Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Jika seseorang berpuasa di negara yang siangnya lebih panjang daripada malam, iaitu sekitar 19 jam, bilakah waktu yang dia boleh berbuka? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” [1]
Nabi SAW bersabda:
بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.” [2]
Dari sudut bahasa, puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Manakala, puasa dari sudut Syarak pula bermaksud menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.[3]
Hal ini juga sepertimana disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri ketika menjelaskan makna puasa yang ditakrifkan oleh Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi: “Yang dimaksudkan adalah menahan daripada perkara yang membatalkan sepanjang siang hari bermaksud bermula daripada terbit matahari sehingga terbenam matahari.”[4]
Isu Berpuasa di Tempat yang Siangnya Lebih Panjang
Berbalik kepada persoalan di atas, secara ringkasnya terdapat dua pandangan dalam menjelaskan persoalan tersebut, iaitu:
Pandangan Pertama:
Mereka yang berada dalam situasi di atas perlu berpuasa seperti biasa, iaitu bermula daripada terbitnya matahari sehingga terbenam matahari. Ini kerana, walaupun siangnya panjang, namun waktu malam dan siang di tempat tersebut tetap boleh dibezakan dalam tempoh 24 jam. Hal ini berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith yang menjelaskan bahawa waktu solat itu ada yang dilakukan pada waktu siang, dan ada yang dilakukan pada waktu malam.
Allah SWT berfirman:
أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
Maksudnya: “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”[5]
Allah SWT turut berfirman:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”[6]
Terdapat pula hadith yang menyokong kedua-dua ayat al-Quran di atas, iaitu sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغْرُبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ
Maksudnya: “Waktu Zuhur adalah ketika matahari tergelincir. Iaitu bila bayang seseorang sama dengan ketinggiannya. Waktu asar adalah selagimana matahari tidak kekuningan. Waktu solat Maghrib selagimana mega tidak hilang. Waktu solat Isyak pula berpanjangan sehingga sebahagian tengah malam. Dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar dan berpanjangan selagimana matahati tidak terbit. Jika matahari sudah terbit maka berhenti bersolat. Kerana pada waktu itu, matahari terbit di antara dua tanduk Syaitan.”[7]
Justeru, mereka yang berpegang dengan pandangan yang pertama ini menegaskan bahawa, waktu berpuasa adalah tetap bermula daripada terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari mengikut waktu di negara tersebut, meskipun waktu siang di negara tersebut menjangkau 19 jam. Hal ini disebabkan waktu malam dan siang tetap boleh dibezakan dalam tempoh 24 jam. Hujah ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”[8]
Antara lajnah fatwa yang berpegang dengan pandangan ini adalah al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, di mana ketika ditanya berkenaan isu ini, mereka menyebut: Bagi orang yang bermukim di negara atau kawasan yang malam dan siangnya dapat dibezakan dengan terbitnya fajar dan tenggelamnya matahari, meskipun waktu siang lebih panjang pada musim panas dan singkat pada musim dingin, maka wajib bagi mereka untuk mengerjakan solat lima waktu pada waktu masing-masing. Berkenaan waktu puasa di bulan Ramadhan pula, maka tetap seorang Muslim yang dikenakan kewajiban puasa untuk menahan diri daripada makan dan minum, serta daripada segala perkara yang membatalkan puasa, setiap hari bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari di kawasan atau negaranya.
Hal ini berlaku selagi mana waktu siang dan malam dapat dibezakan di tempatnya, dan jumlah malam dan siang tetap 24 jam. Dan halal bagi mereka untuk makan, minum, berhubungan intim pada waktu malam meskipun tempoh malamnya yang singkat. Hal ini kerana, seperti yang difahami bahawa syariat Islam itu adalah umum untuk seluruh manusia di pelbagai tempat dan kawasan. Dan Allah SWT berfirman: ‘وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ’ (“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”) [Surah al-Baqarah : 187]
Sesiapa yang tidak mampu untuk berpuasa kerana waktu siang yang begitu panjang, atau berdasarkan pengalaman yang lepas, atau keterangan daripada doktor yang thiqah, atau jika dia puasa boleh membinasakan atau mendapat sakit yang parah, atau sakitnya bertambah bahayanya, atau (untuk mendapat) kesembuhannya menjadi bertambah lama, maka dia boleh untuk tidak berpuasa. Akan tetapi, dia tetap perlu mengqadha’ (mengganti) puasanya pada hari yang lain, ketika dia mampu, pada mana-mana bulan. Allah SWT berfirman: ‘فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ’ (“Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”) [Surah al-Baqarah: 185] Firman-Nya: ‘لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا’ (“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”) [Surah al-Baqarah: 286] Firman-Nya: ‘وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ’ (“…dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”) (Surah al-Hajj: 78)[9]
Pandangan kedua:
Menurut pandangan kedua ini, situasi seperti dalam persoalan adalah disebut sebagai cacatnya alamat (اختلال العلامة). Hal ini disebabkan waktu siangnya lebih panjang berbanding kebiasaan di sebahagian negara.
Justeru, dalam situasi tersebut, boleh untuk mengqiyaskan waktu berbuka kepada mana-mana kawasan ini, iaitu:
- Kota suci Makkah
- Negara yang terdekat, di mana waktu siang dan malamnya mempunyai tempoh waktu yang sama.
Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jad al-Haq (mantan Syeikh al-Azhar), Syeikh ‘Abd al-Latif Hamzah, Syeikh Said Tantawi, Syeikh ‘Ali Jumu’ah dan juga Syeikh Mustafa al-Zarqa’.[10]
Di dalam Tafsir al-Manar, dijelaskan: “Mereka berbeza pendapat berkenaan perkiraan waktu, negara mana yang hendak dijadikan dasar pegangan (tentang perhitungan waktu). Ada yang mengatakan bahwa yang menjadi pegangan adalah negara yang padanya diturunkan syariat, iaitu Makkah atau Madinah. Ada juga yang berpendapat, perlu didasarkan kepada perhitungan waktu yang berlaku di negara yang paling dekat. Kedua-dua pendapat tersebut dibolehkan, kerana keduanya merupakan ijtihad, dan tidak ada nas secara pasti mengenai hal tersebut.[11]
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan serta pandangan-pandangan yang telah dikemukakan, kami nyatakan bahawa kami lebih cenderung kepada pandangan yang kedua, iaitu dengan mengqiyaskan waktu berbuka sama ada kepada Kota Suci Makkah atau negara yang paling dekat, yang memiliki waktu siang dan malam dengan tempoh yang hampir sama. Hal ini disebabkan ia dilihat lebih menepati maqasid syara’ di samping memberi keringanan terhadap mereka yang terpaksa melakukan ibadah puasa melebihi 19 jam.
Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “…dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”
Syeikh al-Sobuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh tolak ansur.”[12]
Menurut Syeikh Mustafa al-Zarqa’, yang paling penting adalah menjaga maqasid syariat dalam menentukan waktu solat dan juga waktu berpuasa agar ia tidak menjadi satu taklifan yang tidak mampu dilakukan, dan juga menyerlah maksud syariat itu tanpa ada pengurangan padanya.”[13]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] (Surah al-Baqarah: 183)
[2] Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69
[4] Lihat Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi, 1/427
[5] (Surah al-Isra’: 78)
[6] (Surah al-Nisa’ : 103)
[7] Riwayat Muslim (1419)
[8] (Surah al-Baqarah : 187)
[9] Lihat https://www.alifta.gov.sa/Ar/Magazine/Pages/issues.aspx?cultStr=ar&View=Page&PageID=6037&PageNo=1&BookID=2
[10] Lihat al-‘Aql wa al-Fiqh fi Fahm al-Hadith al-Nabawi, hlm. 124
[11] Lihat Tafsir al-Manar, 2/163
[12] Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/275
[13] Lihat al-‘Aql wa al-Fiqh fi Fahm al-Hadith al-Nabawib, hlm. 125