#1402: Terlibat di dalam Kajian Klinikal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada soalan. Apa hukum pesakit dan staf yang terlibat dalam kajian klinikal (clinical trials), sebab kadang-kadang diberi ubat yang tiada bahan aktif di dalamnya (placebo)?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya terangkan dahulu dua kalimah mengikut maksud kesihatan.

Menurut World Health Organization (WHO), kajian atau ujian klinikal ialah sejenis penyelidikan yang mengkaji ujian dan rawatan baharu serta menilai kesannya terhadap hasil kesihatan manusia. Orang ramai secara sukarela mengambil bahagian dalam ujian klinikal untuk menguji kesan perubatan termasuk ubat, sel dan produk biologi lain, prosedur pembedahan, prosedur radiologi, peranti, rawatan tingkah laku dan penjagaan pencegahan.

Kajian klinikal direka bentuk, disemak dan disiapkan dengan teliti, dan perlu diluluskan sebelum ia boleh bermula. Orang ramai dari semua peringkat umur boleh mengambil bahagian dalam ujian klinikal, termasuk kanak-kanak.[1]

Placebo: bahan yang tidak mempunyai kesan terapeutik, digunakan sebagai kawalan dalam ujian ubat baru.

Bagi menjawab persoalan di atas, saya kemukakan terlebih dahulu beberapa noktah untuk meleraikan jawapan dengan lebih khusus.

  • Perubatan adalah salah satu dari tuntutan Islam. Ini sejuzuk daripada ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila penyakit itu kena dengan ubatnya, penyakit pun akan hilang dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.”[2]

Riwayat Muslim (2204)

  • Bahan yang digunakan untuk merawat biarlah yang bersih dan tidak najis serta tidak memabukkan. Pernah ditanya kepada Rasulullah SAW untuk merawat dengan menggunakan arak. Lantas, Rasulullah SAW tidak membenarkannya. Diriwayatkan daripada Wa’il al-Hadrami bahawa Suwaid al-Ju‘fi bertanya Rasulullah SAW mengenai arak, maka Baginda melarangnnya dan tidak menyukai pembuatannya. Lalu Suwaid berkata: “Ia dibuat untuk tujuan penawar”, seraya Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia bukanlah penawar tetapi ia adalah penyakit.”

Riwayat Muslim (1984)

  • Ada jenis ubatan yang tidak diiktiraf oleh Rasulullah SAW, sebagai contoh, hadith ‘Abd al-Rahman bin Uthman yang memohon dengan Rasulullah SAW untuk menggunakan katak sebagai bahan perubatan. Rasulullah SAW tidak mengizinkannya. Daripada ‘Abd al-Rahman bin Uthman, katanya:

أَنَّ طَبِيبًا ذَكَرَ ضِفْدَعًا فِي دَوَاءٍ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهِ

Maksudnya: “Bahawa seorang perawat menyebut bahawa dia menggunakan katak dalam penyediaan ubatnya ketika dengan Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW menegahnya daripada membunuh katak.”

Riwayat Abu Daud (5269), al-Nasaie (4355), Ahmad (15757), al-Darimi (2041), al-Hakim (5882) dan lain-lain. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij Zad al-Ma’ad (4/308).

  • Kemahiran merawat atau dalam bahasa moden mereka yang mengambil jurusan perubatan adalah tugas yang mulia dan banyak membantu masyarakat. Hal ini diiktiraf oleh Islam. Riwayat berkenaan dengan Rasulullah SAW memerintahkan al-Harith bin Kaladah[3] untuk merawat Sa’d bin Abi Waqqas semasa Hajjatul Wada’ adalah sebahagian daripada bukti. (Lihat Ma’rifatu al-Sahabah oleh Abu Nu’aim, 2/779)
  • Adapun testimoni atau ujian klinikal kepada seseorang yang mana belum ditentukan lagi keberhasilan ubatan tersebut, saya bahagikan kepada dua andaian:
  1. Jika tiada memberi kesan dan mudarat yang besar pada perkiraan dan sangkaan kuat mereka yang berkeahlian dalam perubatan maka hukumnya dibolehkan, kerana ia masih lagi dalam ruang lingkup usaha perubatan.
  2. Jika ia membawa kepada kematian berdasarkan dzan yang kuat dan mudarat yang lebih besar. Begitu juga, ahli khibrah berpendapat seumpama itu, maka hukumnya haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan (التَّهْلُكَةُ) iaitu termasuk setiap perkara yang mengarahkan kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, (التَّهْلُكَةُ) sesuatu perkara yang perlu berwaspada dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Syeikh al-Sa’di menyebut (التَّهْلُكَةُ) adalah perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ianya termasuk dalam pelbagai perkara, di antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Saya cadangkan seperti berikut:

  • Agar isu ini diangkat ke Majlis Fatwa Kebangsaan dengan disekalikan pakar-pakar perubatan terutamanya yang terkait dengan ciptaan ubat-ubatan untuk sama-sama memberi buah fikiran yang tuntas lagi bernas dalam menemukan satu solusi dan mencapai natijah yang kita harapkan, kerana semuanya itu perlu berasaskan kepada maqasid syariah yang salah satunya adalah hifz al-nafs iaitu kewajipan memelihara jiwa.
  • Ujian secara kajian klinikal (clinical trials) sebolehnya dilakukan terhadap haiwan terlebih dahulu. Sebenarnya ini telah diterimapakai oleh pengamal perubatan terutamanya penyelidik sejak sekian lama lagi. Bukan semata-mata di tempat kita bahkan Barat dan negara maju pun banyak menggunakan haiwan sebagai bahan ujikaji terlebih dahulu seperti khinzir, tikus, arnab, dan lain-lain.
  • Jika terpaksa kepada manusia kerana ia lebih accurate berbanding haiwan maka pelbagai syarat perlu dipatuhi agar diminimumkan sebarang bentuk kemudaratan.
  • Jaminan atau kafalah dari pihak yang berwajib dan berautoriti seperti kerajaan untuk membiayai atau menanggung kesan yang akan berlaku sama ada kepada diri seseorang itu mahu pun keluarganya. Hal ini amatlah penting bagi kelangsungan kehidupan sebagai ihtiyat jika sekiranya sebarang kemalangan dan kemudaratan berlaku.

Sebarang tindakan yang dilakukan ke atas seseorang tersebut biarlah dengan kerelaannya dan persetujuannya dengan penuh redha tanpa sebarang unsur paksaan.

Semoga syor dan cadangan ini menjadi mukadimah untuk pakar-pakar dan penyelidik di negara ini meneroka isu kajian klinikal (clinical trials) dengan lebih berjaya dan cemerlang lagi.

[1]  Lihat https://www.who.int/health-topics/clinical-trials#tab=tab_1

[2] Imam al-Nawawi berkata: Pada hadis ini terkandung isyarat pada disukai berubat (bagi yang sakit), dan ia merupakan mazhab sahabat-sahabat kami (dari kalangan tokoh-tokoh ulama bermazhab al-Syafi’i), mazhab jumhur para salaf dan mazhab golongan khalaf secara umum.” (Lihat Syarh Shahih Muslim, 14/191)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Dalam hadis Jabir terkandung isyarat bahawa kesembuhan bergantung pada ketentuan ubat yang digunakan dengan izin Allah, kerana boleh jadi ubat yang digunakan melampaui cara dan kuantiti yang diperlukan (yang bermanfaat untuk tubuh), maka (apabila tidak tepat) sakit pun tidak sembuh, bahkan boleh jadi mampu mengundang penyakit yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 10/135)

Ibn al-Qayyim berkata: “Sabda Nabi, “Bagi setiap penyakit ada ubatnya, berdasarkan keumumannya mencakupi penyakit-penyakit yang dimaklumi membawa maut, dan penyakit-penyakit lainnya yang mana tidak mungkin disembuhkan oleh para dokter (untuk setakat ini) kerana belum diketahui ubatnya. Sedangkan Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan baginya ubatnya, akan tetapi manusia belum menemui maklumat berkaitan yang dimaksudkan bagi penyakit tersebut, atau Allah belum memberikan petunjuk kepada manusia untuk memahami ubat bagi penyakit berkaitan. Kerana tidak ada ilmu bagi makhluk itu melainkan apa-apa yang diajarkan ke atas mereka oleh Allah.”

“Atas sebab ini, penawar bagi suatu penyakit yang menimpa itu dikaitkan oleh Nabi SAW dengan kesesuaian antara ubat dan penyakitnya, kerana tidak ada sesuatu dari makhluk-makhluk itu melainkan ada pasangannya (atau lawannya). Dan bagi setiap penyakit itu pasti ada lawannya dari penawar yang dapat menyembuhkannya. Maka Nabi SAW telah mengaitkan penyembuhan itu harus bersesuaian antara penyakit dengan ubatnya.”

“Demikianlah sejumlah ketentuan penjelasannya, ia tidak bergantung semata-mata pada adanya ubat, jika ubat diberikan dengan cara atau kuantiti yang salah, maka ia tidak mampu menjadi sarana penyembuhan, bahkan boleh menyebabkan penyakit yang lain jika melampaui kuantiti yang sepatutnya.

Waktu yang tidak tepat juga boleh menjadi sebab ubat tidak berkesan. Atau jika tubuh tidak mampu menerima ubat tersebut, atau kekuatan tubuh yang melemah untuk menampung, atau ada faktor-faktor sampingan lainnya, maka ianya boleh juga menjadi sebab hilangnya fungsi dan kesan kemujaraban sesuatu ubat dan kesembuhan pun tidak dapat dicapai disebabkan faktor-faktor ketidak-selarian tersebut. Jika memang telah benar-benar ada keselarian  antara ubat dan penyakit, pasti penyakit akan sembuh dengan izin Allah, tidak boleh tidak. Dan demikianlah penjelasan yang lebih baik bagi hadis tersebut.” (Lihat Zad Al-Ma’ad, 4/13)

[3] Beliau ialah al-Harith bin Kaladah bin ‘Ilaj bin Abi Salamh bin Abd al-Uzza bin Amr bin Auf bin Qissi al-Thaqafi. Menurut Ibn Abi Usaibiah dalam ‘Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’, al-Harith bin Kaladah dilahirkan pada pertengahan abad kelima masihi di Tha’if. Beliau kemudian merantau ke Yaman dan Parsi, dan mendapat pendidikan kedoktoran di Jundishapur. Beliau kemudian kembali ke Ta’if ketika Islam mula berkembang secara meluas. Status beliau sebagai sahabat Nabi diperdebatkan oleh ulama. Ada yang menyebut bahawa beliau masuk Islam tidak lama sebelum Nabi wafat, dan ada yang menyebut beliau masuk Islam selepas meninggalnya Nabi, dan ada juga yang menyatakan bahawa beliau tidak masuk Islam. Bagaimanapun, Nabi SAW dan para sahabat merujuknya dalam beberapa masalah pengubatan.

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H