#742: Kuatkan Suara ketika Solat Bersendirian

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya menguatkan bacaan surah al-Fatihah dan surah pilihan ketika mendirikan solat Subuh, Maghrib dan Isyak secara bersendirian? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya:Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Ayat ini menjadi dalil yang mewajibkan solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah sebagai ta’dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun dari sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi mana belum mumayyiz, baligh dan berakal. (Lihat Bahr al-Muhit, 2/59)

Pada asasnya, menguatkan bacaan pada solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan dua rakaat pertama solat Isyak adalah termasuk dalam perkara sunat bagi imam. Dalilnya adalah nukilan ulama khalaf daripada ulama salaf. Begitu juga disunatkan bagi makmum untuk memperlahankan bacaannya kerana jika dia menguatkan bacaannya itu maka dia seperti menandingi imam pada bacaannya. Oleh sebab itu, makmum diperintahkan untuk diam bagi mendengar bacaan imam. Begitu juga kerana sekiranya dia menguatkan bacaannya, maka tidak mungkin dia dapat diam bagi mendengar bacaan imam. Bahkan Imam al-Nawawi menyebutkan, umat telah bersepakat bahawa disunatkan kepada makmum untuk memperlahankan bacaannya dan makruh menguatkan bacaannya itu, tidak kira dia mendengar bacaan imam ataupun tidak. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/142; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390)

Seterusnya, maksud menguatkan bacaan dan memperlahankannya adalah sebagaimana yang ditakrifkan oleh para fuqaha seperti pengarang al-Hawi iaitu bacaan secara kuat (jahar) adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada orang di sebelahnya. Manakala bacaan secara perlahan (israr) pula adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada dirinya sendiri. ( Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/64; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan, disunatkan juga untuk menguatkan bacaan bagi seseorang yang solat secara bersendirian bagi solat-solat yang dibaca kuat — iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak — di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan jumhur. Malah, al-‘Abdari menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat ulama keseluruhannya kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa menguatkan suara dan memperlahankannya bagi orang yang solat secara bersendirian adalah sama sahaja.

Hujah ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i ialah seseorang yang mendirikan solat secara bersendirian sama halnya seperti imam, yang berhajat kepada menguatkan bacaan untuk mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Oleh yang demikian, disunatkan baginya — yakni orang yang solat bersendirian — untuk menguatkan bacaannya seperti mana imam. Bahkan lebih utama lagi kerana dia lebih banyak dapat menghayati dan mentadabbur bacaannya — berbanding seorang imam — disebabkan oleh tiadanya perkaitan dengan orang lain. Begitu juga dia boleh membaca dan menguatkan bacaan tersebut bagi menghayati dan mentadabburnya sebagaimana yang dia kehendaki. Tambahan lagi, orang yang solat bersendirian juga berbeza halnya dengan makmum. Hal ini kerana makmum diperintahkan untuk mendengar bacaan imam supaya tidak mengganggu imam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/389-390)

Malah Mantan Mufti Arab Saudi juga ada menyebutkan bahawa menguatkan suara ketika bacaan bagi solat jahriyyah seperti solat Subuh, dua rakaat awal Maghrib dan dua rakaat awal Isyak adalah disunatkan bagi imam dan orang yang solat secara bersendirian. Namun, sekiranya mereka memperlahankan bacaan, maka tidak mengapa, akan tetapi mereka telah meninggalkan sunnah. Jika orang yang solat secara bersendirian ini berpendapat memperlahankan bacaan lebih membuatkan dirinya khusyuk maka tidak mengapa melakukannya. Hal ini kerana terdapat hadith daripada Nabi SAW bahawa Baginda ketika mendirikan solat malam, Baginda kadang-kadang menguatkan suara bacaannya dan kadang-kadang memperlahankan bacaannya sebagaimana disebutkan perkara tersebut oleh Aisyah R.Anha. Adapun bagi imam pula, sunnahnya adalah menguatkan bacaannya setiap kali solat jahriyyah sebagai mengikuti Nabi SAW. Selain itu, perkara tersebut juga bermanfaat buat jemaah solat bagi memperdengarkan kepada mereka kalamullah, sama ada dalam solat fardhu mahupun solat sunat.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan kepada orang yang solat secara bersendirian untuk menguatkan atau menyaringkan bacaan ketika mendirikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama. Hal ini kerana perkara tersebut membolehkan orang yang solat secara bersendirian itu lebih dapat menghayati dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Lebih-lebih lagi, dia langsung tidak berkait dengan sesiapa — sebagaimana imam yang berkait dengan makmum — lalu membolehkannya membaca bacaan ayat-ayat al-Quran sama ada panjang mahupun pendek atau menguatkannya sebagaimana yang dikehendaki tanpa mengambil kira keadaan orang lain — seperti mana imam yang perlu mengambil kira keadaan makmum.

Walau bagaimanapun, jika orang yang solat bersendirian itu merasakan dirinya lebih khusyuk dan lebih dapat menghayati bacaan ayat-ayat al-Quran dengan membacanya secara perlahan, maka tidak mengapa melakukannya, bahkan itu adalah lebih baik buat dirinya. Hal ini kerana kita dituntut bahkan disunatkan untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya. Khusyuk di dalam solat adalah merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/4053/ حكم-الجهر-بالقراءة-لمن-صلى-منفرداDiakses pada 25 Mac 2022.