Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Apakah yang perlu dilakukan sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat puasa Ramadhan?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.
Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.[1]
Asas kepada kewajipan untuk berniat dalam semua ibadat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.[2]
Maka, niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: Kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara: Niat di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.[3]
Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan.[4]
Syarat-Syarat Niat
Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ia dinamakan dengan berniat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya. Antara yang disebutkan ialah:
- Al-Jazm(الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
- Al-Ta’yiin (التعيين): iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dsb.). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
- Al-Tabyiit (التبييت):menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.
Terlupa Niat Berpuasa Ramadhan
Niat puasa mesti dilakukan pada malam hari Bulan Ramadhan sehingga sebelum terbitnya fajar. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Hafsah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).[5]
Al-Dimyati menyatakan di dalam I’anah al-Talibin: Hadith ini ditujukan kepada Niat untuk puasa fardhu pada bulan Ramadhan. Iaitu, diwajibkan berniat untuk berpuasa pada setiap harinya, hal ini kerana puasa setiap hari adalah Ibadah yang berdiri dengan sendiri (mustaqil), iaitu untuk memisahkan ibadah yang berbeza pada setiap harinya – sepertimana Dua Solat yang dipisahkan dengan salam”.[6]
Al-Khiraqi juga menyatakan bahawa tidak diperbolehkan Puasa yang fardhu sehingga dia berniat puasa pada malam harinya”.[7]
Sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat ataupun langsung tidak berniat untuk berpuasa pada malam harinya, maka berdasarkan pendapat mazhab-mazhab selain mazhab Imam Malik, maka tidak sah puasanya pada keesokan harinya. Namun begitu, terdapat jalan keluar dalam permasalahan ini, iaitu di samping berniat berpuasa Ramadhan pada setiap malam hari, maka lakukanlah juga niat pada awal malam pertama bulan Ramadhan dengan niat untuk berpuasa sebulan Penuh sebagaimana pendapat mazhab Imam Malik.
Al-Dimyati menyatakan lagi di dalam I’anah al-Talibin: “Tetapi sebaiknya digalakkan juga untuk niat berpuasa sebulan penuh pada awal malam pertama bulan Ramadhan supaya puasanya sah dan diterima bagi seseorang yang lupa berniat pada malam harinya. Menurut pendapat Imam Malik, niat puasa sebulan penuh pada malam pertama bulan Ramadhan adalah sah. Hal ini kerana menurut Imam Malik tidak disyaratkan niat untuk berpuasa pada setiap harinya. Maka disunatkan untuk berniat puasa sebulan penuh bagi orang yang lupa untuk berniat pada malam setiap harinya supaya puasa mereka pada hari yang dia terlupa berniat itu sah disebabkan niat sebulan penuh itu.”
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat puasa fardhu pada malam harinya, maka tidak sah puasanya sebagaimana pendapat majoriti mazhab. Namun begitu, antara solusi untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku, digalakkan juga untuk berniat puasa sebulan penuh berdasarkan pendapat Imam Malik sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat pada malam harinya.
Selain itu, sekiranya seseorang itu bangun untuk bersahur dan terlupa untuk melintaskan niat dalam hati untuk berpuasa, maka puasanya sah kerana perbuatan sahur tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah dengan tujuan untuk berpuasa. Imam Ibn hajar al-Haithami berkata:
لَوْ تَسَحَّرَ لِيَصُومَ أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْفِطْرِ خَوْفَ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَعَ خُطُورِ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ كَفَاهُ ذَلِكَ؛ لِأَنَّ خُطُورَ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ مَعَ فِعْلِ مَا يُعِينُ عَلَيْهِ أَوْ تَرْكِ مَا يُنَافِيهِ يَتَضَمَّنُ قَصْدَ الصَّوْمِ
Maksudnya: Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa. [8]
Dalam Hal ini, kita tetap berusaha untuk berniat puasa pada setiap malam hari pada bulan Ramadhan, namun sekiranya kita terlupa, kita boleh mengikut pendapat Imam Malik supaya kita boleh terus kekal berpuasa dengan tenang dan sah.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah Al-Bayyinah: 5
[2] Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.
[3] Lihat Fath al-Qarib, 1/136
[4] Lihat al–Mausuah al-Fiqhiyyah, 28/26
[5] Riwayat Abu Daud (2454). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2454) menyatakan hadith ini sahih.
[6] Lihat ‘I’anah al-Talibin, 2/249
[7] Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 49
[8] Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj, 3/386