#882: Puasa dan Kesihatan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan hikmah puasa dan benarkah ia memberi kesan yang baik terhadap kesihatan seseorang?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa di dalam bulan Ramadhan merupakan salah satu asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa seperti firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” [1]

Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.” [2]

Maka jelaslah puasa Ramadhan ini adalah perkara utama di dalam Islam yang tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran.

Sesiapa yang meninggalkan kewajipan berpuasa dengan sengaja, maka ia telah meninggalkan satu rukun daripada Islam. Dan ini merupakan satu dosa yang sangat besar dan dimurkai oleh Allah SWT. Terdapat amaran yang keras sekiranya meninggalkan puasa dengan sengaja, ini seperti hadis daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:

عُرَى الْإِسْلَامِ وَقَوَاعِدُ الدِّينِ ثَلَاثَةٌ عَلَيْهِنَّ أُسِّسَ الْإِسْلَامُ مَنْ تَرَكَ مِنْهُنَّ وَاحِدَةً فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلَالُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَالصَّلَاةُ الْمَكْتُوبَةُ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

MaksudnyaSimpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan satu daripadanya dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadan.” [3]

Selain itu, meninggalkan puasa Ramadhan tanpa sebarang rukhsah tidak akan sama dengan menggantinya pada hari yang lain. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, sabda Nabi SAW:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلاَ مَرَضٍ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.” [4]

Imam Ibn Hajar al-Haitami turut menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadhan. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau:

الْكَبِيرَةُ الْأَرْبَعُونَ وَالْحَادِيَةُ وَالْأَرْبَعُونَ بَعْدَ الْمِائَةِ: تَرْكُ صَوْمِ يَوْمٍ مِنْ أَيَّامِ رَمَضَانَ، وَالْإِفْطَارُ فِيهِ بِجِمَاعٍ أَوْ غَيْرِهِ بِغَيْرِ عُذْرٍ مِنْ نَحْوِ مَرَضٍ أَوْ سَفَرٍ

Maksud: Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir.[5]

Pengertian puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada melalukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam AS:

إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bernaza diam membisu kerana (Allah) al-Rahman.”[6]

Manakala, puasa dari sudut Syarak pula adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.[7]

Hikmah Puasa

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[8] menjelaskan:

Puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadah yang difardhukan oleh Allah. Puasa bermaksud, setiap orang Islam yang melakukannya kerana mematuhi perintah Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab keimanan kepadanya tanpa memandang sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadah tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi di dalam ibadah yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya, namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya itu.

Ibadah puasa mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang, tetapi banyak lagi yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka. Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

Pertama: Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya yang ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ianya mengingati Allah dan kekuasaan-Nya.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.

Ketiga: Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

Keempat: Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan. Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin.[9]

Puasa dan Kesihatan

Ibadah puasa sering dikaitkan dengan aspek kesihatan. Ini kerana amalan berpuasa melibatkan perbuatan menahan makan dan minum bermula daripada fajar terbit sehingga matahari terbenam yang merupakan satu rutin yang berbeza bagi kebanyakan umat Islam di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Tambahan pula, ilmu perubatan dan sains juga telah membuktikan bahawa amalan berpuasa mempunyai banyak faedah kepada kesihatan.

Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadhan’ diadakan di Casablanca (First International Congress on Health and Ramadhan, January 19-22, 1994, Casablanca, Morocco). Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian yang telah dibentangkan mengesahkan bahawa puasa pada bulan Ramadhan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan, malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia.

Di sini kami nyatakan beberapa faedah kesihatan yang boleh diperolehi melalui amalan berpuasa yang telah dibuktikan dengan penemuan dan kajian sains:

Pertama: Menambah baik fungsi dan kesihatan otak. Autofagi di dalam otak ialah proses sel menghancurkan protein dan organel yang rosak di dalam neuron tertentu di dalam otak. Jika protein yang rosak atau tidak berfungsi berkumpul di dalam neuron tertentu, fungsi neuron akan terjejas seperti mana yang dapat dilihat di dalam penyakit neurodegenerative seperti penyakit Alzheimer’s, Parkinson’s, Huntington’s dan amyotrophic lateral sclerosis (ALS). Puasa adalah salah satu faktor utama dalam memulakan proses autofagi di dalam otak kemudian secara langsung menambah baik fungsi dan kesihatannya. Rujuk kajian yang bertajuk: “Short-term fasting induces profound neuronal autophagy”[10]

Kedua: Meningkatkan tahap kesihatan jantung dengan mengawal tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol.[11] Banyak kajian menunjukkan bahawa berpuasa dapat memberi kesan yang baik kepada jantung. Satu kajian telah dibuat ke atas orang dewasa yang mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) yang telah berpuasa selama tiga minggu di bawah pengawasan pakar perubatan dan hasilnya telah menunjukkan bahawa tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol mereka menurun secara mendadak. Rujuk kajian yang bertajuk: “The effects of three-week fasting diet on blood pressure, lipid profile and glucoregulation in extremely obese patients”[12], “Usefulness of Routine Periodic Fasting to Lower Risk of Coronary Artery Disease among Patients Undergoing Coronary Angiography”[13] dan “Regular Fasting May Improve CVD Risk”.[14]

Ketiga: Membantu mengawal kadar gula di dalam darah.[15] Banyak kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa mampu untuk membantu pengawalan gula di dalam darah terutamanya bagi mereka yang mempunyai risiko untuk menghidap penyakit kencing manis. Amalan berpuasa mampu mengurangkan halangan insulin (insulin resistance) yang mana boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin, seterusnya membenarkannya mengangkut glukosa daripada salur darah kepada sel badan dengan lebih efisien. Kesannya, gula di dalam darah akan menjadi stabil dan risiko penyakit kencing manis dapat dikurangkan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Effects of intermittent fasting on health markers in those with type 2 diabetes: A pilot study”[16] dan “Intermittent fasting vs daily calorie restriction for type 2 diabetes prevention: a review of human findings”.[17]

Amalan berpuasa juga boleh mengurangkan risiko buat perempuan yang sedang mengandung daripada menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (gestational diabetes). Kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa bagi ibu yang mengandung pada peringkat trimester kedua mampu mengurangkan risiko untuk ibu tersebut menghidap penyakit kecing manis ketika mengandung. Rujuk kajian: “Perspectives and pregnancy outcomes of maternal Ramadan fasting in the second trimester of pregnancy.”[18]

Keempat: Mengurangkan tahap keradangan. Kajian telah menunjukkan keradangan boleh membawa kepada pembentukan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung. Rujuk kajian yang bertajuk: The inflammation theory of disease”.[19]

Beberapa kajian terkini telah membuktikan bahawa puasa dapat membantu mengurangkan tahap keradangan, seterusnya membantu meningkatkan tahap kesihatan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Intermittent fasting during Ramadan attenuates proinflammatory cytokines and immune cells in healthy subjects”[20] dan “Interleukin-6, C-reactive protein and biochemical parameters during prolonged intermittent fasting”.[21]

Kelima: Mempercepatkan tempoh pemulihan. Puasa juga mampu menpengaruhi proses pemulihan di dalam badan. Ketika mana makanan tiada di dalam perut, anggota badan akan menfokuskan aktivitinya untuk fungsi-fungsi yang lain seperti aktiviti metabolik dan sistem ketahanan badan, berbanding dengan kerja-kerja penghadaman yang mana tidak diperlukan ketika seseorang itu sedang berpuasa.

Kajian telah menunjukkan bahawa sistem ketahanan badan di dalam usus pesakit yang berpuasa bertambah baik berbanding pesakit yang tidak berpuasa. Rujuk kajian yang bertajuk: “Progression of intestinal secretory immunoglobulin A and the condition of the patients during naturopathic therapy and fasting therapy”[22]

Keenam: Membantu mengurangkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori dan meningkatkan metabolisme badan.[23] Secara teorinya, menahan diri dari makan dan minum ketika berpuasa akan mengurangkan jumlah pengambilan kalori makanan dengan syarat tidak mengambil makanan secara berlebihan ketika bersahur dan berbuka, serta tidak mengambil makanan yang mempunyai nilai kalori yang tinggi secara berlebihan. Pengurangan jumlah kalori yang diambil pada kebiasaanya akan membawa kepada pengurangan berat badan.

Ada kajian menunjukkan bahawa berpuasa dalam tempoh seharian boleh mengurangkan berat badan sehingga 9% dan mengurangkan lemak badan dalam tempoh 12 hingga 24 minggu. Kajian lain pula menunjukkan berpuasa dalam tempoh 3 hingga 12 minggu adalah tempoh yang efektif untuk mengurangkan berat badan dan jisim lemak (fat mass) sehingga 8% dan 16%. Rujuk kajian yang bertajuk: “Effects of intermittent fasting on body composition and clinical health markers in humans”[24] dan “Intermittent versus daily calorie restriction: which diet regimen is more effective for weight loss?”[25]

Ketujuh: Penghasilan hormon anti penuaan. Ketika berpuasa, hormon pertumbuhan (growth hormone) akan dihasilkan lebih banyak berbanding dalam keadaan tidak berpuasa. Ini akan menyebabkan hormon anti penuaan dan hormon pertumbuhan yang lebih baik dihasilkan di dalam badan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Fasting enhances growth hormone secretion and amplifies the complex rhythms of growth hormone secretion in man”[26]

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa amalan berpuasa memberi banyak faedah terhadap kesihatan seseorang sebagaimana dibuktikan melalui ilmu perubatan dan Sains.

Meskipun begitu, kami ingin menegaskan bahawa tujuan utama seseorang itu berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Allah dan juga untuk meraih taqwa. Adapun manfaat kesihatan dalam ibadah puasa, ia merupakan satu bonus dan hikmah yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat melaksanakannya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan agar kita dapat melaksanakan serta menyempurnakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] (Surah al-Baqarah: 183)

[2] Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

[3] Riwayat Abu Ya’la (2349)

[4] Riwayat al-Tirmizi (723)

[5] Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 1/323

[6] (Surah Maryam: 26)

[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69

[8] 1/65-69

[9] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/65-69

[10] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20534972

[11] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[12] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17929537

[13] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2572991/

[14] https://www.medscape.org/viewarticle/565877

[15]  http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[16] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5394735/

[17] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/24993615

[18] https://bmcpregnancychildbirth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12884-019-2275-x

[19] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3492709/

[20] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/23244540

[21] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17374948

[22] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11799302

[23] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[24] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26374764

[25] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/21410865

[26] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC329619/