#1367: Muazzin berzikir dan berselawat dengan kuat sebelum melaungkan azan

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dapati para muazzin di Malaysia ini kebanyakannya berzikir dan berselawat dengan suara yang kuat pada pembesar suara sebelum melaungkan azan. Adakah perkara ini dibolehkan? Mohon pencerahan

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sesungguhnya amalan berzikir dan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Manakala pensyariatan azan pula adalah untuk memanggil orang-orang Islam untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di Masjid. Pensyariatan azan ini berlaku pada tahun pertama hijrah. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/338)

Manakala asal usul lafaz azan ini disyariatkan apabila terdapat dua orang sahabat pada zaman Nabi SAW yang telah bermimpi yang perkara yang sama mengenai lafaz azan ini, iaitu Abdullah bin Zaid R.A dan Umar bin al-Khattab R.A. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang, daripada Abdullah bin Zaid R.A katanya:

لَمَّا أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاقُوسِ يُعْمَلُ لِيُضْرَبَ بِهِ لِلنَّاسِ لِجَمْعِ الصَّلاَةِ طَافَ بِي وَأَنَا نَائِمٌ رَجُلٌ يَحْمِلُ نَاقُوسًا فِي يَدِهِ، فَقُلْتُ: يَا عَبْدَ اللهِ أَتَبِيعُ النَّاقُوسَ؟ قَالَ: وَمَا تَصْنَعُ بِهِ؟ فَقُلْتُ: نَدْعُو بِهِ إِلَى الصَّلاَةِ، قَالَ: أَفَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ مِنْ ذَلِكَ؟ فَقُلْتُ لَهُ: بَلَى، قَالَ: فَقَالَ: تَقُولُ: اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ…

قَالَ : ثُمَّ اسْتَأْخَرَ عَنِّي غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ ، قَالَ : وَتَقُولُ : إِذَا أَقَمْتَ الصَّلاَةَ ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ…

Maksudnya:Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut? Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ’……. (sehingga akhir azan).

Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).

Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu Baginda SAW bersabda:

إِنَّهَا لَرُؤْيَا حَقٌّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَقُمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ، فَلْيُؤَذِّنْ بِهِ، فَإِنَّهُ أَنْدَى صَوْتًا مِنْكَ فَقُمْتُ مَعَ بِلاَلٍ، فَجَعَلْتُ أُلْقِيهِ عَلَيْهِ، وَيُؤَذِّنُ بِهِ، قَالَ: فَسَمِعَ ذَلِكَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ، وَيَقُولُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ يَا رَسُولَ اللهِ، لَقَدْ رَأَيْتُ مِثْلَ مَا رَأَى، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: فَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Maksudnya: “Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan. Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.”

Riwayat Abu Dawud (449)

Selawat Sebelum Azan

Dalam kalangan muta’akhirin al-Syafi’iyyah ada yang mengatakan selawat sebelum azan dan iqamah adalah sunat. Antara yang menyebutkannya adalah Imam Zainuddin al-Malibari di dalam kitabnya Fath al-Mu’in dan ianya dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi di dalam syarah al-Wasit. (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 157)

Hal ini juga disebut oleh Al-Dimyati juga menukilkan perkara yang sama di dalam kitabnya I’anah al-Talibin (1/280).

Namun terdapat juga sanggahan yang mengatakan pendapat di atas dinisbahkan kepada al-Imam al-Nawawi dalam kalangan mutaakhirin al-Syafi’iyyah, iaitu al-Imam al-Syabramallisi. Beliau menyebutkan di dalam Hasyiahnya bahawa telah berlaku kesilapan dalam menulis (sabqu qalam) di dalam syarah al-Wasit dan sebenarnya yang ma’ruf dan warid adalah selepas iqamah dan bukan sebelumnya sepertimana yang terdapat di dalam hadith dan diamalkan kelebihannya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 1/423)

Berdasarkan sesetengah pendapat yang mengatakan disunatkan untuk berselawat sebelum iqamah adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA:

كَانَ بِلَالٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُقِيمَ الصَّلَاةَ قَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، الصَّلَاةَ رَحِمَكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Adalah Bilal ketika beliau hendak mendirikan solat, maka beliau berkata: al-Salam ‘alaika ayyuha al-Nabiy wa Rahmatullahi wa Barakatuh, al-Solah rahimaka Allah.

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Awsat (8910)

Imam al-Tabarani di akhir hadith tersebut seakan-akan mengisyaratkan akan lemahnya hadith di atas dengan mengatakan: “Tidak diriwayatkan hadith ini daripada Kamil kecuali Abdullah bin Muhammad al-Mughirah”.

Apabila merujuk kepada terjemah Abdullah bin Muhammad al-Mughirah di dalam kitab-kitab al-Tabaqat sebagaimana dalam Lisan al-Mizan (4/554), kami senaraikan pendapat-pendapat para ulama’ hadith terhadap beliau:

  • Abu Hatim mengatakannya: “Laisa bi Qawiyy” (tidak kuat; lemah).
  • Ibn Yunus mengatakannya: “Munkar al-Hadith” (hadithnya munkar).
  • Al-Daraqutni mengatakannya: “Dha’if” (lemah).
  • Al-‘Uqaili di dalam al-Dhu’afa’mengatakannya meriwayatkan sesuatu yang tiada asalnya.

Disebabkan oleh itu, terdapat muhaddith yang mengatakan bahawa hadith di atas terlalu lemah dan ada juga yang mengatakannya palsu dan tidak boleh dijadikan dalil untuk berhujah bagi isu ini.

Imam Ibn Hajar al-Haitami apabila ditanyakan mengenai, “Adakah disunatkan untuk mengucapkan selawat di awal (sebelum) iqamah?” Jawab Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra:

لَمْ أَرَ مَنْ قَالَ بِنَدْبِ الصَّلَاةِ وَالسَّلَامِ أَوَّلَ الْإِقَامَةِ، وَإِنَّمَا الَّذِي ذَكَرَهُ أَئِمَّتُنَا أَنَّهُمَا سُنَّتَانِ عَقِبَ الْإِقَامَةِ كَالْأَذَانِ، ثُمَّ بَعْدَهُمَا: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ… إلَخ

Maksudnya: Tidaklah aku berpendapat  bagi siapa yang mengatakan dengan sunatnya selawat dan salam pada awal iqamah, dan apa yang disebutkan oleh imam-imam kami bahawa keduanya (azan dan iqamah) sunat dibacakan selawat selepas iqamah sepertimana azan, kemudian selepas itu dibaca: ‘اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ’.. sehingga akhir.”  (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/129)

Justeru, yang thabit melalui hadith Nabi SAW adalah berselawat ke atas Baginda SAW selepas azan. Adapun pendapat yang mengatakan adanya selawat sebelum azan dan iqamah dengan disandarkan pendapat tersebut kepada al-Imam al-Nawawi, maka ianya telah dijawab oleh ulama’ yang lain seperti yang telah kami nyatakan di atas dan tambahan pula hadith yang dikatakan menjadi dalil bagi isu ini juga dalam keadaan yang tersangatlah lemah.

Begitu juga apabila melihat kepada fatwa Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau turut berpendapat bahawa tiadanya selawat sebelum azan dan juga iqamah bahkan yang thabitnya adalah selepas azan dan iqamah.

Muazzin Berzikir Dan Berselawat Dengan Kuat Sebelum Azan

Berdasarkan keterangan di atas, sekiranya muazzin berzikir dan berselawat dengan kuat sebelum azan, ia merupakan satu perbuatan yang menyalahi sunnah. Hal ini kerana perbuatan menguatkan zikir atau selawat tersebut adalah seolah-olah ia termasuk dalam lafaz azan yang disyariatkan. Begitu juga tidak ada dalil dan juga nas yang menyuruh muazzin supaya berzikir ataupun berselawat sebelum melaungkan azan, apatah lagi sekiranya ia dilakukan dengan suara yang kuat.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanyakan berkenaan hal ini, beliau menjawab, tidak seharusnya bagi muazzin menambah sesuatu lafaz pada azan dengan apa-apa perkataan, sama ada sebelum azan, ataupun selepas azan. Hal ini kerana azan merupakan ibadah tauqifiyyah, begitu juga hal ini dengan iqamah. Justeru, wajib bagi para muazzin untuk melakukan perkara yang disyariatkan dengan bersih, dan berhati-hati daripada tambahan lafaz yang tidak disyariatkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat, 10/360)

Begitu juga ketika beliau ditanya berkenaan hukum membaca ayat al-Quran sebelum azan, maka beliau menjawab: “Ia menyalahi sunnah, yang sunnah ialah tidak ada apa-apa lafaz sebelum azan ataupun selepas azan. Hanya azan semata-mata, tidak ada sebelumnya sesuatu, dan tidak dikaitkan dengannya sesuatu. Bahkan selawat ke atas Nabi SAW juga tidak boleh dikuatkan suaranya bersama dengan azan, apabila selesai azan, maka tutuplah pembesar suara dan berakhirlah azan. Setelah itu, muazzin perlu berselewat ke atas Nabi SAW yang boleh didengar oleh dirinya atau didengari juga oleh orang sekelilingnya yang berhampiran, supaya ia tidak menjadi tambahan lafaz pada azan. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb li Ibn Baz, 6/403)[1]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa zikir atau selawat sebelum azan yang mana pendapat tersebut disandarkan kepada al-Imam al-Nawawi, maka ia telah dijawab oleh ulama’ yang lain yang menyatakan bahawa telah berlaku kesilapan dalam menukilkannya sebagaimana yang kami nyatakan. Tambahan pula, hadith yang dikatakan menjadi dalil bagi isu ini juga merupakan hadith yang sangat lemah dan tidak boleh dijadikan hujjah.

Justeru, dalam hal ini, zikir dan selawat yang dilakukan dengan suara yang kuat sebelum azan dilaungkan merupakan satu perbuatan yang menyelisihi sunnah. Hal ini kerana perbuatan muazzin yang menguatkan zikir atau selawat tersebut adalah seolah-olah menunjukkan bahawa ia juga termasuk dalam lafaz azan yang disyariatkan. Begitu juga tidak ada dalil dan juga nas yang menyuruh muazzin supaya berzikir ataupun berselawat sebelum melaungkan azan, apatah lagi sekiranya ia dilakukan dengan suara yang kuat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

[1] Lihat juga https://binbaz.org.sa/fatwas/24791/حكم-قراءة-الموذن-ايات-من-القران-قبل-الاذان

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H