Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada masalah angin yang keadaannya yang nadir berbanding angin yang selalu dirasa oleh manusia lain iaitu kentut. Saya selalu rasa ada angin yang keluar daripada dubur meskipun bukan saya yang mengeluarkan angin tersebut. Jika saya duduk dalam keadaan tetap punggung juga saya boleh merasakan ada angin keluar dan terkadang saya rasa angin keluar seperti cara angin kentut tapi tiada tekanan daripada perut. Kesemua angin di atas tidak berbau dan berbunyi. Soalan saya, adakah semua di atas dikategorikan batal wuduk? Kerana saya selalu teruskan solat saya kerana saya berpegang dengan hadith Nabi SAW yang mana jika tidak mendengar bau dan angin jangan beredar keluar dari masjid. Mohon pencerahan Tuan. Jazakumullahu khair jaza’.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, pertama sekali saya syorkan saudara merujuk kepada pakar perubatan untuk mengenalpasti apa yang saudara hadapi ini serta kategorinya; adakah dianggap sebagai kentut atau tidak.
Keduanya, jika ia sebagai kentut maka, saudara yang tidak dapat mengawal keadaan seperti ini dianggap sama seperti orang yang kencing tak tus yang dipanggil sebagai salisbul. Jadi hukumnya termasuk dalam bagaimana seorang yang uzur syar’ie.
Apa yang saudara katakan dan pendapatkan ada benar dan asasnya. Berkenaan perkara ini, terdapat hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab Baginda SAW:
لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.”
Riwayat al-Bukhari (137)
Justeru, kalau tiada bau dan bunyi, dan lebih kepada was-was semata-mata, boleh dikira bahawa itu hanyalah pergerakan otot dubur semata-mata. Kadang-kadang kerana ada angin yang terperangkap di celah punggung tetapi bahagian luar. Itu bukan kentut. Kadang-kadang juga dirasai gas di bahagian hujung dalam dubur itu naik ke usus, membuatkan ada rasa sensasi di bahagian hujung. Itu juga bukan kentut.
Maka yang penting dalam isu ini ialah keyakinan bahawa memang ada hadas yang keluar, lalu membatalkan wuduk dan solat. Jika tiada maka kekallah hukum asal bahawa seseorang itu masih dalam keadaan suci.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita beroda kepada Allah SWT supaya Allah SWT terima ibadat kita sebagai mana yang diajar oleh Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H