Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Berapakah bilangan rakaat witir yang paling banyak yang boleh dilakukan? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat witir ialah sunat muakkad. Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali R.A, katanya:
إنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”[2]
Hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”[3]
Bagi menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebutkan, solat witir adalah sunat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa khilaf. Bilangan rakaatnya yang paling sedikit ialah sebanyak satu rakaat. Manakala tahap kesempurnaannya yang paling rendah adalah dengan melakukannya sebanyak tiga rakaat, dan tahap yang lebih sempurna daripada itu pula adalah dengan mendirikannya sebanyak lima rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak tujuh rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sembilan rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaatnya yang paling banyak menurut pendapat masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab serta ramai ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Namun, terdapat pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat bahawa bilangan maksimum rakaat witir adalah sebanyak tiga rakaat. Pendapat ini telah dinukilkan oleh sebahagian ulama dari Khurasan.[4]
Sifat-sifat solat witir ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith sahih yang menceritakannya. Di antaranya, hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Solat witir ialah satu rakaat dilakukan pada akhir malam.”[5]
Hadith seterusnya, daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى فِيمَا بَيْنَ أَنْ يَفْرُغَ مِنْ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى الْفَجْرِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ وَيُوتِرُ بِوَاحِدَةٍ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلاَةِ الْفَجْرِ وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ الْمُؤَذِّنُ لِلإِقَامَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mendirikan solat sebanyak sebelas rakaat di antara selepas Baginda solat Isyak sehingga waktu terbit fajar. Baginda mengucap salam setiap dua rakaat dan mengakhirinya dengan satu rakaat. Apabila muazzin selesai azan solat Subuh dan fajar telah nyata, muazzin pun menemui Baginda, lalu Baginda bangun mendirikan solat sunat dua rakaat yang ringkas, kemudian Baginda mengiring atas lambung kanannya sehingga muazzin menemuinya lagi untuk iqamah.”[6]
Begitu juga hadith daripada Abu Ayyub R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ
Maksudnya: “Solat witir ialah hak yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa yang hendak melakukannya sebanyak lima rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya sebanyak tiga rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya sebanyak satu rakaat sahaja lakukanlah.”[7]
Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menjelaskan dalam kitabnya, solat witir paling minima adalah sebanyak satu rakaat. Kemudian, tahap kesempurnaan solat witir yang paling rendah adalah sebanyak tiga rakaat. Dibaca pada rakaat pertama selepas surah al-Fatihah surah al-A‘la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas. Inilah juga bacaan pada tiga rakaat terakhir, jika jumlah rakaat witir yang dikerjakan melebihi tiga rakaat. Seterusnya, tahap kesempurnaan solat witir yang paling tinggi adalah dengan melakukannya sebanyak lima rakaat, kemudian tujuh rakaat, kemudian sembilan rakaat dan kemudian sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaat witir yang paling banyak.[8]
Seterusnya Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan juga bahawa tidak boleh menambahkan bilangan rakaat witir melebihi sebelas rakaat. Perkara ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
ما كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَزِيدُ في رَمَضَانَ ولَا في غيرِهِ علَى إحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً
Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak solat melebihi sebelas rakaat sama ada pada Ramadhan atau selain daripadanya (Ramadhan).”[9]
Dalam riwayatnya yang lain datang dengan lafaz:
كان يُصلِّي مِنَ اللَّيلِ إحدى عَشْرةَ رَكعةً يُوتِرُ منها بواحِدَةٍ
Maksudnya: “Baginda SAW solat pada waktu malam sebanyak sebelas rakaat dan berwitir sebanyak satu rakaat daripadanya.”[10]
Justeru, tidak sah penambahan rakaatnya — melebihi sebelas rakaat — sebagaimana keseluruhan solat rawatib.[11]
Begitu juga sesiapa yang berpendapat, bilangan maksimum rakaat witir adalah sebanyak sebelas rakaat, berdasarkan kepada takwilan mereka bahawa perawi mengira bersamanya solat sunat Isyak. Hal ini kerana sekiranya bilangan rakaat ditambah sehingga tiga belas rakaat, maka tidak sah witirnya itu menurut jumhur ulama. Namun, terdapat pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Haramain dan selainnya bahawa boleh menambah bilangan rakaat witir melebihi sebelas rakaat kerana Nabi SAW menunaikan solat witir dalam beberapa bilangan rakaat yang berbeza. Justeru, ini menunjukan bahawa bilangan rakaatnya adalah tidak terhad. Kemudian, jumhur menjawab kembali hujah yang dikemukakan itu dengan menyatakan, perbezaan bilangan rakaat ini hanya apabila ia tidak melebihi tiga belas rakaat dan tidak dinukilkan satu pun bilangan rakaat yang melebihinya. Maka, ini menunjukkan kepada larangannya — yakni untuk melebihi had tersebut.[12]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa bilangan rakaat witir yang paling banyak ialah sebelas rakaat dan tidak boleh menambah lagi rakaat melebihinya. Malah, sebahagian ulama berpendapat bahawa berwitir sebanyak sebelas rakaat adalah tahap kesempurnaan solat witir yang paling tinggi mengikut tingkatannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215.
[2] Riwayat al-Tirmizi (453) dan yang lainnya
[3] Riwayat Abu Daud (1416)
[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12.
[5] Riwayat Muslim (752)
[6] Riwayat al-Bukhari (1071); Muslim (736)
[7] Riwayat Abu Daud (1422)
[8] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/372.
[9] Riwayat al-Bukhari (1147)
[10] Riwayat Ahmad (25486); Abu Daud (1335)
[11] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/373.
[12] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12.