Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya selalu mendengar perintah supaya bertakwa. Boleh jelaskan apakah antara kesan jika seseorang itu bertakwSSa dalam kehidupannya? Benarkah dengan bertakwa ia dapat membuka pintu rezeki seseorang? Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pengertian Takwa dan Hakikatnya
Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab (15/401) menjelaskan bahawa, dari sudut bahasa, takwa bermaksud menjaga diri atau berhati-hati. Dikatakan: ‘اِتَّقَيْتُ الشَّيْءَ وَتَقَيْتُهُ أَتَّقِيْهِ وَأَتْقِيْهِ تُقًى وَتَقِيَّةً وَتِقَاءً’, maksudnya: “Aku menjaga diri daripada sesuatu atau aku berhati-hati terhadapnya.” Allah SWT berfirman:
هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ
Maksudnya: “Dia-lah (Allah) yang patut (kita) bertakwa kepada-Nya dan Dia-lah yang berhak memberi keampunan.”[1]
Maksud ayat di atas adalah hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk ditakuti azab seksa-Nya dan hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk diperlakukan dengan apa yang mendatangkan keampunan-Nya. [2]
Menurut al-Raghib al-Asfahani, takwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan.[3]
Imam al-Nawawi pula menjelaskan bahawa takwa itu adalah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Yakni, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT.[4]
Al-Jurjani pula menyebut bahawa takwa adalah menjaga diri daripada azab seksa Allah SWT dengan mentaati-Nya. Dengan erti kata yang lain, seseroang menjaga diri daripada perbuatan yang boleh mengakibatkan diazab dan diseksa, sama ada dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya.[5]
Dasar takwa adalah seorang hamba meletakkan pelindung antara dirinya dengan sesuatu yang dia takutkan dan khuatirkan. Jadi, takwa seseorang kepada Rabb-nya ialah dia meletakkan antara dirinya dan apa yang dia takutkan daripada Rabb-nya berupa kemarahan dan hukuman-Nya, sebuah pelindung yang melindungi dirinya daripada semua yang dia takutkan itu. Pelindung tersebut adalah dengan melakukan segala ketaatan dan menjauhi segala larangan.[6]
Allah SWT berfirman:
اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
Maksudnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya.”[7]
Ibn Mas’ud R.A berkata: “Hendaklah Allah Azza wa Jalla itu ditaati dan tidak dilakukan maksiat pada-Nya, sentiasa diingati dan tidak dilupakan, serta disyukuri dan tidak diingkari.”[8]
Ibn al-Qayyim berkata: Hakikat takwa adalah melakukan ketaatan kepada Allah SWT dilandasi keimanan dan mengharap pahala-Nya kerana ada perintah dan larangan sehingga seseorang melakukan perintah Allah SWT dengan mengimani Zat yang memerintah dan membenarkan janji-Nya, dan dia meninggalkan apa yang Allah larang baginya dengan mengimani Zat yang melarangnya dan takut terhadap ancaman-Nya.
Sepertimana disebut oleh Thalq bin Habib Rahimahullah: “Apabila berlaku fitnah, padamkanlah fitnah itu dengan takwa.” Orang ramai bertanya: “Apakah takwa itu?” Dia menjawab: “Takwa adalah engkau melakukan ketaatan kepada Allah berdasarkan cahaya[9] daripada Allah, kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, dan engkau meninggalkan segala bentuk kemaksiatan kepada-Nya berdasarkan cahaya daripada-Nya, kerana takut terhadap azab seksa-Nya.”
Menurut Ibn al-Qayyim, ini adalah sebaik-baik definisi bagi kalimat takwa. Kerana seluruh amal mesti memiliki permulaan dan tujuan akhir. Suatu amalan tidak dikatakan sebagai ketaatan dan qurbah (amalan yang mendekatkan diri kepada Allah) sehinggalah ia berdasar dan bersumberkan daripada keimanan. Dengan demikian, yang menjadi pendorong ia melakukan suatu amalan adalah keimanan semata-mata, bukan adat (kebiasaan), hawa nafsu, mengharap pujian dan kedudukan dan selainnya. Amalan tersebut hendaklah diawali dengan keimanan, manakala tujuan akhirnya adalah mengharap pahala daripada Allah dan keredhaan-Nya. Inilah yang disebut dengan al-ihtisab (mengharapkan pahala).[10]
Menurut Ibn Kathir, orang yang bertaqwa ialah orang yang takut akan kesyirikan dan perkara yang diharamkan Allah SWT, mengerjakan semua perkara yang difardhukan serta berhati-hati dengan hukuman daripada-Nya jika meninggalkan petunjuk-Nya, di samping mengharapkan rahmat-Nya dengan membenarkan segala perkara yang datang daripada-Nya.[11]
Kami nukilkan juga di sini, kata-kata Sahabat dan ulama’ berkenaan maksud takwa itu sendiri:
- Sayyidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”
- Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.”
- Al-Nasr Abazi Rahimahullah berkata: “Takwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah SWT.”
- Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhkanmu daripada Tuhan.”
- Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah SWT.”
- Abu Hafs Rahimahullah berkata: “Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain.”
- Dikatakan juga, takwa mempunyai beberapa peringkat: Bagi orang awam, dengan selamat daripada syirik. Bagi orang khusus, dengan selamat daripada maksiat. Bagi wali-wali, dengan selamat bertawassuldengan perbuatan dan bagi Nabi, takwa dengan selamat, nisbah perbuatan apabila takwa mereka daripada-Nya kepada-Nya.
- Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirnya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas.”
- Abu al-Husin al-Zanjani Rahimahullah berkata: “Siapa yang bermodalkan hartanya dan takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.”
- Al-Wasiti Rahimahullah berkata: “Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya, iaitu dari melihat ketakwaannya.”
Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.
Takwa Membuka Pintu Rezeki
Firman Allah SWT:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Maksudnya: Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.[12]
Dalam ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang bertakwa dengan sebenar-benarnya, maka akan dibalas oleh Allah SWT dengan dua perkara:
Pertama: “Allah SWT mengadakan jalan keluar baginya.” Ertinya, Allah SWT akan menyelamatkannya – sepertimana disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma – daripada setiap kesusahan dunia mahupun akhirat. Menurut al-Rabi’ bin Khuthaim pula, maksudnya, “Allah SWT akan memberi jalan keluar daripada setiap apa yang menyesakkan manusia.”[13]
Kedua: “Allah akan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” Ertinya, Allah SWT akan memberikan rezeki yang dia tidak pernah harapkan dan angankan.[14]
Ibn Kathir menyebut: “Maknanya, sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya, nescaya Allah akan memberinya jalan keluar serta rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, yakni dari arah yang tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.[15]
Selain itu, dalam mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari menyebutkan riwayat daripada Masruq bahawa ia bermaksud sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ta‘ala, maka baginya jalan keluar iaitu jalan yang diketahui Allah Taala, jika Dia menghendaki maka boleh untuk diberikan atau ditegah. Manakala ayat selepasnya pula iaitu ‘Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya’ bermaksud dari jalan yang tidak diketahuinya.
Di samping itu, dinukilkan juga daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT maka baginya jalan keluar yakni selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat. Manakala Rabi‘ pula berpendapat bahawa maknanya ialah jalan keluar daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia.[16]
Selain itu, Qatadah pula mentafsirkan ‘jalan keluar’ dalam ayat di atas sebagai jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesusahan ketika mati. Manakala makna ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” pula ialah memberinya rezeki daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan.[17]
Menurut al-Husain bin al-Fadhl makna ayat di atas ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dengan menunaikan segala kewajipan fardhu, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar daripada segala balasan seksa. Begitu juga ‘diberikan rezeki kepadanya’ yakni balasan pahala daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dalam erti kata lain, Allah SWT memberkati setiap apa yang diberikan dan dikurniakan kepadanya. Bahkan Sufyan bin ‘Uyaynah ketika mentafsirkan ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” menyatakan bahawa maknanya:
هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ
Maksudnya: “Ia ialah keberkatan dalam rezeki.”[18]
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.[19]
Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam mentafsirkan firman-Nya, ‘لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ (Tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi), beliau berkata: “Nescaya, Kami lapangkan kebaikan (kekayaan) untuk mereka dan Kami mudahkan bagi mereka untuk mendapatkannya dari segala arah.”[20]
Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertaqwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan. Manakala ayat: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) pula bermaksud hujan dari langit dan tanaman dari bumi.[21]
Al-Baidhawi berkata: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) bermaksud Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya juga ialah hujan dan tanam-tanaman.[22]
Al-Zamakhsyari pula berkata: ‘لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ bermaksud Allah SWT akan datangkan kepada mereka kebaikan dalam pelbagai bentuk. Selain itu, dikatakan juga maksudnya ialah hujan dan tanam-tanaman.[23]
Manakala al-Suyuti berkata: ‘لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ’ bermaksud langit akan memberikan kepada mereka berkatnya, manakala bumi dengan tanam-tanamannya.[24]
Janji Allah SWT yang terdapat dalam ayat yang mulia tersebut terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa mengandungi beberapa perkara, antaranya janji Allah SWT untuk membuka ‘بَرَكَاتٍ’ (keberkatan) bagi mereka. Perkataan ‘البركات’ adalah bentuk jama’ daripada ‘البركة’. Imam al-Baghawi berkata: “Ia bermaksud melakukan sesuatu secara terus-menerus.[25] Al-Khazin pula berkata: “Yakni, tetapnya suatu kebaikan Tuhan atas sesuatu.”[26]
Menurut al-Razi, maksudnya adalah keberkatan langit dengan turunnya hujan, keberkatan bumi dengan tumbuhnya pelbagai tanaman dan buah-buahan, banyaknya haiwan ternakan dan gembalaan, serta diperolehnya keamanan dan keselamatan. Hal ini kerana langit adalah laksana bapa, dan bumi laksana ibu. Daripada kedua diperoleh semua bentuk manfaat dan kebaikan berdasarkan penciptaan dan pengurusan Allah SWT.[27]
Hal yang sama juga dijelaskan oleh Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri, katanya: ‘بركات من السماء والأرض’ Iaitu jamak kepada “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi.[28]
Justeru, dapat disimpulkan daripada perkataan ‘البركات’ (keberkatan-keberkatan) adalah bahawa apa yang diberikan Allah disebabkan oleh keimanan dan ketakwaan mereka adalah kebaikan yang terus-menerus.
Syeikh Rasyid Redha berkata: “Adapun orang-orang yang beriman, maka apa yang dibukakan untuk mereka adalah berupa keberkatan dan kenikmatan. Dan untuk hal itu, mereka sentiasa bersyukur kepada Allah, redha terhadap-Nya dan mengharapkan kurniaan-Nya. Lalu mereka menggunakannya di jalan kebaikan, bukan jalan keburukan, untuk pembaikan dan bukan untuk merosakkan. Sehingga balasan bagi mereka daripada Allah adalah ditambahnya pelbagai kenikmatan di dunia dan pahala yang baik di akhirat.”[29]
Buya Hamka ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertaqwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Hal ini kerana iman dan takwa itu menimbulkan hubungan silaturahim sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.
Berkat itu ada dua jenis, iaitu hakiki dan maknawi. Berkat yang hakiki ialah seperti hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi. Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain.
Manakala berkat yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk daripada Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas.[30]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] (Surah al-Muddatthir: 56)
[2] Lihat Lisan al-‘Arab, 15/401
[3] Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 531
[4] Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 322
[5] Lihat al-Ta’rifat, hlm. 68
[6] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/398
[7] (Surah Ali Imran: 102)
[8] Lihat al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, no. 8502. Lihat juga Jami’ al-Bayan, 3/375
[9] Yakni dengan keimanan dan ilmu yang benar.
[10] Lihat al-Risalah al-Tabukiyyah, hlm. 15
[11] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/163
[12] (Surah al-Talaq: 2-3)
[13] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/159; Zad al-Masir, 8/291; Ma’alim al-Tanzil, 4/357 dan Tafsir al-Khazin, 7/108
[14] Lihat Zad al-Masir, 8/291
[15] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/400
[16] Lihat Tafsir al-Tabari, 23/446
[17] Lihat Tafsir al-Tabari, 23/448
[18] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/159-160
[19] (Surah al-A‘raf: 96)
[20] Lihat Tafsir Abi al-Su’ud, 3/253
[21] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/420
[22] Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294
[23] Lihat al-Kassyaf, 2/260
[24] Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/274
[25] Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/183
[26] Lihat Tafsir al-Khazin, 2/266
[27] Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/185. Lihat juga Tafsir al-Khazin, 2/266 dan al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/22
[28] Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486
[29] Lihat Tafsir al-Manar, 9/25
[30] Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16