#1722: Penggunaan Darah dalam Produk Krim Kosmetik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum produk kosmetik berbentuk krim yang mengandungi darah? Adakah ia dihukumkan sebagai najis dan bolehkah kita menggunakannya hanya untuk sapuan bahagian luar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, darah merah yang mengalir dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Ayat di atas telah menyatakan bahawa Allah SWT telah mengharamkan kepada kamu semua apa yang memudaratkan seperti bangkai iaitu yang tidak disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak, juga darah yang mengalir, daging khinzir dan sembelihan yang disembelih bukan kerana Allah. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 26).

Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).

Firman Allah SWT:

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا

Maksudnya:atau darah yang mengalir.”

(Surah al-An‘am: 145)

Inilah juga pendapat Ibn Abbas dan Sa‘id bin Jubair. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/8; Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 21/17).

Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Selain itu, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Darah tersebut tidak boleh dimakan, mahupun diambil manfaat dengannya. Hal ini kerana ia mengandungi atau membawa bahan-bahan lebihan (buangan) daripada badan, termasuklah bahan-bahan yang berbahaya seperti bakteria dan mikroorganisma serta selainnya yang menyebabkan penyakit. Oleh itu, jika seseorang meminumnya, ia boleh memudaratkan dan penyakit yang dibawa oleh darah juga boleh berjangkit kepadanya.

Adapun darah yang berbaki pada daging dan juga tulang haiwan, maka ia dikira sebagai suci. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 19/25). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Aisyah R.Anha ketika mana beliau bertanya berkenaan setiap haiwan buas yang bertaring dan setiap burung yang memiliki kuku mencengkam. Beliau berkata dengan membacakan firman Allah SWT:

قُل لاَّ أَجِدُ فِي مَا أُوْحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلاَّ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir.’

(Surah al-An‘am: 145)

Kemudian beliau berkata:

كنَّا نَطْبَخُ البُرْمَة عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم تعلوها الصفرة مِنَ الدَّم فَنَأْكُلُ وَلَا ننكره

Maksudnya:Kami pernah memasak daging dalam periuk pada zaman Rasulullah SAW dengan darah kekuningan di atasnya. Lalu kami memakannya dan Baginda tidak mengingkarinya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/210).

Selain itu, hal ini juga adalah bagi memelihara dirinya daripada masyaqqah (kesusahan) kerana agama yang benar mengangkat kesusahan dan kepayahan daripada mukallaf. Al-Qurtubi menyebutkan, salah satu usul atau prinsip dalam syarak ialah semakin umat susah untuk melaksanakan ibadah dan ia membebaninya, maka gugurlah ibadah itu daripadanya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Oleh itu, jelaslah bahawa haram untuk memakan darah yang mengalir berdasarkan kepada nas yang telah disebutkan di atas, tidak kira darah itu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang haram dimakan dagingnya, atau darah manusia. Akan tetapi dikecualikan daripada hukum darah yang mengalir itu, darah yang berbaki pada urat (yang terdapat pada daging haiwan) disebabkan oleh kesukaran dan kepayahan untuk menghindarinya.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa produk yang mengandungi bahan-bahan bernajis seperti darah turut dihukumkan sebagai najis. Jika ia berbentuk pil yang dimakan, maka haram hukumnya untuk kita memakan pil tersebut disebabkan oleh kenajisannya.

Perbahasan lebih lanjut berkenaan berubat dengan bahan-bahan yang bernajis bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #169 Memakan Hempedu Haiwan Halal sebagai Ubat.[2]

Adapun jika produk tersebut berbentuk krim untuk kegunaan luar. Kami melihat ia dekat dengan beberapa perbahasan ulama dalam kitab-kitab mereka seperti menggunakan sabun yang diperbuat daripada bahan-bahan bernajis dan mewarnakan rambut atau janggut dengan menggunakan bahan-bahan bernajis.

Menurut pendapat terpilih dalam kalangan ulama mazhab Hanafi bahawa sabun yang diperbuat daripada minyak yang bernajis atau mutanajjis adalah suci. Oleh itu, harus menggunakannya dan berjual beli dengannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/301).

Begitu juga, ulama mazhab Syafi‘i turut bersetuju dengan pendapat bahawa boleh menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak yang bernajis. Mengenai perkara ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan daripada kitab al-Majmu‘ bahawa harus melumurkan kapal dengan lemak bangkai haiwan, membuat sabun dengan minyak bernajis, memberi makan bangkai haiwan kepada anjing-anjing dan burung-burung, serta memberi makan makanan yang terkena najis (mutanajjis) kepada haiwan ternakan. (Lihat Asna al-Matalib, 1/278).

Di samping itu, al-Ramli menjelaskan lagi dengan menyatakan bahawa seseorang itu harus menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak bernajis pada anggota badannya atau pakaiannya. Kemudian, dia membersihkannya — yakni sabun tersebut daripada badan dan pakaiannya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/384-385; Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, 1/278).

Selain daripada itu, ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali berpendapat, apa sahaja yang dicelup dengan sesuatu yang mutanajjis (yakni yang terkena najis), boleh dibersihkan (disucikan) dengan membasuhnya sebanyak tiga kali. Justeru, jika seseorang lelaki atau perempuan mewarnakan rambut dengan hinna’ (inai) yang mutanajjis, lalu membasuhnya sebanyak tiga kali, maka ia kembali menjadi suci. Namun, jika pewarnaan itu menggunakan sesuatu bahan yang najis, maka ia tidak dikira suci melainkan setelah hilangnya ain najis itu, rasa dan juga baunya, serta air yang keluar adalah jernih. Akan tetapi warna yang tinggal adalah dimaafkan kerana sesuatu kesan (iaitu warna) yang susah untuk dihilangkan, kekalnya itu tidak memudaratkan (yakni tidak mengapa). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami menyimpulkannya sebagaimana berikut:

  • Kami berpendapat produk kosmetik yang berbentuk pil yang mengandungi bahan-bahan bernajis seperti darah adalah haram untuk dimakan. Apatah lagi sekarang ini, terdapat banyak alternatif atau produk kosmetik lain yang lebih terjamin dari segi kehalalannya.
  • Jika produk itu berbentuk krim dan hanya digunakan pada bahagian luar, maka kami berpendapat tidak mengapa menggunakannya dengan syarat ia dibersihkan selepas itu dengan air yang bersih sehingga hilang ainnya, rasa dan juga baunya.
  • Adapun jika terdapat kemungkinan bahan daripada produk tersebut yang mungkin terserap melalui pori, maka ia adalah dimaafkan dan bahagian yang disapu dengan krim tersebut dianggap suci selepas dibasuh dengan air bersih. Hal ini kerana kesucian itu adalah berdasarkan kepada apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak) sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i ketika membahaskan mengenai cara membersihkan racun (najis) yang meresap masuk ke dalam besi yang dipanaskan dan disiram dengan racun itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/600).

Begitu juga majoriti ulama berpendapat bahawa najis yang berada di dalam jauf orang yang solat adalah dimaafkan, dan tidak memberi kesan kepada kesahan solatnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, hal ini kerana anak-anak Adam itu adalah suci, dan apa-apa najis yang berada di dalam jaufnya termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana ia berada di dalam perutnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/32).

Walau bagaimanapun, pada kesempatan ini, kami juga ingin mengesyorkan jika tiada apa-apa keperluan untuk menggunakan produk krim tersebut, maka adalah lebih baik untuk dielakkan penggunaannya kerana ia lebih dekat dengan sifat seorang Muslim itu yang suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis. Lebih-lebih lagi, produk kosmetik kebiasaannya termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau dharurah (keperluan mendesak).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 23 Mei 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/169-memakan-hempedu-haiwan-halal-sebagai-ubat/. Diakses pada 23 Mei 2023.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H