#1067 Waktu Tamat Larangan Bagi Orang yang Memiliki Korban yang Banyak

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Sekiranya seseorang itu memiliki lebih daripada seekor haiwan korban, maka bilakah waktu tamatnya larangan bagi menghilangkan bulu atau memotong kuku baginya? Adakah selepas selesai kesemua haiwan korbannya disembelih atau cukup dengan sembelihan haiwan korbannya yang pertama?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”[1]

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.”[2]

Secara umumnya, apabila bermulanya 10 terawal Zulhijjah (yakni bermula pada 1 Zulhijjah), seseorang yang berazam melakukan sembelihan korban, sunat baginya supaya tidak menghilangkan bulunya seperti rambut, janggut, misai dan lain-lain dan kukunya sehingga dilakukan penyembelihan. Oleh itu hendaklah menjaga daripada memotong apa-apa bulu di badannya mahupun kukunya dengan baik.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya:Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.”[4]

Walau bagaimanapun, perintah tersebut bukanlah wajib (yakni tidak boleh menghilangkan apa-apa bulu dan memotong kuku) kerana dia bukanlah dalam keadaan berihram, sebaliknya perintah larangan tersebut difahami sebagai makruh tanzih. Hikmahnya adalah supaya setiap juzuk anggotanya kekal dalam keadaan sempurna agar semuanya dibebaskan daripada api neraka. Dikatakan kerana dia menyerupai orang yang dalam keadaan berihram dari satu sudut (yang diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain).[5]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, sebahagian ulama memahaminya sebagai haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku sehinggalah dia selesai melakukan korban. Ini merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib, Rabi‘ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala Imam al-Syafi‘i dan ashabnya yang lain berpendapat bahawa larangan tersebut adalah makruh tanzih dan bukannya haram.[6]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Ibn Hajar al-Haitami ketika mensyarahkan al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah menyebutkan, dihukumkan sebagai makruh bagi orang yang ingin melakukan korban untuk menghilangkan bulu atau selainnya seperti kuku atau apa-apa bahagian (juzuk) badannya, bermula 10 terawal Zulhijjah (yakni 1 Zulhijjah) sehinggalah haiwan korbannya disembelih sekalipun haiwan korbannya yang pertama bagi sesiapa yang memiliki banyak haiwan korban.[7]

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan, terdapat pendapat dalam kalangan mazhab Syafi‘i yang berpendapat hukum makruh itu hilang dengan sembelihan haiwan korbannya yang pertama. Meskipun begitu, afdhalnya dia tidak melakukan sesuatu apapun daripada perkara itu (yakni memotong bulu dan kuku) sehinggalah kesemua haiwan korbannya selesai disembelih.[8]

Begitu juga al-Bujairami turut menyatakan, jika seseorang itu ingin melakukan korban lebih daripada satu — yakni banyak — maka terangkatnya hukum makruh untuk menghilangkan bulu dan memotong kuku baginya adalah dengan selesainya sembelihan haiwan korbannya yang pertama sebagaimana yang telah ditegaskan oleh sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, dan inilah pendapat yang muktamad.[9]

Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan lagi dalam kitabnya yang lain, jika haiwan korbannya itu banyak, maka hilangnya (yakni berakhir) hukum kemakruhan tersebut dengan menyembelih haiwan korbannya yang pertama. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang paling tepat di sisi ulama usul bahawa:

الْحُكْمَ الْمُعَلَّقَ عَلَى مَعْنًى كُلِّيٍّ يَكْفِي فِيهِ أَدْنَى الْمَرَاتِبِ لِتَحْقِيقِ الْمُسَمَّى فِيهِ

Maksudnya:Suatu hukum yang terikat dengan makna keseluruhan, cukup (yakni diambil kira) dengan pelaksanaan tingkatannya yang paling bawah bagi mewujudkan makna daripada kata keseluruhan itu.”[10]

Al-Isnawi ketika membahaskan berkenaan kaedah fiqh di atas iaitu “الحكم الْمُعَلق على الِاسْم” (yakni suatu hukum yang terikat dengan sesuatu); adakah dikira cukup dengan pelaksanaannya yang terawal (yakni peringkat yang paling bawah) atau mesti sehingga yang terakhir (yakni peringkat yang paling tinggi)? Beliau menyebutkan bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai perkara tersebut dan pendapat yang paling sahih ialah pendapat yang pertama (yakni cukup dengan pelaksanaan tingkatannya yang paling bawah).

Bukan itu sahaja, beliau juga ada membawakan contoh dalam permasalahan fiqh yang terkait dengan kaedah tersebut iaitu sekiranya seseorang itu ingin melakukan korban dengan beberapa haiwan (yakni lebih daripada satu), maka adakah kekal larangan menghilangkan bulu dan memotong kuku sehinggalah akhirnya (yakni haiwan korban terakhir selesai disembelih) atau larangan itu hilang atau diangkat dengan sembelihan haiwan korbannya yang pertama?[11] Justeru, dapat difahami bahawa hukum kemakruhan (yakni menghilangkan bulu dan memotong kuku) bagi orang yang memiliki lebih daripada satu haiwan korban terangkat dengan sembelihan haiwan korbannya yang pertama.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa waktu hilangnya larangan — yakni hukum makruh — memotong kuku dan bulu bagi orang yang mempunyai korban yang banyak adalah dengan selesainya penyembelihan haiwan korbannya yang pertama. Akan tetapi sebaiknya (afdhalnya) dia tidak melakukannya — yakni memotong kuku dan bulu — sehinggalah kesemua haiwan korbannya selesai disembelih sebagaimana yang disarankan oleh al-Khatib al-Syirbini. Hal ini kerana ia adalah lebih selamat dan keluar daripada khilaf.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 15 Julai 2022 bersamaan 15 Zulhijjah 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Surah al-Kauthar: 2

[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/236; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/487.

[4] Riwayat Muslim (1977)

[5] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/487.

[6] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/138.

[7] Lihat al-Minhaj al-Qawim fi Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 482.

[8] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/124.

[9] Lihat Hasyiah al-Bujairami ‘ala Syarh al-Manhaj, 4/295.

[10] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/347-348.

[11] Lihat al-Tamhid fi Takhrij al-Furu‘ ‘ala al-Usul, hlm. 263.