Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah maksud malam al-Qadar? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar (1) Dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Surah al-Qadr: 1-3
Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat “لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ” bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447)
Bagi menjawab persoalan di atas, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan makna malam al-Qadar. Di antaranya:
- Malam tersebut Allah SWT menetapkan ajal manusia dan rezeki manusia serta qadar Allah SWT sama ada baik atau buruk sebagaimana disebutkan oleh al-Baghawi di dalam tafsirnya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 7/228.)
- Malam al-Qadar diambil namanya disebabkan oleh kedudukannya, kemuliannya dan kebesarannya. Maka, oleh sebab itu, sekiranya ingin memuji seseorang boleh dipanggil dengan “ذو قدر” iaitu orang yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan. Sesungguhnya amalan soleh dan ketaatan kepada Allah SWT pada malam tersebut mendapat ganjaran yang cukup besar serta kedudukan yang cukup mulia. Hal ini kerana malam tersebut ditaqdirkan Allah SWT bahawa al-Quran diturunkan. (Lihat Tafsir al-‘Iz bin ‘Abd al-Salam, 3/473.)
- Al-Hafiz Ibn Hajar ada menukilkan pendapat, ia dinamakan sedemikian kerana keagungannya seperti mana firman Allah SWT:
وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ
Maksudnya: “Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya.”
Surah al-Zumar: 67
Maknanya, ia merupakan malam yang mengandungi kedudukan kerana diturunkan al-Quran di dalamnya, atau disebabkan oleh turunnya malaikat pada malam tersebut, atau kerana keberkatan, rahmat dan keampunan yang turun pada malam itu, atau juga kerana orang yang menghidupkan malam tersebut mendapat kedudukan. (Lihat Fath al-Bari, 4/255.)
- Ibn Qudamah berpendapat malam al-Qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. (Lihat al-Mughni, 3/178.)
- Selain itu, ada juga yang berpendapat al-Qadr di sini maknanya adalah menyempitkan. Dalam erti kata lain, penyempitan di dalamnya adalah merujuk kepada menyembunyikan pengetahuan berkenaan penentuan harinya secara khusus atau kerana bumi ini terlalu sempit untuk para malaikat. (Lihat Fath al-Bari, 4/255.)
- Dinamakannya sebagai malam al-Qadar kerana ia merupakan malam penentu (pemutus) dan penghukum. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa Imam al-Nawawi berpendapat, dinamakan sebagai malam al-Qadar disebabkan oleh pada malam itu para malaikat menulis takdir-takdir (qadar) manusia, berdasarkan firman Allah SWT:
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
Maksudnya: “Pada malam tersebut, dijelaskan setiap perkara yang mengandungi hikmat ketetapan takdir.”
Surah al-Dukhan: 4
Hal ini juga adalah sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dan selainnya daripada kalangan ahli tafsir dengan sanad-sanad yang sahih daripada Mujahid, ‘Ikrimah, Qatadah dan lain-lain (Lihat Fath al-Bari, 4/255.). Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, inilah pendapat yang sahih lagi masyhur sebagaimana yang disebutkan oleh al-Mawardi, Ibn al-Sabbagh dan lain-lain. Para ashab kami menyebutkan, kesemua mereka iaitu yang dijelaskan pada malam tersebut setiap perkara yang mengandungi hikmat ketetapan takdir. Inilah pendapat yang tepat dan dipegang oleh jumhur ulama. ( Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447-448.)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa malam al-Qadar atau lailatul qadar dinamakan sedemikian kerana pada malam tersebut ditentukan dan diputuskan takdir (qadar) setiap insan. Ini juga merupakan pendapat yang disahihkan oleh Imam al-Nawawi dan dipegang oleh jumhur ulama.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa malam al-Qadar atau lailatul qadar merupakan malam yang mulia dan agung, serta di dalamnya mengandungi pelbagai kelebihan seperti diturunkan rahmat, keampunan dan keberkatan, merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malam yang diturunkan al-Quran dan lain-lain. Justeru, janganlah sesekali kita mensia-siankannya dan berusahalah untuk mencarinya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita rezeki untuk bertemu dengan lailatul qadar, dan seterusnya menjadikan kita termasuk dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diberikan kemuliaan dan kedudukan yang terpuji sebagaimana kedudukan malam al-Qadar. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 22 April 2022 bersamaan 20 Ramadhan 1443H