#7755: Ulasan Tentang Filem Kontroversi “Mentega Terbang”

 

Mukadimah

Saya bukan orang filem untuk menilai kualiti sesebuah filem. Tapi saya tahu, karya seni yang baik akan menyampaikan maksud dalam dua pendekatan iaitu teks dan subteks. Teks adalah yang boleh dilihat mata kasar, sementara subteks lebih subjektif sifatnya. Ia perlu direnung dan dirasakan berdasarkan ilmu, pengalaman dan kerangka pemikiran seseorang. Teks penting untuk menarik orang menonton dan subteks untuk membawa penonton menjelajah lebih dalam sesebuah filem tanda atau idea yang dimaksudkan menerusi perlambangan.

Tindakan pantas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menegaskan bahawa filem ini “bertentangan dengan akidah” adalah maklum balas yang wajar bagi sebuah agensi Kerajaan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diarahkan oleh Yang Berhormat Menteri untuk memanggil pihak yang terlibat. Ia juga perlu bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh.

Apa yang perlu bagi sebuah Kerajaan, selain tindakan perundangan adalah naratif penjelasan ilmiah yang mampu menjawab tema-tema yang diangkat dalam filem berkenaan. Apa yang berlaku di sekitar tahun 2020 – 2021 terutamanya isu salah faham tentang vaksin, saya jelaskan dengan tuntas dalam Majalah Al-Bayan, majalah yang diedarkan percuma dan boleh dimuat turun di web Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini. Begitu juga isu-isu lain sepanjang tempoh berkenaan. Kesemua 12 siri ebook Majalah Al-Bayan sepanjang lebih 1 tahun saya di dalam Kabinet, masih boleh dimuat turun di Telegram saya.

Zaman yang berkembang memerlukan setiap permasalahan dan persoalan, ada jawapannya. Apatah lagi jika isu-isu melibatkan agama. Saya yakin pihak Kerajaan ada segala kemampuan yang mencukupi baik dari segi tenaga pakar dan sebagainya. Tindakan dari sudut perundangan atau arahan menarik balik filem itu perlu bagi menyelia masyarakat agar tidak melebih batas dan norma yang selayaknya, dan dalam masa yang sama pendekatan yang lebih berhemah seperti membentangkan hujah balas dan berdiskusi juga perlu diberi perhatian.

Menjadi kelaziman saya dalam memutuskan sesuatu perkara atau hukum dengan menggunakan satu kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas sesuatu perkara adalah cabang daripada gambarannya.”

Alhamdulillah, pada hari Jumaat, 3/3/2023 saya dan para penyelidik di Maktabah Al-Bakri telah menonton filem Mentega Terbang sehingga tamat. Justeru, dalam siri Al-Mawaqif kali ini, saya akan mengupas tema-tema utama yang diangkat dalam filem Mentega Terbang, samada yang saya persetujui dan sebaliknya. Saya mengharapkan agar apa yang saya kemukakan ini menjadi pedoman kepada semua pihak yang terlibat dan juga umat Islam serta rakyat Malaysia amnya.

Kekeluargaan dan Perpaduan Antara Kaum

Saya akui, filem ini berjaya mengenengahkan beberapa tema yang positif dan amat berkesan di hati penonton. Antaranya adalah semangat kekeluargaan dan perpaduan antara kaum.

Aisyah dilihat mempunyai hubungan yang erat dengan ibu bapanya dan sentiasa mengharapkan keajaiban berlaku kepada ibunya yang sedang menderita kanser. Atas dasar kasihnya, Aisyah sedaya upaya mencari jawapan yang mendamaikan bagi kehidupan selepas kematian untuk menyelesaikan persoalan berkenaan “dunia” ibunya sekiranya ibunya meninggal dunia. Meja makan menjadi tempat mereka berbincang dan berbual tentang segala-galanya dengan penuh kasih sayang. Aisyah nampaknya amat menghormati ayahnya dan mengasihi ibunya.

Disamping itu, elemen perpaduan kaum yang disuntik menunjukkan hubungan kejiranan yang harmoni walaupun pada skop yang kecil iaitu Uncle Kasim yang sentiasa mengambil berat, Auntie Esther yang lemah lembut, dan Suresh yang amat memahami.

Mencari Hakikat Kebenaran dan Memahami Keraguan

Semua agama, samada bersifat berTuhan atau tidak berTuhan, monoteisme atau politeisme, wujud dengan berpegang kepada konsep kebenaran mutlak mengikut kefahaman masing-masing. Tidak kira sama ada ia benar atau tidak, rasional atau tidak. Terdapat sekurang-kurangnya tiga cara melihat dakwaan kebenaran, iaitu eksklusivisme, inklusivisme, dan pluralisme.

Eksklusivisme adalah kebenaran mutlak yang dimiliki oleh agama tertentu secara eksklusif. Konsep kebenaran mutlak seperti ini wujud dalam agama-agama samawi iaitu Yahudi, Kristian, dan Islam.

  • Agama Yahudi mempunyai doktrin umat pilihan (am segulah). Kebenaran, ketakwaan, dan keselamatan hanya berdasarkan bangsa yang khusus, iaitu bangsa Yahudi.
  • Kristian Katolik mempunyai doktrin “di luar Gereja tidak ada keselamatan” (Extra Ecclesiam nulla salus) dan Protestan mempunyai doktrin di luar Kristian, tidak ada keselamatan.
  • Manakala, Islam tampil dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam.”

(Surah Ali Imran: 19)

Adapun inklusivisme lebih longgar. Hanya satu agama yang benar, tetapi ia juga cuba untuk meraikan dengan memasukkan penganut agama lain dalam lingkungan “keselamatannya”. Bukan kerana agama selainnya itu benar, tetapi lebih tepatnya kerana limpahan rahmat dan rahmat dari kebenaran mutlak yang ada pada satu agama ini. Faham ini diterima pakai secara rasmi dalam Kristian Katolik bermula Second Vatican Ecumenical Council pada 11 October 1962 – 8 December 1965.

Selain konsep-konsep di atas, ada juga konsep keselamatan seperti agama Hindu. Dalam agama Hindu, keselamatan adalah pembebasan Atman dari Samsara, iaitu kitaran kematian dan kelahiran semula serta mencapai tahap kerohanian yang tertinggi. Ia adalah matlamat akhir agama Hindu, hatta neraka dan syurga juga bersifat sementara. Ini dipanggil moksha (pembebasan) atau mukti (pelepasan). Moksha dapat difahami sebagai pelepasan terakhir dari konsep duniawi diri yang ada pada seseorang.

Pun begitu, apa yang kita dapati dalam Mentega Terbang, konsep kebenaran mutlak ini dimomokkan seolah-olah hanya Islam yang berpandangan sedemikian, tidak Kristian, Hindu atau Buddha. Melalui watak Uncle Kasim dan faham kebenaran mutlak yang dipegangnya berdasarkan dialog-dialog beliau, Islam digambarkan dengan sikap holier than thou, tidak seperti Auntie Esther (mewakili Kristian) yang lebih tenang, mesra dan sentiasa bersangka baik. Itu satu perbandingan yang berat sebelah.

Saya tidak berhasrat menghuraikan hal ini dengan lebih mendalam kerana sebagai Muslim, sudah tentu keyakinan saya bahawa konsep kebenaran mutlak pada Islam adalah yang tepat. Tidak perlu untuk kita menganuti dan merasai pengalaman pelbagai agama untuk kita mengkaji kebenaran sesuatu agama, sebagaimana dakwaan segelintir pihak. Adalah mustahil untuk kita menganuti dan merasai pengalaman beragama melalui pelbagai agama di dunia dengan umur yang kita ada untuk memastikan sesuatu kebenaran.

Saya melihat, Mentega Terbang seolah-olah ingin mengangkat kaedah keraguan (methodical doubt) atau Cartesian doubt yang diperkenalkan oleh Bapa Falsafah Moden, Rene Descartes. Kaedah keraguan sebagai cara untuk sampai kepada kebenaran sememangnya datang daripada tradisi tamadun Barat. Pun begitu, ia akhirnya memberi pengaruh kepada segelintir umat Islam dek kefahaman agama yang cetek atau pembacaan yang terhad. Malah, segelintir mereka sampai menyatakan bahawa kaedah keraguan seperti yang dibawakan oleh Descartes menyamai apa yang dibentangkan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Munqidh min al-Dalal.

Hakikatnya, kaeadah keraguan yang dibentangkan oleh Imam al-Ghazali memang mempunyai persamaan asas dengan apa yang diperkatakan oleh Descartes. Kedua-duanya bermula daripada keraguan dan melakukan kajian terhadap pancaindera dan akal sebelum mencapai kebenaran. Persamaan ini kemudiannya dijadikan asas penilaian oleh sesetengah pihak bahawa “kebenaran boleh dicapai dengan keraguan.” Di sinilah keraguan dan syak dalam kalangan segelintir umat Islam timbul yang akhirnya membawa kepada tema-tema yang dibangkitkan dalam Mentega Terbang. Filem berkenaan menimbulkan pelbagai bentuk keraguan yang mungkin bertujuan untuk bersikap kritis terhadap agama dan membuka pilihan kepada penonton untuk memilih kebenaran yang mereka yakini dengan mengabaikan keterbatasan mereka dari sudut ilmu, pengalaman, dan pengaruh sekeliling.

Sedangkan menurut Cemil Akdodan, terdapat perbezaan besar antara kaedah keraguan Imam al-Ghazali dan Descartes. Imam Al-Ghazali berada dalam kerangka akidah Islam yang tiada masalah dengan isu kewujudan Tuhan, sedangkan Descartes bermula dengan meragukan Tuhan dan meletakkan penekanannya pada pemikiran manusia atau falsafah sekular (Akdodan, 2008: 102-103) yang berpaksikan rasionalisme. Kupasan mendalam tentang perbezaan keduanya boleh dirujuk pada artikel Mohamad Alwahaib bertajuk al-Ghazali and Descartes from Doubt to Certainty: A Phenomenological Approach.

Dalam Islam, peranan manusia dalam proses pemerolehan ilmu dan kebenaran, mesti selari dengan mengakui akan kewujudan dan peranan Allah SWT. Allah SWT adalah sumber ilmu dan kebenaran yang hakiki, sehingga tidak ada ilmu dan kebenaran yang dicapai manusia tanpa proses mengenali Allah SWT. Inilah maksud firman-Nya

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya: “Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.” 

(Surah al-Baqarah: 147)

Akidah Islam mengajarkan kita bahawa Allah SWT dalam hal ini tidak melepaskan manusia bebas tanpa pengawasan, tetapi Dia menyediakan manusia dengan akal yang murni. Manusia yang mencari kebenaran dengan bersumberkan pancaindera, akal dan pengalaman sebatas makhluk Tuhan yang bersifat nisbi (mumkin al-wujud), sudah tentu natijahnya adalah terhad jika hendak dibandingkan dengan Allah yang bersifat Wujud Mutlak (wajib al-wujud).

Jelas di sini, kebenaran tidak mustahil untuk dicapai, bersifat mutlak dan bukan relatif. Ini berdasarkan kaedah yang dikemukakan oleh Imam al-Nasafi menyebut:

حَقَائِقُ الْأَشْيَاءِ ثَابِتَةٌ، وَالْعِلْمُ بِهَا مُتَحَقِّقٌ، خِلَافًا لِلسُّوفِسْطَائِـــيَّة.

Maksudnya: “Hakikat sesuatu adalah tetap dan ilmu terhadapnya boleh dicapai; berbeza dengan golongan sofis (orang yang jahil yang ta’asub dengan kejahilannya).”

Islam melihat bahawa kebenaran relatif wujud tetapi tidak bermaksud bahawa semua yang benar adalah agak bersifat seperti falsafah relativisme (al-nisbiyyah). Dalam Islam ada kebenaran mutlak (al-haqq) dan ada kebenaran relatif (al-sawab). Al-Haqq lawannya adalah al-batil (palsu) manakala al-sawab lawannya adalah al-khata’ (salah). Inilah yang dimaksudkan pada kenyataan Imam al-Syafie:

قَوْلِي صَوَابٌ يَحْتَمِلُ الْخَطَأَ، وَقَوْلُ الْمُخَالِفِ خَطَأٌ يَحْتَمِلُ الصَّوَاب

Maksudnya: “Ucapanku benar boleh diandaikan berlaku kesilapan. Sedangkan ucapan orang yang menentangku silap boleh jadi diandaikan benar.”

Apa masalah utama pada relativisme? Slogan pasca moden (ma ba’da al-hadathah) di Barat yang menganggap semua adalah relative (all is relative) menzahirkan pendirian mereka bahawa tidak ada kebenaran mutlak. Natijahnya, realiti dan kebenaran serta nilai dan lain-lainnya adalah relatif semuanya, sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan zaman dan berbeza pada setiap individu. Maka, secara tidak langsung ia mengubah nilai dan prinsip kebenaran itu sendiri.

Lebih merisaukan, idea pasca kebenaran (ma ba’da al-haqiqah) sudah mula menyusup masuk dalam pemikiran umat Islam. Fakta yang bersifat objektif tidak lagi mempunyai pengaruh untuk membentuk pendapat umum. Apa yang lebih utama dan lebih “benar” adalah emosi dan kepercayaan peribadi.

Masalah Pluralisme Agama

Pluralisme muncul dan berkembang dalam suasana sosio-politik humanisme sekular Barat yang membawa kepada lahirnya demokrasi liberal (tidak semuanya bermasalah tetapi memerlukan kupasan khusus pada masa lain). Salah satu paksi utamanya ialah pluralisme agama.

Pluralisme agama seakan-akan mahu membawa mesej kebenaran yang bersifat manusiawi, ramah, toleransi, dan demokratik. Semua ini boleh ditemui dalam makalah-makalah yang ditulis oleh pelopornya, John Hick. Semua agama boleh dianggap sebagai jalan yang boleh memberikan keselamatan, kebebasan, dan pencerahan. Kesemuanya adalah benar, kerana pada dasarnya mereka menuju kepada Kebenaran yang sama, iaitu Tuhan.

Ironinya, pemahaman sebegini akhirnya akan membawa satu lagi kecelaruan iaitu ‘kebenaran relatif’ yang mutlak. Pendokongnya bukan sahaja mahu mendakwa semua agama adalah sama, dan semuanya menuju kepada kebenaran mutlak yang sama, tetapi mereka juga sebenarnya mahu mengatasi dakwaan ini. Hanya dakwaan pluralisme agama yang mutlak dan benar.

Pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali.  (Peter Byrne, 1995: 12)

Dengan menisbikan kebenaran mutlak, ini bermakna secara tersirat ia telah menafikan, atau sekurang-kurangnya merendahkan kebenaran mutlak yang sebenar. Tuntutan pluralisme agama membawa implikasi berbahaya kepada manusia samada yang bersifat teori, epistemologi, dan metodologi, atau yang bersifat ideologi dan akidah, atau yang berkaitan dengan isu yang lebih praktikal, iaitu hak asasi manusia (human rights), terutamanya kebebasan beragama.

Paling penting, sehingga hari ini kita belum temui bukti faham pluralisme agama ini mampu menyelesaikan isu pertelingkahan dan mewujudkan toleransi yang sebenar antara agama tanpa menggadaikan prinsip akidah masing-masing.

Konsep Kelahiran Semula dan Kritikan

Penghujung filem Mentega Terbang adalah jawapan kepada keseluruhan persoalan-persoalan yang timbul. Saya beranggapan Aisyah masih kekal Muslim walaupun ayahnya terbuka untuk anak murtad. Pun begitu, Aisyah seakan percaya kepada konsep kelahiran semula apabila melihat seekor kupu-kupu (butterfly) yang hinggap di batu nisan ibunya dan tersenyum puas.

Konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad yang lain wujud dalam pelbagai agama-agama selain Islam. Ia berasal daripada beberapa buah agama dan falsafah kerohanian seperti Hindu, Buddha, sebahagian ajaran Greek, ajaran Mesir Purba, dan sebahagian agama-agama di Afrika. (Al-Rashid, Hayfa’ Bint Nasr 2015, 239). Ia juga diistilahkan sebagai tanasukh al-arwah. Antara para ulama’ silam yang telah mengkritik akidah tanasukh al-arwah ini adalah Ibn Hazm (Al-Fasl fi Al-Milal Wa Ahwa’ Al-Nihal, 1/91, 1/93-94; Rasa’il Ibn Hazm, 3/220), Al-Amidi (Ghayat Al-Maram, 297), Ibn al-Qayym (Al-Ruh, 93) , dan Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi (Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 2/584).

Kematian adalah sesuatu yang pasti dan semua manusia pasti akan menghadapinya. Firman Allāh SWT:

وَجَآءَتۡ سَكۡرَةُ ٱلۡمَوۡتِ بِٱلۡحَقِّۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِيدُ ١٩ وَنُفِخَ فِي ٱلصُّورِۚ ذَٰلِكَ يَوۡمُ ٱلۡوَعِيدِ ٢٠ وَجَآءَتۡ كُلُّ نَفۡسٖ مَّعَهَا سَآئِقٞ وَشَهِيدٞ ٢١ لَّقَدۡ كُنتَ فِي غَفۡلَةٖ مِّنۡ هَٰذَا فَكَشَفۡنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلۡيَوۡمَ حَدِيدٞ.

Maksudnya: “Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmaut” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan. Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi; (Serta dikatakan kepadanya): “Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)”. 

Ada banyak dalil-dalil berkenaan keadaan mereka yang meninggal dunia yang mana keadaan mereka samada diberi nikmat atau diazab, bukannya berpindah ke tubuh individu lain yang masih hidup. Firman Allah SWT:

فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُواْۖ وَحَاقَ بِـَٔالِ فِرۡعَوۡنَ سُوٓءُ ٱلۡعَذَابِ ٤٥ ٱلنَّارُ يُعۡرَضُونَ عَلَيۡهَا غُدُوّٗا وَعَشِيّٗاۚ وَيَوۡمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدۡخِلُوٓاْ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ أَشَدَّ ٱلۡعَذَابِ.

Maksudnya: “(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya, Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” 

Dalil yang paling jelas tentang batilnya akidah tanasukh al-arwah adalah ketidakmampuan roh kembali ke dunia selepas meninggal dunia sedangkan itulah yang diimpikan oleh orang kafir apabila mereka melihat azab-Nya. Firman Allāh SWT:

وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذۡ وُقِفُواْ عَلَى ٱلنَّارِ فَقَالُواْ يَٰلَيۡتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ.

Maksudnya: “Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman.” 

Beberapa dalil yang serupa juga boleh diteliti dalam Surah al-Waqi’ah: 86-95 dan Surah al-Mu’minun: 99-100.

Salah satu hujah akliah untuk menentang kelahiran semula ialah isu identiti individu. Berdasarkan konsep kelahiran semua, adalah sukar untuk menentukan sama ada seseorang yang telah meninggal dunia dan dilahirkan semula adalah individu yang sama yang pernah hidup sebelum ini. Jika roh atau kesedaran dilahirkan semula dalam jasad baharu, bagaimana kita boleh memastikan bahawa ia adalah individu yang sama dan bukan hanya kemiripan atau individu berbeza?

Selain itu, keraguan yang timbul adalah masalah pada memori. Jika roh atau kesedaran seseorang dilahirkan semula dalam badan baharu, mengapa mereka tidak mengingati kehidupan lampau mereka? Jika diri sentiasa melintasi badan yang berbeza, maka seseorang mungkin menjangkakan kenangan atau pengalaman dari kehidupan lampau akan dibawa ke yang kelahiran yang baharu.

Di samping itu, konsep penjelmaan semula juga menimbulkan persoalan tentang kebebasan kehendak dan tanggungjawab moral. Jika tindakan seseorang dalam satu kehidupan menentukan nasib mereka di kemudian hari, maka bagaimana kita boleh meminta mereka bertanggungjawab atas tindakannya? Jika takdir kita telah ditentukan oleh kehidupan masa lalu kita, maka nampaknya sukar untuk memahami tanggungjawab moral atau meminta seseorang bertanggungjawab atas pilihannya.

Salah Faham Surah Al-Baqarah: 256

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 256)

Jika diteliti dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Qur’an al-‘Azim misalnya, ayat di atas jelas berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Imam Ibn Kathir menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan.

Ini bermakna, ayat ini tidak disesuai dipadankan dengan mereka yang sudah pun berada dalam agama Islam. Ayat ini adalah larangan paksaan kepada bukan Muslim untuk memeluk Islam.

Mengkaji Agama-Agama Lain

Sejak daripada permulaan filem, kita ditunjukkan dengan minat Aisyah yang mendalam terhadap agama-agama lain. Beliau membaca Bible malah berbincang dengan kedua ibu bapanya berkenaan Kristian di meja makan. Beliau juga bertanyakan Suresh tentang Veda. Kesungguhan beliau itu secara asasnya tidak menjadi masalah kerana Islam mengiktiraf ilmu Perbandingan Agama.

Kajian perbandingan agama bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam. Al-Qur’an menyebutkan tentang agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Sabian, dan kepercayaan-kepercayaan seperti ateisme, animisme dan sebagainya. Bahkan banyak rekod di dalam hadith menunjukkan interaksi Rasulullah SAW dengan penganut agama-agama lain dalam bentuk dialog perbandingan dan perdebatan, dakwah atau sekadar hubungan sosial yang bersifat toleransi.

Seawal 10 Masihi, para ulama’ Islam sudah menulis tentang disiplin ilmu Perbandingan Agama. Antaranya, al-Jahiz (Fi al-Radd ‘Ala al-Nasara), al-Nawbakhti (al-Ara’ wal Diyanat), Abu al-Hasan al-‘Ash’ari (Maqalat al-Islamiyyin), al-Mas’udi (al-Adyan), al-Musbihi (Dark al-Bughyah Fi Wasf al-Adyan Wal ‘Ibadah), Abd al-Qahir al-Baghdadi (al-Farq Bayna al-Firaq), Abu Raihan al-Biruni (Tahqiq Ma Lil-Hind), Ibnu Hazm (al-Fasl Fi al-Milal Wa Ahwa Wa al-Nihal ), Abu Muzaffar al-Isfarayni (al-Tabsir Fi al-Din wa Tamyiz al-Firqah al-Najiyah ‘an aI-Firaq al-Halikan), al-Shahrastani (al-Milal Wa al-Nihal), Ibnu Taimiyyah (al-Jawab al-Sahih Li Man Baddala Din al-Masih) dan Abu Hamid al-Ghazali (al-Radd al-Jamil Li Ilahiyyah ‘Isa bi Sarih al-Injil).

Dalam masa yang sama, ada beberapa prinsip yang perlu dipatuhi oleh Muslim. Menurut Al-Nawawi (1991 10:259), haram untuk mengambil manfaat daripada Injil dan Taurat, kerana ia telah diubah dan dipesongkan oleh para penganutnya. Pun begitu, ia dibenarkan kepada pakar dalam kalangan Muslim untuk membuat kajian perbandingan (Ibn Hajar al-‘Asqalani 1959, 13:525) Ini pendirian dalam Islam berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdillah RA:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ ، فَقَرَأَهُ على النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ وَقَالَ : أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً ، لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي‏

Maksudnya: Suatu hari Umar al-Khattab R.A datang kepada Nabi SAW dengan satu tulisan yang diperoleh daripada ahli kitab, dan beliau membacanya kepada Baginda SAW, lalu Baginda murka dan bersabda: “Adakah kamu masih keliru tentangnya wahai anak al-Khattab? Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan suatu agama yang suci lagi bersih. Usahlah kamu bertanya kepada ahli kitab tentang satu perkara yang jika diberitahu kepada kamu tentang suatu kebenaran, kamu mendustakannya, atau diberitahu kepadamu tentang suatu kebatilan, kamu membenarkannya. Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya. Jika sesungguhnya Nabi Musa AS masih hidup, nescaya tidak dibenarkan baginya melainkan perlu beliau perlu mengikutiku.” 

(Riwayat Ahmad, no.15156). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa hadith ini bertaraf hasan.

Perkara ini adalah jelas dan tidak menjadi sebarang masalah jika bukan Muslim tidak menerima prinsip ini. Jika ia diterima, sudah tentu kepelbagaian agama tidak perlu wujud. Maka, inilah perbezaan dan toleransi yang perlu kita hormati iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju.

Persoalan yang timbul adalah rujukan Aisyah dalam hal agama Islam adalah bapanya yang agak berbeza daripada peribadi Muslim yang lain (bertatu, berseluar pendek, dan terbuka untuk anaknya murtad)

Batas-Batas Penghinaan Terhadap Agama

Secara umumnya, agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian berkongsi pegangan yang sama terhadap perkara-perkara berkaitan etika dan moral. Semua agama menganjurkan penganutnya menghormati agama lain dan menjalankan tindakan yang bermoral dan beretika walaupun kepercayaan dan amalan agama yang berbeza.

Akan tetapi, terlalu banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama-agama lain yang saya temui dalam filem ini. Saya yakin, tidak ada penganut Kristian yang baik dan cakna dengan sensitiviti, sanggup membawa masuk anjing ke dalam kawasan rumah seorang Muslim yang baik. Saya juga yakin, seorang Hindu yang baik juga tidak akan memakan daging lembu sebagaimana perlakuan Suresh.

Sebagaimana saya juga yakin, seorang Muslim yang baik dan menghormati mazhab setempat tidak akan menyentuh anjing tanpa sebab. Anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat pada seluruh tubuhnya (Al-Nawawi, 1972: 3/185). Ulama Syafi’iyyah juga telah menetapkan keharusan untuk membela anjing ini hanya untuk beberapa keadaan sahaja iaitu untuk tujuan pemburuan, menjaga tanaman, dan melindungi ternakan (Al-Nawawi, 1926: 9/234). Tambahan pula, seorang Muslim yang baik tidak akan sesekali mencuba mencabar syariat-Nya dengan makan pau berintikan daging babi sebagaimana perlakuan Aisyah.

Menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat adalah haram di sisi Islam. Sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bujairimi dan Syeikh Ibn Hajar al-Haitami (1983: 1/238)

التَّضَمُّخُ بِالنَّجَاسَةِ إنَّمَا يَحْرُمُ

Maksudnya: “Menyentuh najis secara sengaja ia adalah haram.”

Kesimpulan

Saya tidak pasti mengapa filem ini dinamakan sebagai Mentega Terbang? Adakah semata-mata bermaksud Mentega (Butter) Terbang (Fly) tanpa sebarang makna tersirat, atau merujuk kepada simbolisme kupu-kupu yang banyak diketengahkan dalam ajaran agama-agama dunia untuk kelahiran semula dan kehidupan semula selepas kematian, ataupun berkait rapat dengan konsep angelic butterfly yang merujuk kepada roh, dalam Divine Comedy oleh Dante yang bermuarakan falsafah Yunani Purba.

Mentega Terbang adalah satu karya yang menzahirkan kegagalan sistem rumahtangga Muslim yang baik dari sudut tarbiyyah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal. Begitu juga dengan beban kesalahan diletakkan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain. Ia juga menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik tetapi tidak menghormati ajaran Islam, begitu juga seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.

Masalah dalam isu pluralisme agama, kebenaran mutlak, dan kelahiran semula yang menjadi tema utama filem ini telah saya huraikan kelompongannya baik dari sudut falsafah, mahupun agama. Ini sebagai memenuhi keperluan masyarakat semasa yang saya lihat, memerlukan penjelasan di sebalik larangan dan pernyataan umum semata-mata. Sesungguhnya, sekadar berasaskan niat yang baik tidaklah mencukupi jika sekiranya filem menyimpang dari asas kebenaran terutamanya yang membabitkan akidah dan syariat.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk menyeru agar langkah-langkah dapat dilaksanakan dengan baik.

  • Peranan FINAS dan JAKIM wajib diperkukuhkan dan usahasama perlu dilihat dari aspek yang lebih luas. Malah, tidak mustahil pra-syarat untuk mengambil kira pandangan JAKIM dalam penghasilan filem atau drama menjadi satu akta yang boleh diwujudkan di masa akan datang. Penerbitan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam oleh JAKIM boleh diangkat sebagai rujukan yang mempunyai impak perundangan.
  • Peranan bahagian penapisan filem dan drama turut diperluaskan ke filem dan drama yang dimuatnaik ke penstriman video dalam talian.
  • Saya mempuyai harapan yang tinggi agar setiap kenyataan yang dikemukakan pihak JAKIM di masa hadapan, disertakan sandaran dan hujah yang kukuh. JAKIM ada kuasa dan pengaruh di samping jumlah pakar yang ramai samada dalam kalangan panel mahupun pegawainya. Masyarakat Malaysia semakin berkembang pemikirannya dan kita berada di zaman dunia tanpa sempadan. Saya yakin ia adalah perkara yang menjadi perhatian JAKIM untuk penambahbaikan di masa akan datang.
  • Saya ingin memuji usaha Tuan Haji Zabidi Mohamed selaku anak seni yang mula-mula mengangkat isu ini untuk perhatian umum, diikuti oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang dipimpin saudara Rozaidi Abdul Jamil. Pada saya, seni yang bermaruah adalah seni yang memelihara tradisi, agama, budaya dan sensitiviti setempat.
  • Dengan pengalaman dan jaringan luas dalam dan luar negara dalam bidang kefatwaan dan hukum-hakam agama, Maktabah Al-Bakri bersedia berperanan sebagai pakar runding dalam hal-hal berkaitan industri perfileman tanah air. Islam tidak pernah menghalang kreativiti tetapi “patuh syariah” sebenarnya membuka 1001 ruang alternatif lain untuk anak seni mengekspresikan karya mereka.
  • Mengkritik sesebuah filem bukanlah berdasarkan emosi tetapi perlu kepada ilmu dan kefahaman agar ia benar-benar menepati maksud al-tawasi bi al-haqqi (berpesan-pesan kepada kebenaran) dan al-tawasi bi al-sabr (berpesan-pesan kepada kesabaran).

Jauh di sudut hati, saya teringin untuk berjumpa dengan pengarah dan penerbit filem serta pelakonnya untuk sama-sama sampai kepada natijah yang terbaik dalam kemelut ini. Saya yakin dan percaya kemampuan mereka dalam dunia perfileman dan drama mempunyai potensi yang amat baik apabila digilap dengan sebaik mungkin. Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebena-ran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikan-lah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Rujukan

Al-Haitami, Ibn Hajar. Tuhfat al-Muhtaj, (t.t., 1983)

Bryne, Peter. Prolegomena to the Religious Pluralism (London: MacMillan Press Ltd., 1995)

Cemil Akdogan. Science in Islam & the West (Kuala Lumpur: ISTAC, 2008)

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism, (Kuala Lumpur: ISTAC, 2003)

____________________________, Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001)