#838: Perbezaan Hibah, Hadiah dan Sedekah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa perbezaan antara hibah, hadiah dan sedekah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Hibah

Hibah ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang mana barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, oleh ahli tabarru’ dengan tidak adanya sebarang tukaran atau balasan.[1] Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian (‘iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.[2]

Dalam erti kata lain, hibah merupakan pemberian sesuatu kepada orang lain sama ada ia berbentuk harta ataupun bukan tanpa sebarang pertukaran. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik.

Terdapat dalil al-Quran, Sunnah serta Ijma’ dalam galakan berhibah bagi membantu dan mengeratkan lagi tali silaturrahim. Firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”[3]

Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya.[4]

Hukum asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut.[5]

Pengertian Hadiah

Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan.[6]

Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan.[7]

Daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”[8]

Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”[9]

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang.[10]

Selain itu, turut dijelaskan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

  • Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.
  • Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.
  • Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
  • Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.[11]

Pengertian Sedekah

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.[12] Ibn Manzur pula mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan.[13]

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.[14]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita.[15]

Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”[16]

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu.[17]

Nabi SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”[18]

Perbezaan antara Hibah, Hadiah dan Sedekah

Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum daripada hadiah dan juga sedekah. Setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah.[19]

Hibah merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk digunakan manfaatnya kepada penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan. Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama.[20]

Dalam erti kata lain, hibah ialah pemberian sesuatu tanpa gantian, dan ini merupakan maksud umum pemberian. Hadiah pula ialah pemberian sesuatu barang kepada seseorang sebagai satu penghormatan atau kemuliaan. Manakala sedekah ialah pemberian kepada yang memerlukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ganjaran pahala di akhirat.[21]

Oleh itu, dapat dilihat ketiga-tiga perkara tersebut berbeza mengikut niat pemberi.

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebut bahawa akad hibah perlu kepada lafaz ijab dan qabul sepertimana dalam urusan jual beli dan seluruh hak milik. Adapun hadiah, terdapat dua pendapat ulama’ mengenai hal ini. Pendapat pertama di sisi Syeikh Abu Hamid dan yang berguru dengannya, mensyaratkan lafaz ijab dan qabul dalam hadiah sepertimana urusan jual beli dan hal wasiat. Manakala pendapat kedua ialah tidak perlu kepada lafaz ijab dan qabul bahkan cukup sekadar terima serahan dan memilikinya. Ini adalah pendapat yang shahih dalam mazhab dan mereka bersandarkan pada dalil bahawa ada hadiah yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menerimanya tanpa sebarang lafaz dan ia juga telah dipraktikkan oleh orang ramai sejak berzaman.[22]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula menyebut: Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi. Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah.[23]

Wallahu a’lam

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396; Fath al-Mu’in, hlm. 84 dan I’anat al-Talibin, 3/142

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/115

[3] (Surah al-Nisa: 4)

[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176

[5] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122

[6] Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342

[7] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252

[8] Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

[9] Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan.

[10] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)

[11] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258

[12] Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323

[13] Lihat Lisan al-Arab, 10/196

[14] (Surah al-Baqarah: 261)

[15] Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80

[16] Surah Saba’ (39)

[17] Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413

[18] Riwayat al-Tirmizi (662). Beliau berkata, hadis hasan sahih.

[19] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120-121, 253

[20] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/175

[21] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120

[22] Lihat Raudhah al-Talibin, 5/365-366

[23] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/116