Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Terdapat sesetengah orang yang dianggap soleh, namun dalam masa sama, dia juga adalah menipu dalam banyak perkara. Apa hukum menyebarkan keburukan orang seperti ini? Dan bagaimana tindakan yang harus diambil jika seseorang berhadapan dan mengetahui keadaan orang yang seperti ini? Apa patut dilakukannya? Mohon pandangan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Setiap Manusia Tidak Lepas daripada Kesilapan
Sebagai manusia, seseorang itu sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dosa, dan maksiat. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Banyak nas-nas yang secara jelas menerangkan berkenaan hakikat ini. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”[1]
Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa kesemua anak Adam itu disifatkan sebagai seorang yang berbuat kesalahan. Sekalipun bukan semua kesalahan itu dikira dan dinilai sebagai satu dosa, akan tetapi berdasarkan kepada siyaaq (konteks) hadis secara keseluruhan, perkataan al-khata’ di dalam hadis ini jelas membawa maksud berdosa. Ini kerana, ayat selepasnya menyatakan bahawa sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat. Umum mengetahui bahawa perbuatan dosalah yang berhajat dan memerlukan kepada taubat dan pengampunan Tuhan. Seakan yang ingin disampaikan oleh hadis di atas adalah, semua anak Adam itu berbuat dosa dan sebaik-baik mereka yang berbuat dosa adalah golongan yang bertaubat kepada Allah SWT.
Begitulah juga dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ
Maksudnya: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.[2]
Dalam memahami maksud hadis ini dengan lebih baik, supaya tidak terdapat salah faham dari kalangan yang membacanya maka kami nukilkan di sini syarahan dan pandangan oleh Imam al-Mubarakfuri Rahimahullah yang mengulas hadis ini dengan katanya:
Sekiranya kamu – wahai sekalian mukallaf atau wahai orang-orang yang beriman – tidak melakukan dosa, nescayalah Allah SWT akan menghilangkan kamu dalam erti kata mematikan kamu lalu Dia mendatangkan kaum yang lain sama ada dari jenis kamu sendiri atau selain kamu yang melakukan dosa. Iaitu mungkin sebahagian dari mereka melakukan dosa kemudian mereka pun beristighfar memohon ampun kepada Allah dalam erti kata bertaubat dan mengharapkan pengampunan secara mutlak dari-Nya. Maka Allah SWT pun mengampunkan mereka dengan sebab diri-Nya bersifat dengan sifat al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan kerana itulah Allah SWT berfirman:
اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً
Maksudnya: “Beristighfarlah kamu semua kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia itu Maha Pengampun.”[3]
Dan menjadi suatu kelaziman akan sifat ilahiyah ini (sifat pengampun) bahawa wujudnya maksiat pada setiap individu manusia. Dan maknanya, sekiranya kamu semua ma’sum seperti para malaikat nescayalah Allah SWT akan menghilangkan kamu dan menggantikan kamu dengan kaum yang berbuat dosa supaya tidak akan terabai sifat pengampun dan pemaaf Allah SWT.[4]
Kami menambah di sini, bahawa bersifatnya Allah SWT dengan sifat al-Ghafur, al-Ghaffar, al-‘Afuww, al-Rahim, dan al-Sittir, jelas menunjukkan bahawa manusia itu sememangnya makhluk yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa.
Namun, perlu juga dinyatakan di sini bahawa dalil-dalil yang kami kongsikan di sini bukanlah sebagai satu galakan atau lesen untuk seseorang itu berterusan melakukan dosa. Ini kerana, seseorang yang melakukan dosa itu tidak boleh berasa dirinya aman dan akan terselamat dari azab Allah SWT. Namun dalam masa yang sama, seseorang pendosa tidak boleh juga berputus asa dari rahmat Allah SWT.
Kewajipan Mencegah Kemungkaran
Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” [5]
Hadis ini merupakan perintah utama dalam agama Islam iaitu menyuruh berbuat perkara makruf dan melarang berbuat perkara mungkar. Ia adalah perkara penting kerana dengan perintah inilah Allah SWT mengutuskan para Rasul dan Nabi. Sekiranya Allah tidak melakukannya atau membiarkannya, pasti terputuslah perutusan agama Islam di muka bumi ini. Agama akan lenyap jika tiadanya penyeruan kepada kebaikan dan pencegahan daripada kemungkaran.
Imam Ibn Qudamah berkata: “Ketahuilah bahawa amar makruf adalah perkara yang paling agung dalam agama. Ia merupakan tugas penting yang kerananya Allah mengutus para Nabi. Andaikan tugas ini ditiadakan, maka akan muncul kerosakan di mana-mana dan dunia akan hancur.[6]
Perkataan ‘Ra’a’ (رَأَى) dalam hadis di atas memberi maksud melihat dan mengetahui dengan yakin, begitu juga mengetahui dan mendengar dengan yakin kerana mengumumkan hadis lebih aula daripada dikhususkannya. Dalam mencegah kemungkaran hendaklah yakin bahawa ia adalah mungkar dan sememangnya mungkar bagi pelakunya. Bukan hanya sebahagian, dan tidak sebahagian yang lain. Contohnya berbuka puasa pada bulan Ramadhan adalah mungkar, tetapi orang itu sakit atau musafir maka halal baginya berbuka.
Adapun cara melarang berbuat kejahatan atau mungkar itu, sama ada dengan tangannya iaitu dengan tindakan keras, “wa imma” dengan lisannya iaitu dengan memberikan nasihat atau sekurang-kurangnya dengan mengingkarkan dengan hatinya. Justeru, hadis yang disebutkan membawa pengertian bahawa hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru orang supaya berbuat kebajikan dan menegah orang daripada mengerjakan kejahatan.
Imam al-Nawawi dalam syarahnya ke atas hadis ini berkata: Adapun sifat larangan kepada perkara mungkar dan peringkat-peringkatnya, garis panduannya adalah ucapan Nabi (hadis di atas). Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemungkaran dengan setiap bentuk yang dia mampu. Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.
Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan nahi munkar mencari-cari serta melakukan tajassus dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya.
Kata al-Imam al-Mawardi: Sekiranya berat ke atas sangkaan orang yang melakukan hisbah (muhtasib) akan rahsia golongan yang melakukan kemungkaran dengan tanda-tanda dan kesan-kesan yang jelas, seperti dua contoh berikut: Pada perbuatan mungkar itu pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita terlepas pandang. Seperti seseorang diberitahu oleh seorang lelaki yang dipercayai dengan kebenarannya bahawa terdapat seorang lelaki yang sedang dengan lelaki lain untuk dia membunuhnya atau dia berkhalwat dengan seorang perempuan untuk dia berzina dengannya. Maka diharuskan untuk bertajassus dan berusaha mendedahkan serta mengingkari maksiat tersebut. Keduanya: Apa yang lebih kurang dari kedudukan ini, maka tidak boleh padanya untuk melakukan tajassus.[7]
Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.”[8]
Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hadis di atas menunjukkan kewajipan mengingkari itu bergantung kepada penglihatan. Kewajipan itu mempunyai tiga martabat berdasarkan kemampuan iaitu bermula dengan kuasa, seterusnya lidah dan akhirnya dengan hati. Kewajipan mencegah dengan hati tidak mungkin terlepas daripada diri setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا عُمِلَتِ الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا كَمَنْ غَابَ عَنْهَا، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا
Maksudnya: “Apabila dilakukan satu kesalahan di atas muka bumi, sesiapa yang menyaksikannya lalu membencinya adalah seperti orang yang tidak berhadapan dengannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya (tidak berhadapan dengan maksiat), lalu dia reda dengan maksiat itu, adalah seperti orang yang menyaksikannya.” [9]
Ibn Rajab al-Hanbali mengulas hadis di atas dengan katanya: “Sesiapa yang menyaksikan perbuatan mungkar lalu membencinya di dalam hatinya, maka dia adalah sepertimana orang yang tidak menyaksikannya, apabila dia tidak mampu mengingkarinya dengan lidah dan tangannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya lalu dia redha dengan kemungkaran, maka itu merupakan antara seburuk-buruk perkara yang diharamkan. Dengan sikap redha itu, ia mengakibatkan hilangnya tindakan mengingkari kesalahan dengan hati, sedangkan ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim yang tidak akan gugur daripada seorang pun, dan dalam apa keadaan sekalipun.”[10]
Ibn Rajab turut menyebut: “Hadis di atas menunjukkan kewajiban mengingkari kemungkaran sesuai dengan kemampuan. Pengingkaran terhadap kemungkaran hukumnya wajib, kerana orang yang hatinya tidak mengingkari kemungkaran, menunjukkan iman telah hilang dari hatinya.[11]
Selain itu, dalam melaksanakan nahi munkar keperluan kepada ilmu dan uslub hikmah amat penting bahkan menjadi prasyarat kerana matlamat daripada kedua-dua tersebut ialah untuk menjadikan manusia tunduk dan patuh yang terbit daripada keikhlasan hati kepada Yang Maha Esa, bukan semata-mata kerana takut kepada undang-undang atau orang-orang tertentu.
Ini kerana, jika didasarkan atas demikian sudah pasti seseorang yang berniat tidak baik akan mencari peluang dan ruang, bahkan sanggup menciptanya untuk mencapai hajat dan cita-citanya. Ini sudah tentu konsep amar makruf lebih kepada tempelan semata-mata, tetapi tidak dapat menjiwai hati dan sanubari masyarakat yang membawa sesuatu perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.
Allah SWT berfirman:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.”[12]
Antara bentuk hikmah adalah dengan memperhatikan keadaan orang yang akan kita perintah dan kita larang. Dalam satu keadaan, maka perlu dengan sikap lemah-lembut dan bersikap halus sepertimana firman Allah SWT:
اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ ، فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maksudnya: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” [13]
Dan dalam keadaan lain, menggunakan sikap tegas dan keras. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ
Maksudnya: “Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka.” [14]
Oleh itu, orang yang membawa tugas ini wajib memiliki sifat-sifat tertentu. Imam Sufyan al-Thauri berkata: “Tidak boleh melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar kecuali orang yang memiliki tiga sifat: (1) Lemah lembut dalam menyuruh dan melarang; (2) Adil dalam menyuruh dan melarang, dan; (3) Mengetahui sesuatu yang dia perintahkan dan yang dia larang.”[15]
Bagi mereka yang menyeru kepada makruf dan melarang kemungkaran hendaklah dilakukan dengan sikap sopan santun dan berhikmah agar dapat lebih mendekatkan kepada tujuan pencegahan. Imam Syafie berkata: “Orang yang menasihati saudaranya dengan cara tertutup, maka orang itu telah benar-benar menasihatinya dan berbuat baik kepadanya. Akan tetapi orang yang menasihatinya secara terbuka, maka sesungguhnya ia telah menghina dan merendahkannya.”
Secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa menentang kebatilan dan menolak kemungkaran adalah menjadi satu kewajipan ke atas semua Muslim mengikut kemampuannya. Pengingkaran kepada kemaksiatan hendaklah berdasarkan pengetahuan yang jelas bahawa sesuatu itu adalah sebenar-benar maksiat, bukan mencegah dalam perkara yang menjadi perselisihan ulama seperti isu perselisihan ulama dalam masalah fiqh.
Sikap redha dan tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan kita adalah satu dosa besar. Tanggungjawab utama dalam amar makruf dan nahi mungkar sudah tentu kepada mereka yang berautoriti dan diberi kuasa yang layak digelar sebagai muhtasib. Wajib bagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
Syeikh Muhyiddin berkata: “Ketahuilah bahawa bab amar makruf dan nahi mungkar telah diabaikan oleh ramai orang sejak zaman yang panjang. Tiadalah pada zaman kini kecuali resam yang sedikit sahaja. Ini merupakan bab yang besar yang dengannya akan tegak semua perkara. Ingatlah apabila banyaknya kejahatan, maka ketika itu bala akan menimpa kepada orang yang baik dan jahat. Dan jika tidak dihalang daripada kezaliman, dibimbangi Allah mengumumkan bala dan azab-Nya. Benarlah firman Allah SWT:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”[16]
Justeru, mulakanlah dengan mencegah dan menahan daripada melakukan kemaksiatan bermula dengan diri kita, keluarga dan masyarakat.
Mencegah Kemungkaran Orang yang Dianggap Soleh
Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikan kepada dua:
Pertama, memang dia orang yang soleh kecuali tergelincir dalam beberapa tindakan, tetapi tampak kesan kebersalahan, kesesalan dan ingin bertaubatnya kepada Allah SWT. Maka dalam hal ini, kami katakan dia termasuk dalam umum hadis Nabi SAW:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”[17]
Keduanya, sikap kita adalah mengasihi dan mendoakan untuknya kerana ia termasuk dalam hadis:
أَقِيلُوا ذَوِى الْهَيْئَاتِ عَثَرَاتِهِمْ
Maksudnya: “Maafkanlah ketergelinciran dzawil hai’ah (orang-orang yang baik namanya).”[18]
Adapun, sekiranya memang beliau banyak melakukan kesilapan dan berterusan, sebenarnya mereka bukanlah orang yang soleh. Ini kerana, makna soleh adalah melakukan amalan yang baik dan orang yang soleh adalah orang yang baik dan beriman serta mengamalkan ajaran Islam dengan sebaik mungkin.
Boleh jadi dalam kalangan mereka, ada yang petah berkata-kata dan menyampaikan ucapan di depan khalayak ramai tetapi perbuatan buruknya amat jelas. Maka kami nyatakan di sini hadis Nabi SAW:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي كُلُّ مُنَافِقٍ عَلِيمِ اللِّسَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setakut-takut apa yang aku takuti ke atas umatku adalah setiap munafiq yang pandai berkata-kata.”[19]
Al-Munawi dalam mensyarahkan makna “عَلِيمِ اللِّسَانِ”, berkata: Mereka yang petah berbicara memberi maksud mereka yang mengetahui dan alim serta bijak dalam berbicara pada hujung lidah tetapi hatinya penuh kejahilan, rosak akidahnya, dan mampu memperdayakan manusia dengan lidahnya tersebut. Ini menyebabkan ia dapat mempengaruhi manusia dan mengumpul pengikut yang ramai sedangkan mereka telah tergelincir.[20]
Kami juga berpendapat apabila nasihat yang diberikan – sehingga membawa kepada perubahan ke arah kebaikan dan merasa dosa yang dilakukan itu boleh membawa kekesalan dan kehinaan untuk kembali kepada Allah – maka ia menjadi penyebab ke arah kebaikan. Benarlah kata Ibn Atha’illah al-Sakandari:
مَعْصِيَةٌ أَوْرَثَتْ ذُلًّا وَافْتِقَارًا خَيْرٌ مِنْ طَاعَةٍ أَوْرَثَتْ عِزًّا وَاسْتِكْبَارًا
Maksudnya: “Sesuatu maksiat yang menyebabkan rasa hina rendah diri (kepada Allah SWT) dan keberhajatan (kepada rahmat-Nya) adalah lebih baik daripada sesuatu amalan taat yang menyebabkan rasa mulia, sombong, ujub dan besar diri.”
Dalam kemelut seperti ini, perlu adanya golongan penasihat yang penuh hikmah menarik kembali mereka yang rebah dengan maksiat dan dosa untuk kembali bangun menjadi hamba Allah yang soleh. Inilah yang selalu dilakukan oleh salafus soleh kerana mereka mengamalkan ayat akhir daripada surah al-Asr:
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”[21]
Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.
Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah”[22]
Sayyid Qutb berkata dari kata-kata saling berpesan itu, nampaklah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Islam mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran.[23]
Al-Maraghi berkata: Seluruh manusia ini berada dalam kerugian kecuali mereka yang memiliki empat sifat berikut iaitu beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran. Setelah itu, mereka mengamalkan kebaikan itu dan menyerukan agar ia diamalkan. Mereka tidak menguzurkan diri untuk meneruskan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan meskipun terpaksa menghadapi kesulitan dan bala bencana.[24]
Semoga Allah kurniakan kepada kita kekuatan dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dengan penuh hikmah dan kebenaran.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat Ibn Majah (4392)
[2] Riwayat Muslim (2749)
[3] (Surah Nuh : 10)
[4] Lihat Mir’aat al-Mafaatih, 8/23
[5] Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514)
[6] Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 156
[7] Lihat Raudhat al-Thalibin, 10/220
[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 20/2
[9] Riwayat Abu Daud (4345)
[10] Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245
[11] Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245
[12] (Surah al-Nahl: 125)
[13] (Surah Taha: 43-44)
[14] (Surah al-Taubah: 73)
[15] Lihat Qawa’id wa Fawa’id, hlm. 292
[16] (Surah al-Nur: 63)
[17] Riwayat Ibn Majah (4251), al-Tirmizi (2499) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420)
[18] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (465), Abu Daud (4377) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17089).
[19] Riwayat Ahmad (143), Ibn Hibban (80), al-Tabarani dalam al-Kabir (18/227) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1641)
[20] Lihat Faidh al-Qadir, 1/221
[21] (Surah al-Asr: 3)
[22] Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590
[23] Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521
[24] Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7698