Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, nak tanya. Saya dari Kuching, Sarawak. Apa hukum jika satu kawasan berkeluasan 300 ekar, dibina tanah perkuburan integrated di mana disitu ada perkuburan Islam, Buddha, Kristian dan lain lain. Namun diasingkan jalan pintu masuk iaitu kubur islam dan kubur non-Muslim.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam menjawab persoalan di atas, ia lebih kepada persoalan siyasah syar’iyyah di mana ia tertakluk kepada keputusan yang diputuskan oleh kerajaan tempatan. Adakah di sana terdapat keperluan yang mendesak sehingga perlu dibina kawasan perkuburan sebegitu.
Sekiranya keadaan tanah yang amat terhad, dan ia berada di kawasan penempatan yang padat, maka berdasarkan siyasah syar’iyyah sesebuah kerajaan, untuk melakukannya adalah dibolehkan. Hal ini berdasarkan beberapa kaedah. Antaranya kaedah menyebut:
إذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ
Maksudnya: “Ketika dalam kesempitan, diberikan keringanan (rukhsah).”
(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 83; al-Qawa’id al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 9/9)
Selain itu, pemerintah juga berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”
Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali ialah: ‘Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 2/139).
Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.
Jika dilihat, di sebahagian tempat, khususnya di bandar-bandar di mana berlakunya pembangunan yang amat pesat dan cepat, sehingga menyebabkan tanah perkuburan menjadi terhad, sedangkan jumlah kematian dari semasa ke semasa semakin meningkat yang memerlukan kepada tanah kubur.
Maka, dalam keadaan seperti ini, kami berpendapat bahawa pembinaan kubur seperti ini adalah harus dan dibolehkan. Namun ia mestilah berpandukan beberapa dhawabit seperti berikut:
- Hendaklah diasingkan antara kawasan perkuburan Islam dan kawasan kubur yang selainnya.
- Hendaklah diwujudkan sempadan yang jelas antara kawasan perkuburan Islam dan yang lain.
- Pastikan orang Islam ditanam di perkuburan Islam di samping tidak membenarkan sama sekali orang bukan Islam ditanam di perkuburan orang Islam.
Hal ini kerana terdapat larangan untuk menguburkan jenazah Muslim di kawasan perkuburan non-Muslim. Dalam hadith daripada Basyir al-Khasasiyyah R.A, katanya:
كُنْتُ أَمْشِي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قُبُورِ الْمُسْلِمِينَ فَقَالَ : لَقَدْ سَبَقَ هَؤُلاَءِ شَرًّا كَثِيرًا. ثُمَّ مَرَّ عَلَى قُبُورِ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ : لَقَدْ سَبَقَ هَؤُلاَءِ خَيْرًا كَثِيرًا .
Maksudnya: “Aku berjalan bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda melalui kubur umat Islam, Baginda pun bersabda: “Mereka telah mendahului (iaitu mati sebelum berlaku) keburukan (fitnah) yang banyak.” Kemudian Baginda melalui kubur orang Musyrik, Baginda bersabda: “Mereka telah mendahului (iaitu mati sebelum menemui) kebaikan yang banyak.”
Riwayat al-Nasa’ie (2048)
Hadis ini menjadi dalil bahawa kubur umat Islam dan yang bukan Islam perlu diasingkan. Imam al-Nawawi berkata:
اتَّفَقَ أَصْحَابُنَا رَحِمَهُمْ اللَّهُ عَلَى أَنَّهُ لَا يُدْفَنُ مُسْلِمٌ فِي مَقْبَرَةِ كُفَّارٍ، وَلَا كَافِرٌ فِي مَقْبَرَةِ مُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Ulama’-ulama’ kami bersepakat bahawa tidak dikebumikan jenazah Muslim di tanah perkuburan bukan Muslim, begitu juga tidak dikebumikan jenazah kafir di perkuburan Muslim.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/285)
Fatwa al-Lajnah al-Da’imah menyatakan:
لا يجوز للمسلمين أن يدفنوا مسلما في مقابر الكافرين لأن عمل أهل الإسلام من عهد النبي صلى الله عليه وسلم والخلفاء الراشدين ومن بعدهم مستمر على إفراد مقابر المسلمين عن مقابر الكافرين وعدم دفن مسلم مع مشرك فكان هذا إجماعا عمليا على إفراد مقابر المسلمين عن مقابر الكافرين
“Tidak dibenarkan mengebumikan jenazah Muslim di perkuburan bukan Muslim kerana apa yang diamalkan oleh umat Islam sejak zaman Nabi SAW, al-Khulafa’ al-Rasyidin, dan golongan selepas mereka di mana semuanya berterusan mengasingkan kubur Muslim daripada kubur bukan Muslim, dan tidak dikebumikan Muslim bersama orang Musyrik. Ini merupakan ijma’ secara amali untuk mengasingkan kubur umat Islam daripada kubur bukan Islam. (Lihat Fatawa Islamiyyah, 2/36)
Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H