Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang surirumah sepenuh masa yang sedang bergelut dengan kehidupan berkeluarga sejak 4 tahun yang lalu. Saya dan suami dikurniakan 2 orang anak, sepasang dengan jarak umur 2 tahun. Suami saya bekerja mengikut waktu syif dan ketika dia bekerja pada waktu siang, saya sendirian di rumah dan ada kalanya saya berasa amat susah untuk mengerjakan solat Zuhur dan Asar terutamanya, lebih-lebih lagi anak kedua saya sekarang berusia 6 bulan dan sedang dalam fasa “seperation anxiety”. Bagaimanakah dapat saya permudahkan lagi urusan solat saya dengan anak kecil di rumah? Dalam pada itu saya ingin bertanyakan tentang, saya pernah baca satu petikan di web, yang menyatakan Nabi memendekkan solat ketika terdengar anak/cucunya menangis tetapi apabila saya melakukan carian untuk pembacaan lanjut, malangnya saya tak temui apa-apa. Mohon pencerahan dan idea serta nasihat Tuan Dr. Terima Kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Saya ucapkan tahniah kepada puan kerana dalam apa jua keadaan sekali pun puan tetap menjaga solat. Inilah sifat Muslim yang sejati. Benarlah firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Berkenaan dengan anak semetelahan lagi anak dalam fasa separation anxiety yang amat perlu kepada ibunya, maka Islam telah menunjukkan kepada kita betapa ibu yang mempunyai anak juga tetap solat dan Rasulullah SAW sendiri telah meraikan apabila mendengar tangisan bayi. Daripada Anas bin Malik RA:
مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أخَفَّ صَلَاةً، وَلَا أَتَمَّ مِنَ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بكاءَ الصَّبيِّ، فيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أمُّهُ
Maksudnya: “Aku tidak pernah solat dibelakang imam yang lebih ringan dan lebih sempurna daripada solat di belakang Nabi SAW. Apabila Baginda mendengar suara bayi menangis, maka Baginda akan meringankan solat tersebut kerana dibimbangi akan menyusahkan ibunya.”
Riwayat al-Bukhari (708) dan Muslim (469)
Hadith ini menunjukkan bahawasanya Nabi SAW merubah keadaan solat untuk maslahah individu tertentu, iaitu demi kebaikan ibu kepada bayi yang sedang menangis yang berkemungkinan terganggu apabila mendengar suara tangisan anaknya. Keadaan ini adalah sama seperti keadaan imam yang menunggu sebentar untuk membolehkan jemaah lain masuk solat menyertainya. (Lihat al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’, 4/198).
Saya cadangkan juga agar puan pilihlah waktu yang paling sesuai untuk solat, seperti ketika anak sedang tidur atau sedang asyik melihat televisyen, iPad dan seumpamanya. Begitu juga, ketika anak leka dengan permainannya. Puan boleh sembahyang berhampiran dengan anak tersebut.
Semoga puan sentiasa dapat menunaikan ibadah solat di awal waktu dan jika suami ada di rumah, maka solatlah berjemaah. InsyaAllah rumahtangga puan akan diberkati Allah SWT selama mana menegakkan ibadat solat.
Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H