Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya soalan mengenai solat jemaah yang terpisah dengan ada penghadang sama ada tirai/dinding/pintu yang bertutup. Adakah sah solat berjemaah tersebut? Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289).
Solat berjemaah adalah tuntutan di dalam Islam. Sebahagian mazhab menganggap hukumnya wajib seperti mazhab Hanbali. Dengan sebab itu, terlalu banyak nas yang menggesa kita melakukan soat berjemaah. Antaranya, daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, sabda Nabi SAW:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”
Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)
Berkenaan dengan kedudukan jemaah, syarat antara imam dan makmum, kami nukilkan di sini apa yang disebut oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji seperti berikut:
Mengikut imam tidak akan terlaksana seperti yang disyariatkan kecuali dengan menyempurnakan beberapa syarat dan tatacara yang dirumuskan seperti berikut:
- Pertama: Makmum tidak boleh mendepani imam
Apabila seseorang makmum telah mendepani imam, maka kedudukannya sebagai makmum adalah batal. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah SAW:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ
Maksudnya: “Dijadikan imam adalah untuk diikuti.”
Riwayat al-Bukhari (657) dan Muslim (411)
- Kedua: Makmum hendaklah mengikut perpindahan imamnya dalam semua rukun fi’li.
Perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam tetapi sebelum selesai perbuatan imam tersebut. Adalah makruh bagi makmum terkemudian satu rukun daripada imamnya malah solatnya batal jika ketinggalan dua rukun yang panjang.
- Ketiga: Mengetahui perpindahan rukun fi’li imam
Hal ini sama ada makmum melihat imamnya atau melihat sebahagian daripada saf atau pun mendengar suara muballigh.
- Keempat: Imam dan makmum jangan terpisah oleh jarak yang luas.
Syarat ini adalah apabila kedua-duanya tidak berada di dalam masjid. Tetapi jika sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui. Apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh. Penentuan jarak adalah sebagaimana yang berikut:
- Apabila imam dan makmum berada di kawasan yang luas seperti tanah lapang dan sebagainya, disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak melebihi 300 hasta Hashimiy iaitu kira-kira 150 meter.
- Imam dan makmum masing-masing berada di dalam bangunan yang berlainan seperti dua buah rumah atau sebuah rumah dan halamannya. Maka selain daripada syarat yang tersebut di atas, saf daripada satu binaan ke binaan yang lain itu mestilah bersambung sekiranya bangunan yang ada imam di dalamnya itu melencong ke kanan atau ke kiri daripada tempat makmum.
- Imam berada di dalam masjid dan sebahagian makmum pula berada di luar masjid, disyaratkan jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebihi 300 hasta hashimiy.
- Kelima: Makmum hendaklah berniat jema’ah atau mengikut imam.
Disyaratkan niat tersebut berserta dengan takbiratul ihram. Seseorang yang meninggalkan niat mengikut imam tetapi masih mengikut semua perpindahan dan perbuatan imam tersebut solatnya batal jika dia ikut menunggu imam agak lama pada anggapan umum. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/460-464)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa para ulama’ berselisih pendapat berkenaan hal ini, namun kami cenderung kepada pendapat hukum solat berjemaah tersebut adalah dibolehkan dan sah walapun ada tirai, dinding atau pintu yang bertutup, tetapi dengan syarat:
- Makmum mengetahui pergerakan imam
- Makmum mendengar bacaan imam sama ada secara langsung atau melalui pembesar suara
- Saf antara makmum dengan makmum mestilah tidak dipisahkan dengan jarak yang jauh
- Masih lagi ditempat yang sama sepeti dalam masjid atau dewan
Firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa ayat ini bermaksud Allah SWT juga sekali-kali tidak menjadikan untukmu kesempitan dan kesulitan dalam agama. Sebaliknya, Dia menjadikannya mudah dan ringan dengan memberikan keringanan (rukhsah) kepadamu seperti boleh qasar dan jamak solat, berbuka ketika berpuasa di bulan Ramadhan bagi orang yang bermusafir dan orang yang sakit, tayammum, boleh memakan bangkai sekiranya keadaan darurat (ada keperluan mendesak) dan lain-lain. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 342.)
Mengambil semangat raf’u al-haraj (رَفْعُ الْحَرَج) yang menjadi salah satu maqasid dalam agama, maka dalam isu ini, kami berpendapat bahawa hukum solat dengan tirai tertutup adalah dibolehkan. Tambahan pula, pada zaman sekarang, keluasan tanah atau masjid amatlah terhad terutamanya di bandar-bandar besar. Disebabkan itu, banyak masjid yang telah telah dibina dengan 2 atau 3 tingkat, seolah-olah ia hampir terpisah oleh tingkat-tingkat tersebut. Ini yang berlaku di kebanyakan masjid moden pada zaman sekarang ini.
Mudah-mudahan kita menjadi orang yang sentiasa beristiqamah untuk solat di masjid dan akhirnya kita dapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H