#916 Tidur Sebelah Isteri Berpelukan Siang Hari Ramadhan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah seorang suami dibolehkan untuk tidur sebelah isterinya berpelukan pada siang hari Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya:Rasulullah SAW mencium salah seorang isteri Baginda dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.”[1]

Begitu juga dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Maksudnya:Rasulullah SAW mencium (isterinya) dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. Baginda juga bermesra-mesraan (dengan isterinya) dalam keadaan Baginda berpuasa, akan tetapi Baginda ialah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.”[2]

Secara umumnya, perbuatan bermesraan sesama suami isteri adalah suatu perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga mencium dan bermesra-mesraan dengan para isteri Baginda.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukumkan sebagai makruh bagi selainnya — yang mampu mengawal nafsunya. Namun, yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut. Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani. Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh. Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan bercumbuan itu, tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya. Begitu juga perbuatan bermesra-mesraan dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.

Kemudian, hukum makruh yang dimaksudkan bagi sesiapa yang terangsang syahwatnya ialah makruh tahrim. Ini merupakan pendapat pengarang al-Muhazzab, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-‘Abdari dan lain-lain ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, hukum makruh di sini ialah makruh tanzih selagi mana tidak keluar air mani. Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Mutawalli. Namun, al-Rafi‘i dan selainnya menyebutkan, pendapat yang paling sahih ialah makruh tahrim. Selain daripada itu, apabila seseorang itu berciuman dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal tanpa sebarang khilaf di sisi ulama mazhab Syafi‘i, tidak kira bagi mereka yang berpendapat makruh tahrim atau tanzih.

Di samping itu, seluruh fuqaha menyebutkan bahawa perbuatan berciuman itu tidak membatalkan puasa melainkan berlakunya inzal (keluar air mani). Oleh itu, sekiranya keluar air mani, maka puasanya batal dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya tanpa dikenakan kafarah.[3] Justeru, difahami bahawa puasanya tidak terbatal semata-mata disebabkan perbuatan berciuman, berpelukan dan bermesraan tetapi disebabkan oleh keluarnya air mani kerana perbuatan itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab, beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ: ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa. Maka Baginda SAW menjawab: ‘Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?’[4]

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan, Baginda SAW menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur. Sesungguhnya telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur-kumur lalu air sampai ke dalam rongganya, maka ia membatalkan puasa, dan sekiranya air tidak sampai ke dalam rongganya, maka ia tidak membatalkan puasanya. Justeru, ini menunjukan bahawa perbuatan berciuman (atau berpelukan) itu adalah sama sepertinya — yakni berkumur-kumur.[5]

Selain itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga ada menyebutkan, seorang lelaki yang mencium dan bermesraan dengan isterinya selain daripada jimak, sedangkan dia dalam keadaan berpuasa, kesemuanya itu adalah diharuskan dan tidak mengapa melakukannya kerana Nabi SAW sendiri mencium dan bermesraan dengan isterinya, sedangkan Baginda dalam keadaan berpuasa. Akan tetapi jika dia takut terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT disebabkan cepat terangsang syahwatnya, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Sekiranya air maninya keluar (kerana perbuatan itu), wajib ke atas dirinya untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) dan qadha’ (menggantikan puasa) serta tidak diwajibkan kaffarah di sisi jumhur ulama. Adapun keluarnya air mazi tidak merosakkan puasa menurut pendapat yang sahih dalam kalangan ulama kerana hukum asalnya adalah sah dan tidak membatalkan puasa disebabkan kesukaran untuk mengelakkan diri daripadanya.[6]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang suami yang tidur disebelah isterinya dalam keadaan berpelukan pada siang hari Ramadhan, hukumnya adalah makruh sekiranya perkara itu menyebabkan syahwatnya terangsang atau dikhuatiri keluarnya air mani, dan tidak mengapa serta tidak makruh jika dia mampu untuk menjaga dirinya daripada hal itu. Tidak kira dia seorang lelaki tua mahupun pemuda. Namun, adalah lebih baik untuk dia meninggalkan perbuatan berpelukan itu, ketika dia sedang berpuasa kerana hal itu adalah lebih selamat dan keluar daripada khilaf. Begitu juga puasanya tidak terbatal selagi mana tidak keluar air mani. Ini adalah sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.

Walau bagaimanapun, jika perbuatan berpelukan atau bermesraan itu menyebabkan keluarnya air mani, maka puasanya adalah terbatal. Dia wajib menggantikan puasa itu dan tiada kafarah dikenakan ke atasnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Riwayat Muslim (1106)

[2] Riwayat Abu Daud (2382)

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/355.

[4] Riwayat Abu Daud (2385)

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/321.

[6] Lihat Fatawa Ibn Baz, 4/202.