Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan, apakah pengertian yatim dan berapakah had umur untuk seseorang dikira sebagai yatim?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pengertian Yatim
Dalam istilah bahasa Melayu, Kamus Dewan Edisi ke-4 mentakrifkan yatim sebagai anak yang kematian ibu atau bapanya. Sekiranya seorang anak itu kematian ibu dan ayahnya, ia dinamakan sebagai yatim piatu.[1]
Di dalam Bahasa Arab, terdapat istilah yang khusus untuk menamakan anak yatim. Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri. Telah berkata Ibn al-Sikkit: “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim”.[2]
Ibn Manzur menukilkan maksud yatim daripada Ibn Barriy: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ) bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya”.[3]
Imam al-Jurjani pula menyebut: Yatim ialah seseorang yang bapanya telah meninggal dunia kerana nafkah adalah di atas tanggungjawab bapa tersebut, bukan atas ibu. Manakala bagi haiwan, yatim adalah apabila kematian ibunya kerana susu dan makanan adalah daripada ibu tersebut.[4]
Oleh itu, dapat difahami bahawa yatim pada istilah merujuk kepada kanak-kanak yang telah kematian bapa. Dan kanak-kanak tersebut pula belum mencapai usia baligh. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ
Maksudnya: “Tidak dikira yatim setelah daripada baligh.”[5]
Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan kenyataan Ibn Ruslan yang menyebut: Apabila anak yatim sama ada lelaki atau perempuan telah mencapai usia baligh di mana mereka telah bermimpi seperti kebanyakan orang, maka hilanglah baginya status keyatiman secara hakikat dan berjalan ke atasnya hukum baligh.[6]
Dalam kitab al-Muhazzab turut dinyatakan: Yatim adalah seorang yang tidak mempunyai bapa dan dia belum baligh. Tidak dinamakan yatim bagi orang yang sudah baligh.[7]
Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa Islam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Hadith yang dinukilkan di atas juga menunjukkan kepada kita bahawa yang dinamakan anak yatim itu adalah mereka yang kehilangan bapa dan belum mencapai umur baligh. Sekiranya telah mencapai umur baligh, maka penggunaan istilah yatim tidak digunakan kepada mereka.[8]Oleh itu, seseorang yang umurnya 20-an meskipun telah kematian kedua ibu-bapanya tidak dinamakan dengan anak yatim kerana telah sampai umur baligh.
Menjaga harta anak-anak yatim diletakkan dibawah tanggungjawab wali yang telah dipilih dan dilantik oleh hakim. Setiap wali yang dipilih wajib memastikan harta anak-anak yatim tersebut selamat dan diuruskan dengan sempurna sebelum dikembalikan semula kepada anak-anak yatim tersebut. Allah SWT telah berfirman:
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”[9]
Syeikh al-Maraghi menyebut kita dilarang memberi harta kepada orang yang belum sempurna akal (dalam jagaan kamu). Harta tersebut boleh diserahkan kepada anak yatim setelah mereka mencapai umur dewasa. Dalam situasi ini, janganlah kamu serahkan mereka harta tersebut kepada mereka agar tidak disia-siakan. Oleh hal yang demikian, peliharalah harta tersebut untuk mereka hingga mereka mampu berfikir dengan matang.[10]
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”[11]
Berdasarkan ayat ini, kebanyakan ulama’ tafsir seperti Imam al-Zamakhsyari, Imam Abi al-Su’ud, Imam al-Qasimi, Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Sayyid Qutb telah meletakkan peringkat baligh yakni cukup umur tanpa menentukan had umur baligh yang tepat serta cerdik dan sempurna kekuatan jasmani dan akal fikiran seseorang anak yatim sebagai asas penentu layaknya untuk mereka mengurus dan mengendali harta mereka sendiri.[12]
Berdasarkan ayat ini juga, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa seorang kanak-kanak lelaki tidak dikatakan baligh sehinggalah dia berumur 18 tahun. Beliau berpendapat bahawa usia dewasa kanak-kanak lelaki sekitar 18 tahun manakala kedewasaan kanak-kanak perempuan adalah pada usia 17 tahun.[13]
Dr. Muhammad Mahmud Hijazi berpendapat bahawa kebiasaan usia baligh bagi seorang kanak-kanak adalah dalam lingkungan antara 15 dan 18 tahun.[14]
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Sehingga mencapai usia matang dengan cara bermimpi atau sudah besar. Perkataan ‘أَشُدَّهُ’ memberi maksud sempurna kelelakiannya serta pengetahuannya.”[15]
Definisi Baligh
Dalam istilah bahasa Melayu, Kamus Dewan mentakrifkan akil baligh sebagai cukup umur atau dewasa (mengikut pandangan Islam, biasanya apabila mencapai umur antara 9-12 tahun bagi perempuan dan 12-15 tahun bagi lelaki.[16]
Maksud baligh adalah apabila seseorang lelaki atau perempuan itu telah sampai tempoh umur layak ditujukan kepadanya perintah melaksanakan syariat seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.
Para ahli feqah bersepakat menetapkan bahawa keluar air mani dalam keadaan tidur, bermimpi, sedar ataupun usaha mengeluarkannya dengan sengaja seperti beronani atau sebagainya, adalah demikian tanda seseorang itu menjadi baligh.
Al-Qalyubi berkata: “Keluar air mani daripada lelaki atau perempuan dalam keadaan sedar ataupun tidur ketika sampai waktunya.”[17]
Ulama menyifatkan air mani yang keluar dikira sebagai baligh ialah air mani yang mampu menghasilkan anak. Ibnu Qudamah berkata: “Maka Adapun keluar mani: Apabila seseorang keluar mani, iaitu air putih yang memancut yang terjadi daripadanya anak ketika berjima’, atau di dalam tidur, atau ketika sedar, maka dia dikira baligh.”[18]
Selain itu juga, ulama menentukan minima masa atau umur keluarnya mani seseorang itu secara matang yang dikira sebagai baligh ialah 9 tahun. Imam al-Nawawi berkata: “Keluar air mani ketika sampai waktunya iaitu sempurna umurnya Sembilan tahun.”[19]
Umur Baligh Menurut Empat Mazhab
Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan umur baligh seseorang:
Ulama bermazhab al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi, dengan pandangan keduanya itu juga difatwakan di dalam mazhab dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan khabar (riwayat) daripada Ibn Umar.
عُرِضْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي وَلَمْ يَرَنِي بَلَغْتُ، وَعُرِضْتُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، وَرَآنِي بَلَغْتُ
Maksudnya: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh. [20]
Berkata Imam al-Syafie bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.
وَرُوِيَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: إِذَا اسْتَكْمَل الْمَوْلُودُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً كُتِبَ مَا لَهُ وَمَا عَلَيْهِ، وَأُخِذَتْ مِنْهُ الْحُدُودُ
Maksudnya: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.”[21]
Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami dalam kitabnya Safinah al-Naja menyatakan bahawa tanda-tanda baligh ada tiga[22] iaitu:
- Genap 15 tahun qamariahbagi lelaki dan perempuan.[23]
- Bermimpi basah bagi lelaki dan perempuan selepas berumur 9 tahun qamariah.[24]
- Datang haidh bagi perempuan selepas berumur 9 tahun qamariah.[25]
Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ
Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.”[26]
Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:
لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” [27]
Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.
Al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab, antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, 19 tahun dan diriwayatkan oleh Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn Umar.
Adapun Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”[28]
Telah berkata Ibn Abbas RA, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). [29]
Justeru, secara umumnya mazhab al-Syafie dan Ahmad melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 15 tahun qamariyyah berdasarkan dalil-dalil di atas. Adapun, mazhab al-Maliki dan al-Hanafi melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 18 tahun.
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa yang dinamakan anak yatim itu adalah mereka yang kehilangan bapa dan belum mencapai umur baligh. Sekiranya telah mencapai umur baligh, maka penggunaan istilah yatim tidak digunakan kepada mereka. Oleh itu, seseorang yang umurnya 20-an meskipun telah kematian kedua ibu-bapanya tidak dinamakan dengan anak yatim kerana telah sampai umur baligh.
Berkenaan had umur pula, kami cenderung kepada pendapat di dalam mazhab al-Hanafi dan al-Maliki dalam menentukan had umur baligh iaitu pada usia 18 tahun, khususnya dalam isu nafkah kepada anak yatim.
Ini kerana, kebiasaannya di Malaysia anak yang berusia bawah 18 tahun ini belum lagi bersedia untuk hidup secara bersendiri (berdikari) serta menafkahkan dirinya sendiri. Tambahan pula, kami juga bersetuju bahawa pihak mahkamah boleh memanjangkan tempoh nafkah tersebut kepada anak yatim tersebut dengan melihat kepada maslahah seperti nafkah, pendidikan dan kerjaya anak yatim tersebut sehingga had umur yang tertentu seperti 21 tahun dan sebagainya.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1812
[2] Lihat Lisan al-‘Arab, 12/645
[4] Lihat al-Ta’rifat, hlm. 254
[5] Riwayat Abu Daud (2873)
[6] Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 8/76
[7] Lihat al-Muhazzab, 2/247
[8] Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 8/54
[9] (Surah al-Nisa’ : 5)
[10] Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1088
[11] Surah al-An’am (152)
[12] Lihat Tafsir al-Kassyaf, 2/56; Tafsir Abi al-Su’ud, 2/304; Tafsir al-Qasimi, 2/780 dan Fi Zilal al-Quran, 3/1232
[13] Lihat al-Tafsir al-Kabir, 24/29-30; Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Muhammad Ali al-Sayyis, 3/185 dan al-Tafsir al-Munir, 18/296
[14] Lihat al-Tafsir al-Wadih, 8/30
[15] Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/93
[16] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=akil%20baligh
[17] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/188
[18] Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, 6/218
[19] Lihat Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, hlm 123
[20] Riwayat Ibn Hibban (4728) dan ia mempunyai asal di dalam al-Sahihain.
[21] Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada 106/3 dan Imam al-Baihaqi meniali riwayat ini adalah dhaif
[22]Tidak menjadi syarat baligh untuk cukup ketiga-tiga tanda ini, tetapi memadailah jika satu tanda pun didapati pada diri.
[23] Yakni mengikut kalendar Hijrah, bukan kalendar Masihi.
[24] Yakni keluarnya mani. Sekiranya seseorang itu berasa keluar air mani kemudian menahannya, maka dia masih belum baligh mengikut Imam Syamsuddin al-Ramli. Manakala menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, dia tetap baligh. Bentuk keluar itu tidak semestinya sewaktu tidur, boleh jadi pada waktu sedar kerana melakukan persetubuhan atau seumpamanya seperti onani dan berfikir. Sekiranya saluran zakarnya tersumbat lalu keluar maninya dengan cara lain, maka tetap sabit hukum baligh. Lihat Kasyifah al-Saja (hlm.75); Tuhfah al-Muhtaj (1/456).
[25] Lihat Safinah al-Naja, hlm. 42
[26] Riwayat Abu Daud (4401
[27] Riwayat Ahmad dan ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah R.Anha. Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’uth.
[28] (Surah al-Isra’: 34)
[29] Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 2/15-17