#1528: Melakukan Umrah Lebih daripada Sekali Tanpa Bertahallul Kecuali pada Umrah yang terakhir

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seorang jemaah haji melaksanakan umrah sunat sebanyak empat kali namun pada umrah yang pertama, kedua dan ketiga dia tidak melakukan tahallul atau bergunting tetapi dia bertahallul hanya selepas menunaikan umrah yang keempat. Berapakah bilangan umrah yang dikira sah dan adakah dia dikenakan apa-apa dam?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam mengunjungi Baitullah al-Haram sememangnya kita digalakkan memperbanyakkan ibadah umrah. Ini kerana, terdapat pelbagai kelebihan dan fadhilat yang akan dicapai oleh mana-mana para jemaah yang mampu melakukan ibadah umrah ini dengan sebanyak mungkin. Antara kelebihannya adalah apa yang disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadithnya:

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”

Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Umrah Lebih Daripada Sekali Tetapi Tahallul Hanya Pada Umrah Terakhir

Merujuk kepada persoalan di atas, ibadah umrah yang dilakukan oleh jemaah tersebut hanya sekali sahaja yang dikira sah. Hal ini kerana jemaah tersebut hanya mencukupkan satu kali rukun umrah yang wajib dilaksanakannya bagi menjadikan umrahnya lengkap dan sempurna. Antara rukun yang wajib dilakukan oleh seorang jemaah bagi menyempurnakan satu ibadah umrah ialah:

  1. Niat umrah serta berihram.
  2. Tawaf umrah sebanyak tujuh pusingan.
  3. Sa’ie umrah di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
  4. Bercukur atau bergunting.
  5. Tertib

Oleh itu, jika jemaah haji melaksanakan kesemua rukun-rukun yang dinyatakan seperti di atas maka sempurnalah baginya satu kali umrah. Sebaliknya, jika rukun-rukun di atas tidak dilakukan atau dilakukan secara tidak lengkap maka umrahnya adalah tidak dikira dan dikenakan dam jika melanggar mana-mana larangan dalam berihram. Allah SWT berfirman:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kerjakanlah ibadat haji dan umrah dengan sempurna dan lengkap, secara lahiriyah. Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah, ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT dan bukan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan menerusi dagangan atau menarik pujian orang dan nama. Meskipun begitu, dibenarkan berdagang dilakukan secara ikhlas, tetapi tujuan sebenar ke Makkah bukan untuk berdagang.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/393)

Kesimpulan

Dalam isu ini, jemaah haji tersebut hanya melaksanakan satu kali umrah sahaja walaupun dia berniat, tawaf dan sa’ie secara berulang-ulang. Ini kerana pengulangan amalan-amalan tersebut adalah tidak sempurna selagi mana umrah yang pertama tersebut tidak disempurnakan dengan melaksanakan tahallul iaitu bercukur. Justeru, umrahnya yang dikira sah hanyalah satu kali sahaja iaitu umrahnya yang pertama dengan tahallul umrah yang terakhir manakala tiga umrah yang lain tidak dikira sah kerana dia tidak menyempurnakan tahallul.

Selain itu, jika jemaah haji tersebut ada melanggar mana-mana larangan yang terdapat sepanjang berihram seperti memakai pakaian berjahit maka jemaah haji tersebut akan dikenakan dam. Dam yang dikenakan adalah mengikut kesalahan-kesalahan yang dibuat. Namun begitu, jika dia tidak melanggar apa-apa larangan ihram maka tidaklah dikenakan apa-apa dam. Suka saya tegaskan di sini, hendaklah kita mempelajari dan mendalami ilmu dahulu terutamanya dalam melaksanakan ibadat seperti menunaikan ibadat haji atau umrah. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW menegaskan melalui sabdanya:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya:Ambillah daripadaku ibadah haji kalian.

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Ini supaya, ibadat haji dan umrah itu sah serta menepati kehendak Syariat.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H