#1311: Kain Kafan dengan Kain Mahal

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kita menggunakan kain kafan daripada jenis kain yang mahal untuk mengkafankan jenazah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, dalam hal mengkafankan jenazah, sebaik-baiknya kain yang hendak digunakan adalah berwarna putih. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”

Riwayat Abu Daud (3878); al-Tirmizi (994); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُفِّنَ فِي ثَلاَثَةِ أَثْوَابٍ يَمَانِيَةٍ بِيضٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW dikafankan dengan tiga kain berwarna putih yang berasal dari Yaman.”

Riwayat al-Bukhari (1264)

Imam al-Nawawi menyebutkan, lafaz “بِيضٍ” (putih) dalam hadith di atas adalah dalil yang menunjukkan galakan (sunat) untuk mengkafankan mayat dengan kain putih, dan ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/8).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami berpendapat bahawa dibolehkan mengkafankan jenazah dengan pakaian yang dibolehkan untuknya memakainya ketika hidupnya. Justeru, boleh menggunakan, kain cotton, kain yang diperbuat daripada bulu biri-biri, kain linen, kain yang diperbuat daripada bulu biasa, kain yang diperbuat daripada bulu unta dan lain-lain.

Adapun kain sutera, haram untuk mengkafankan jenazah lelaki dengannya. Manakala bagi jenazah perempuan, pendapat yang masyhur lagi putus adalah diharuskan untuk mengkafankan jenazah perempuan tersebut dengannya. Hal ini kerana dia dibolehkan untuk memakainya ketika masih hidup dahulu, akan tetapi dihukumkan sebagai makruh kerana di dalamnya terdapat pembaziran dan menyerupai perbuatan mensia-siakan harta. Berbeza halnya dia memakainya ketika masih hidup dahulu kerana dia memakainya untuk kelihatan cantik buat suami. Namun, pengarang al-Bayan menukilkan satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i bahawa kain kafan sutera buat jenazah perempuan adalah tidak dibolehkan.

Adapun kain yang berwarna kuning dan kain yang berwarna oren terang pula, tidak haram untuk mengkafankan jenazah dengannya tanpa sebarang khilaf tetapi dihukumkan sebagai makruh mengikut mazhab (Syafi‘i) dan pendapat ini telah diputuskan oleh ramai ulama. Namun, pengarang al-‘Uddah dan al-Bayan menukilkan dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i dan salah satu daripada pendapat tersebut menyatakan, tidak makruh. Kedua-duanya menyebutkan, pendapat ini juga adalah mazhab Abu Hanifah.

Seterusnya Imam al-Nawawi menyimpulkan dengan menukilkan kalam para ashab yang menyatakan, kain kafan yang harus digunakan adalah berdasarkan kepada keadaan si mati. Sekiranya dia seorang yang kaya, maka gunakanlah kain kafan yang terbaik (dari segi kualiti). Sekiranya dia seorang yang sederhana, maka gunakanlah kain kafan yang sederhana kualitinya dan sekiranya dia seorang yang kurang dari segi harta, maka gunakanlah kain kafan yang kasar (rendah kualitinya). Ini adalah kenyataan daripada al-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji dan selain kedua-duanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/197).

Oleh itu, menggunakan kain kafan yang mahal di dalam urusan pengebumian jenazah adalah dibolehkan. Akan tetapi ia dihukumkan sebagai makruh, sekiranya terdapat unsur-unsur pembaziran dan berlebih-lebihan pada perkara yang tidak sepatutnya. Apatah lagi sehingga ia menyusahkan dan  di luar daripada batasan kemampuan dalam urusan mengkafankan jenazah. Orang yang hidup lebih utama diraikan dari segi berpakaian, berbanding orang yang telah meninggal dunia.

Dalam hal ini juga, Sayyid Sabiq ada menyatakan bahawa makruh berlebih-lebihan dalam urusan kain kafan. Kain kafan itu hendaklah baik tanpa berlebih-lebihan dalam harganya ataupun seseorang membebankan dirinya dalam hal tersebut yang bukan daripada kebiasaannya (adatnya). (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/519). Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

لَا تَغَالَوْا فِي الْكَفَنِ فَإِنَّهُ يُسْلَبُ سَلْبًا سَرِيعًا

Maksudnya:Jangan melampau dalam urusan pengkafanan kerana kain kafan itu cepat rosak bila berada di dalam tanah.

Riwayat Abu Daud (3154) dan al-Baihaqi (6943).[1]

Begitu juga Sayyid Sabiq turut membawakan riwayat daripada Abu Bakar R.A yang mengatakan: “Basuhlah kainku ini dan tambahlah dua helai lagi, kemudian kafankanlah aku dengan kain-kain itu.” Aisyah R.Anha berkata: “Kain ini sudah lama.” Kemudian Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya orang yang hidup adalah lebih utama untuk memakai kain baru berbanding orang yang telah mati. Sesungguhnya kain kafan itun adalah untuk nanah yang mengalir daripada mayat.”

Tidak dapat dinafikan bahawa kain kafan daripada sutera termasuk dalam berlebih-lebihan dalam urusan pengkafanan. Ini jelas melalui pendapat ramai dalam kalangan ulama yang menghukumkan sebagai makruh bagi mayat perempuan yang menggunakan kain kafan sutera.

Sayyid Sabiq menukilkan pendapat tersebut dalam kitabnya dan sebabnya adalah kerana perbuatan tersebut mengandungi unsur pembaziran, mensia-siakan harta dan juga melampaui batas yang dilarang dalam agama. Para ulama membezakan kedudukan kain sutera yang dipakai oleh perempuan sebagai barang perhiasan ketika mereka masih lagi hidup dan sebagai kain kafan selepas mereka meninggal dunia. Di antara ulama yang menghukumkannya sebagai makruh ialah al-Hasan, Ibn al-Mubarak dan Ishaq. Bahkan Ibn al-Munzir menyebutkan, aku tidak menemui daripada selain mereka pendapat yang menyelisihi mereka dalam perkara ini. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/520).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mengkafankan jenazah dengan kain yang mahal adalah tidak mengapa dan dibolehkan, jika ia berada dalam ruang lingkup kemampuannya dan tidak berlebih-lebihan. Akan tetapi jika kain kafan itu berada di luar daripada kemampuannya sehingga dia terpaksa meminjam untuk membelinya atau dia berlebih-lebihan dalam urusan pengkafanan luar daripada kebiasaan setempatnya, maka ketika itu hukumnya adalah makruh.

Sebaik-baik kain kafan itu adalah yang berwarna putih dan hal ini juga kembali kepada keadaan si mati dan warisnya sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama. Sekiranya dia daripada golongan yang berkemampuan dan kaya, maka kain kafan yang terbaik untuknya adalah daripada jenis yang berkualiti. Sekiranya dia daripada golongan pertengahan, maka gunakanlah kain kafan yang sederhana mutunya, dan jika dia orang yang kurang harta, maka sebaik-baik kain kafan untuknya adalah yang kasar — yang biasa mutunya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Syeikh al-Albani dalam Dha’if al-Jami‘ (6247) menilainya sebagai dha’if; Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/315) menyatakan, di dalamnya terdapat perawi bernama Abu Malik ‘Amr bin Hasyim al-Janbi dan dia adalah seorang layyin al-hadith.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H