#1383: Berdoa Secara Lisan Sebelum Beri Salam dalam Solat

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Dato’ Seri. Saya ada pertanyaan. Ketika selepas tahiyat akhir sebelum beri salam. Saya berdoa secara lisan, ‘Ya Allah, aku berlindung denganmu dari azab api neraka, azab kubur…’ secara lisan. Adakah solat saya terbatal? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat seseorang itu akan terbatal apabila berkata-kata dengan sengaja. Kata-kata yang dimaksudkan ialah kata-kata yang lain selain daripada al-Quran, zikir dan doa. Hal ini adalah berdasarkan hadith, daripada Zaid bin Arqam R.A, katanya:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِى الصَّلاَةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِى حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ} فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ

Maksudnya:Kami pernah berbual-bual ketika menunaikan solat. Seorang daripada kami bercakap kepada rakannya tentang keperluannya sehinggalah turun ayat ini yang bermaksud: ‘Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat wusta (yakni solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk,” lalu kami diperintahkan diam.

Riwayat al-Bukhari (4260) dan Muslim (539)

Hadith seterusnya, daripada Mu‘awiyah bin Hakam al-Sulami R.A, Nabi SAW berdoa kepadanya yang mendoakan seseorang yang bersin ketika mendirikan solat:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya:Ini ialah ibadat solat, kata-kata manusia tidak wajar di dalamnya walaupun sedikit. Ia adalah semata-mata untuk bertasbih, bertakbir dan membaca al-Quran.

Riwayat Muslim (537)

Kata-kata yang dianggap membatalkan solat ialah kata-kata yang mengandungi dua huruf dan lebih walaupun tidak memberi apa-apa pengertian. Begitu juga satu huruf tetapi ia mempunyai makna seperti qi (قِ) yang bererti peliharalah, ‘ie (عِ) yang bererti sedarlah, dan fi (فِ) yang bererti tunaikanlah. Walau bagaimanapun jika, berkata-kata ketika mendirikan solat kerana terlupa atau tidak mengetahui tentang haramnya disebabkan baru memeluk Islam, kedua-duanya dimaafkan sekiranya kata-kata tersebut sedikit, tidak melebihi enam perkataan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/167-168).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, umumnya terdapat dua tempat utama yang biasanya menjadi fokus kebanyakan dalam kalangan kita untuk memperbanyakkan doa iaitu pada penghujung solat sebelum salam dan ketika sujud. Bahkan disebutkan bahawa antara waktu mustajab yang kita digalakkan berdoa padanya adalah pada penghujung solat. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari?” Lalu Baginda menjawab: “Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.”

Riwayat al-Tirmizi (3499)

Penghujung solat bermaksud selepas tasyahhud dan sebelum salam sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah bahawa gurunya telah memilih pendapat ini. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/295). Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith-hadith berkenaan doa sebelum daripada memberi salam menyebutkan bahawa dibenarkan bagi setiap orang yang mendirikan solat untuk berdoa dengan apa jua doa yang dikehendaki. (Lihat Fath al-Bari, 2/318).

Begitu juga berdoa ketika sujud. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ

Maksudnya:Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).

Riwayat Muslim (482)

Seterusnya, persoalan yang berbaki adalah, doa yang hendak diucapkan itu mesti dalam bahasa Arab atau boleh dengan bahasa lain? Pertamanya, tidak dapat dinafikan bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Ringkasnya, ulama mazhab Syafi‘i membezakan antara doa dalam solat yang ma’thur dan doa dalam solat yang tidak ma’thur. Bagi doa yang ma’thur, mereka berselisih pendapat mengenainya kepada tiga pendapat:

Pertama, dibolehkan bagi orang yang tidak berkemampuan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab. Manakala bagi orang yang berkemampuan menyebutnya dengan bahasa Arab pula tidak dibolehkan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab dan jika dia tetap melakukannya maka solatnya dikira terbatal. Inilah pendapat yang paling sahih dan selari dengan pendapat mazhab Hanbali.

Kedua, dibolehkan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab bagi orang yang baik bahasa Arabnya dan orang lain.

Ketiga, tidak dibolehkan kepada mana-mana orang untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab kerana tiadanya keperluan mendesak untuk melakukannya.

Manakala bagi doa dalam yang solat yang tidak ma’thur pula mereka bersepakat bahawa tidak boleh mereka-rekanya dan membacanya dalam solat dengan bahasa selain bahasa Arab tanpa sebarang khilaf dan sesiapa yang melakukannya, maka dikira batal solatnya. Berbeza halnya dengan mereka-reka doa dengan bahasa Arab (yakni doa tidak ma’thur), ia adalah diharuskan di sisi ulama mazhab Syafi‘i tanpa sebarang khilaf.  (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/172-173; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/299-300).

Kesimpulannya

Justeru, seseorang yang berdoa secara lisan jika sekiranya dalam bahasa Arab seperti mana doa yang disebutkan dalam soalan di atas, selepas membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, tidaklah membatalkan solatnya. Bahkan sebenarnya ia menepati anjuran agama untuk berdoa pada penghujung solat. Hal ini kerana yang dimaksudkan membatalkan solat ialah kata-kata yang lain selain daripada al-Quran, zikir dan doa.

Lebih-lebih lagi, lafaz doa itu juga selari dengan salah satu doa yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk dibacakan di penghujung solat. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْآخِرِ، فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir, maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada empat perkara, iaitu; daripada azab neraka Jahannam, seksaan kubur, fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

Begitu juga Imam al-Bukhari telah meletakkan sebuah bab dalam kitab Sahihnya, iaitu “Bab Doa Sebelum Salam.” Lalu menukilkan di bawah bab berkenaan beberapa hadith yang menjelaskan lagi bab tersebut. Di antaranya, riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الـمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ الـمَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الـمَأْثَمِ وَالـمَغْرَمِ

Maksudnya:Rasulullah SAW berdoa dalam solat dengan mengucapkan: “اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ” (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung kepada-Mu daripada al-Masih al-Dajjal dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang).

Riwayat al-Bukhari (832)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H