagi yang mampu adalah rukun dalam solat. Namun begitu, syarak membenarkan seseorang itu duduk sekiranya dia tidak mampu berdiri.[1] Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.”

Riwayat al-Bukhari (1117)

Para ulama membincangkan hadis ini dengan terperinci dalam bab rukun-rukun solat khususnya pada rukun qiyam (berdiri). Ini termasuk juga bentuk-bentuk rukuk dan sujud bagi orang yang tidak mampu mendatanginya sesuai dengan kadar ketidakmampuan seseorang itu.

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (4/226) menyebut: “Umat Islam telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Manakala Imam al-Syaukani  ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: “Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas sisinya.” (Lihat Nail al-Autar, 3/243)

Isu Solat di Atas Kerusi yang Dicuri atau Dirampas

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Diketahui di dalam syara’ bahawa menggunakan sesuatu yang dicuri atau dirampas adalah haram ke atas pencuri atau perampas dan juga ke atas orang lain.

Justeru, kerusi yang dicuri adalah haram bersolat menggunakannya, atau menggunakannya selain daripada solat melainkan atas sebab-sebab yang dibolehkan seperti jual beli (perpindahan milik orang kepada milik kita), sewaan (mengambil manfaat daripada sesuatu yang disewa), pemberian samada bersifat kekal atau sementara atau sebab-sebab yang lain.

Berdasarkan penerangan di atas, jika duduk di atas kerusi yang dicuri atau dirampas itu haram, adakah perbuatan tersebut membatalkan solat yang dilakukan dengan menggunakan kerusi tersebut?

Dijawab, hukum di atas dikiaskan dengan hukum seseorang yang solat di tanah atau rumah yang dirampas secara haram. Di dalam kitab al-Majmu’, melakukan solat di tanah yang dirampas adalah haram secara ijma’ tetapi di sisi ulama’ mazhab al-Syafi’i, solat tersebut adalah sah. Manakala satu lagi pendapat di dalam mazhab al-Syafie, satu riwayat dalam mazhab Hanabilah, dan jumhur fuqaha’ dan ulama usul, mengatakan solat tersebut tidak sah.

Jika solat tersebut sah, ulama Syafieyyah berbeza pendapat dalam menentukan sama ada solat tersebut mendapat pahala ataupun tidak?

Dalam masalah ini, mereka terbahagi kepada dua:

  • Solat di tanah yang dirampas adalah sah serta kefardhuannya ke atas pelakunya gugur tetapi solat tersebut tidak mendapat pahala.
  • Solat tersebut sah dan mendapat pahala di atas perbuatannya itu tetapi berdosa kerana solat di tempat itu. (Lihat al-Majmu’, 3/164)

Justeru, di dalam mazhab al-Syafie solat dengan menggunakan pakaian yang dirampas adalah sah sebagaimana solat di tanah atau tempat yang dirampas. (Lihat al-Majmu’, 3/180)

Penutup

Dalam masalah ini, kami berpendapat bahawa solat yang dilakukan dengan menggunakan kerusi yang dicuri atau dirampas adalah haram secara umumnya kerana kerusi tersebut bukan milik kita, diperolehi dengan jalan yang salah. Akan tetapi, solat tersebut adalah sah dalam keadaan perbuatan tersebut adalah berdosa jika dia mengetahuinya.

Ini kerana hal ini termasuk dalam isu jihah munfakkah (sudut yang berasingan). Berdosanya menggunakan barang atau tempat yang dirampas adalah perkara yang tidak ada kaitan dengan keabsahan solat. Selain itu, jika seseorang itu jahil (tidak mengetahui) atau terlupa, bahawa kerusi itu barang curi, maka perbuatan tersebut adalah tidak berdosa.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik agar kita dapat melaksanakan dan menunaikan solat dengan sempurna. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 25 Mac 2022 bersamaan 22 Syaaban 1443H

 

[1] Sepakat Ulama bahawa berdiri pada masa solat akan gugur pada solat fardu dan sunat dengan sebab lemah untuk berdiri, sakit atau lainnya. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dalam Sahih al-Bukhari. (Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah, 34/107)