#845 Hikmah Kematian

Soalan

Apakah hikmah Allah jadikan kematian?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia ini dan merupakan satu proses perpindahan roh ke alam setersunya, iaitu alam barzakh. Mati merupakan satu proses terpisahnya roh daripada jasad. Kematian akan dirasai oleh jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap makhluk pasti akan mati. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya:Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”[1] 

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah.[2]

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya:Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”[3]

Hikmah Kematian

Mati adalah penamatan hidup di dunia. Apabila tiba pengakhiran hidup dengan kematian, ianya tetap akan berlaku dan tidak akan dapat ditangguhkan atau dipercepatkan walaupun sesaat pun. Hikmah kematian bukan sahaja pada diri si mati, bahkan juga pada yang masih hidup supaya menjadi peringatan kepada kematian dan menjadikannya hamba yang sentiasa beramal soleh untuk bekal kepada hari akhirat. Pengakhir riwayat hidup individu mengandungi kebaikan dan bagi yang mati ia sebagai satu pengiktibaran, menimbulkan keinsafan, mempertingkatkan amalan, muhasabah diri, membuat persediaan untuk menemui Allah dan sebagainya bagi yang masih hidup.

Allah SWT menjadikan kehidupan dan kematian untuk menguji manusia siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya, sepertimana Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).[4]

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.[5]

Imam al-Qurtubi menukilkan pula kata-kata al-Suddi, katanya: Yang dimaksudkan daripada ayat ini adalah dengan memperbanyakkan mengingati mati dan melakukan persediaan yang terbaik, antaranya dengan perasaan gerun dan berhati-hati.[6]

Boleh jadi juga didahulukan kematian berbanding kehidupan adalah kerana asal manusia ini terjadi daripada tiada, kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”[7]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] (Surah al-Ankabut: 57)

[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197

[3] Surah al-A’raf: 34

[4] Surah al-Mulk: 2

[5] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/206

[6] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/207

[7] Surah al-An’am : 94