#746: Makan Kulit Lembu yang Tidak Disembelih tetapi Disamak

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seseorang itu memakan kulit lembu bangkai yang telah disamak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, ‘Qul – katakanlah’ iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng lagi bidaah. Begitu juga firman Allah SWT, ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya’ iaitu perhiasan tersebut adalah sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah SWT buat sesiapa yang beriman kepada-Nya atau para hamba-Nya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka — yakni orang yang beriman — dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang kafir itu yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang kafir — yakni dari memasukinya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15)

Pada asasnya, kesemua kulit bangkai — kecuali kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya — boleh menjadi suci dengan cara disamak tidak kira kulit itu daripada bangkai yang halal dimakan dagingnya ataupun tidak. Cara menyamak adalah dengan menghilangkan cairan seperti darah pada kulit yang dapat menjadikannya membusuk, dengan menggunakan sesuatu yang tajam walaupun najis seperti kotoran burung. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 28)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya: “Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”

Riwayat Muslim (838)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Syirazi ada menyebutkan dalam kitabnya mengenai hukum memakan kulit yang disamak. Jika kulit daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya, maka terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Menurut pendapat Qadim, ia haram untuk dimakan berdasarkan sabda Nabi SAW:

إنّما حَرُمَ مِنَ الـمَيْتَةِ أَكْلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya yang diharamkan daripada bangkai hanyalah memakannya.”

Riwayat al-Daraqutni dalam sunannya dan sanadnya adalah sahih (1/118); Riwayat al-Bukhari (1492) dan Muslim (363) dengan sedikit perbezaan pada lafaz.

Manakala menurut pendapat Jadid, ia adalah halal untuk dimakan kerana ia adalah kulit yang suci daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya. Justeru, ia menyerupai kulit haiwan yang disembelih — dari sudut kesuciannya. Namun, jika kulit itu daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya, maka tidak halal memakannya kerana samak tidaklah lebih kuat daripada penyembelihan. Dalam erti kata lain, penyembelihan tidak dapat membolehkan untuk memakan haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya. Maka, proses samak adalah lebih-lebih lagi tidak dapat membolehkannya untuk dimakan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 1/27-28)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi ini menyebutkan bahawa pendapat yang paling sahih di sisi jumhur ialah pendapat Qadim iaitu haram untuk dimakan. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama mensahihkan pendapat Jadid iaitu halal memakannya seperti al-Qaffal, al-Furani, al-Ruyani dan al-Jurjani. Adapun mengenai kulit haiwan yang tidak dimakan dagingnya, mazhab Syafi‘i secara tegas berpendapat ia adalah haram untuk dimakan dan inilah pendapat yang diputuskan oleh jamaah dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i seperti al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Mahamili, al-Darimi, al-Baghawi dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/230)

Selain daripada itu, perkara ini dihuraikan dengan lebih jelas oleh Sulaiman al-Jamal dalam hasyiahnya bahawa kulit yang telah disamak boleh digunakan untuk beristinja’, sedangkan makanan tidak boleh digunakan untuk berintinja’. Hal ini kerana kulit yang telah disamak itu sudah berubah daripada tabiat daging kepada tabiat makanan. Oleh itu, kulit yang telah disamak tidak boleh lagi dianggap sebagai makanan, sekalipun diharuskan untuk memakannya jika diambil daripada haiwan yang disembelih secara sepakat para ulama. Manakala menurut pendapat jadid — yang merupakan pendapat marjuh — menyatakan bahawa harus untuk memakan kulit bangkai daripada haiwan yang halal jika disembelih. Namun, pendapat yang difatwakan dengannya ialah haram untuk memakan kulit daripada bangkai yang disamak sekalipun daripada haiwan yang halal dimakan jika disembelih.

Dalam erti kata lain, pendapat yang muktamad ialah harus menggunakan kulit yang disamak untuk beristinja’ sekalipun ia boleh dimakan jika haiwan yang disembelih. Adapun kulit bangkai daripada haiwan yang halal dagingnya jika disembelih apabila disamak, pendapat qadim melarang daripada memakannya dan inilah pendapat yang muktamad. Manakala kulit haiwan yang tidak halal dagingnya seperti keldai jinak, maka haram untuk memakannya sekalipun selepas disembelih secara qat‘i. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 1/94-95)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kulit bangkai haiwan yang halal dagingnya jika disembelih adalah haram untuk dimakan sebagaimana pendapat muktamad, yang dipilih oleh Imam al-Nawawi. Ini juga merupakan pendapat yang lebih selamat dan berhati-hati. Sebaiknya, manfaatkan kulit yang telah disamak itu sebagai pakaian dan perhiasan. Namun, jika kulit itu diambil daripada haiwan yang disembelih dan halal dagingnya, maka ia adalah harus untuk dimakan menurut kesepakatan ulama. Walau bagaimanapun, jika kulit itu daripada haiwan yang tidak halal dagingnya sekalipun disembelih, apabila disamak maka ia tetap haram untuk dimakan secara qat‘i.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H