Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya, apakah hukumnya membina gerai dan berniaga di atas laluan pejalan kaki yang dibina oleh pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan pejalan kaki. Binaan ini menyebabkan pejalan kaki terpaksa menempuh bahaya berjalan di atas jalan raya. Termasuk mereka yang kurang upaya menggunakan kerusi roda. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Syeikh al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “Kemudian, diperintahkan untuk patuh kepada Allah dan patuh kepada Rasul-Nya dengan mematuhi perintah mereka, baik yang wajib, yang dianjurkan (mustahab), dan menjauhi larangan mereka. Dan diperintahkan untuk patuh kepada pemerintah yang berkuasa atas manusia, seperti penguasa, hakim, dan ulama. Hal ini kerana kebaikan agama dan dunia mereka hanya akan terwujud melalui ketaatan kepada mereka dan patuh kepada mereka, sebagai ketaatan kepada Allah dan kehendak terhadap apa yang Dia miliki. Namun, dengan syarat mereka tidak memerintahkan untuk melakukan maksiat kepada Allah, kerana jika mereka memerintahkan hal itu, maka tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada Pencipta. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 183)
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati.”
Riwayat al-Bukhari (2955) dan Muslim (1839)
Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat, dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 12/224)
Dalam konteks kenegaraan pada zaman sekarang, terdapat syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap peniaga dan penjaja, antaranya ialah:
- Tidak dibenarkan penjaja menjalankan perniagaan dalam lingkungan jarak tertentu dari simpang jalan
- Larangan menjalankan perniagaan di atas tangga kaki lima atau siar kaki awam
- Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di mana-mana kawasan yang difikir boleh menimbulkan masalah gangguan kepada lalu lintas dan pejalan kaki.
Larangan-larangan ini sebenarnya telahpun termasuk di bawah kaedah yang melarang secara umum segala jenis bentuk kerosakan dan mudarat:
Kaedah menyebut:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)
Imam Suyuti berkata: Ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)
Kaedah ini merupakan antara yang terpenting dalam perlaksanaan hukum-hukum fiqh. Lebih jauh daripada itu, diandaikan separuh daripada hukum fiqh berasaskan kaedah ini. Ini kerana segala hukum berhadapan dengan dua perkara, sama ada membawa manfaat atau menolak mudharat, yang sudah tentu termasuk dalam kaedah dharuriyyah yang lima, iaitu memelihara agama, jiwa, keturunan, maruah dan juga harta.
Kaedah ini bersandarkan kepada hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa sabdanya:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak).”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Selain itu, konsep taqyid al-mubah juga digunapakai, di mana pemerintah atau kerajaan tidak akan melakukan sesuatu peraturan melainkan dengan adanya maslahah. Kaedah fiqh menetapkan:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya : “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”
Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka difahami scara mafhum mukhalafah, menurut arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah ialah wajib. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/71)
Justeru, dalam hal ini, kami katakan bahawa setiap jalan yang dibuat mempunyai hak yang perlu diberikan. Sekiranya jalan tersebut merupakan laluan pejalan kaki, maka tidak boleh diambil hak jalan tersebut kerana setiap jalan itu mempunyai haknya sebagaimana riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:
«إِيَّاكُمْ وَالجُلُوسَ بِالطُّرُقَاتِ». فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا لَنَا مِنْ مَجَالِسِنَا بُدٌّ نَتَحَدَّثُ فِيهَا، فَقَالَ: «إِذْ أَبَيْتُمْ إِلَّا المجْلِسَ، فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهُ» قَالُوا: وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «غَضُّ البَصَرِ، وَكَفُّ الأَذَى، وَرَدُّ السَّلاَمِ، وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيُ عَنِ المُنْكَرِ».
Maksudnya: “Janganlah kamu duduk di jalan-jalan (sehingga mengganggu laluan orang ramai).” Para sahabat berkata: “Tidak ada pilihan bagi kami selain daripada duduk di tempat itu untuk berbual-bual.” Baginda bersabda: “Jika kamu enggan melainkan mahu duduk di jalan-jalan, maka berikanlah hak kepada jalan itu.” Mereka bertanya: “Apakah hak jalan itu wahai Rasulullah?.” Baginda bersabda: “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu orang yang lalu, menjawab salam, amar makruf dan nahi mungkar.”
Riwayat al-Bukhari (6229) dan Muslim (2121)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini banyak mengandungi manfaat dan ia termasuk dalam hadith-hadith yang merangkumi banyak perkara. Hukum-hukumnya jelas, dan sepatutnya dihindari untuk duduk di tengah jalan kerana hadith ini. Ia juga termasuk dalam upaya menghindari kejahatan dan umpatan, buruk sangka, merendahkan orang-orang yang melalui jalan tersebut, menyempitkan jalan, dan juga sekiranya orang yang duduk di jalan itu menyebabkan orang-orang yang melalui jalan itu takut kepada mereka atau mereka menakutkan orang yang melaluinya sehingga menghalang mereka daripada melakukan pekerjaan mereka kerana mereka tidak menemui jalan selain di tempat itu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/102)
Kesimpulan
Dalam hal ini jelas menyatakan jalan itu mesti diberikan haknya dan tidak boleh disekat dengan menganggu laluan orang ramai. Justeru dalam hal ini, adalah tidak boleh bagi peniaga untuk membina gerai dan berniaga di atas laluan pejalan kaki yang dibina oleh pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan pejalan kaki. Hal ini akan menyebabkan pejalan kaki terpaksa menempuh bahaya dengan berjalan di atas jalan raya termasuk mereka yang kurang upaya yang menggunakan kerusi roda.
Kami mencadangkan supaya peniaga mencari tempat yang lebih sesuai yang tidak menganggu laluan orang untuk membina gerai. Bincanglah dengan pihak berkuasa tempatan bagi mencari jalan penyelesaian dalam mencari dan membina gerai jualan tersebut. Dengan suasana yang selesa yang memudahkan orang ramai, dan tidak menganggu laluan mereka ini akan membina masyarakat yang aman damai, dan harmoni. Semoga Allah SWT menganugerahkan Malaysia negara yang aman dan makmur dalam keredaan-Nya sebagaimana firman-Nya:
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya: “(Negeri kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu ialah) Tuhan yang Maha Pengampun!”
Surah al-Saba’ (15)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H