Soalan:
Assalamualaikum Datuk. Seperti yang umum tahu, syarat sah mandi hadas adalah meratakan air ke seluruh badan dan menghilangkan segala kotoran dan najis serta benda-benda yang dapat menghalang air seperti sisik ikan/getah. Soalan saya bagaimana halnya dengan kuping luka? Adakah ia menghalang air? Bagaimana nak membezakan ia menghalang air dari sampai ke kulit atau tidak? Terima kasih Datuk atas pencerahan.
Jawapan :
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT memerintahkan hambaNya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.
(Surah al-Nisa’: 43)
Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:
- Niat
- Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
- Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21)
Kembali kepada persoalan di atas, keruping luka ialah selaput kering pada kudis atau luka, keropeng atau pengerupingan pembentukan keruping kudis pada luka.
Ulama bersepakat bahawa setiap sesuatu yang terlekat pada badan ia dapat menghalang daripada sahnya wuduk dan mandi wajib. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 2/282 ). Dalam situasi seperti ini, ia merujuk kepada kulit mati di dalam badan, seperti yang berlaku di beberapa bahagian kaki, dan kadang-kadang di tangan juga, atau setelah penyembuhan luka dan sebagainya. Kulit mati ini tidak perlu dibuang atau membolehkan air meresap di bawahnya kerana ia merupakan sebahagian daripada badan yang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, tidak ada kewajipan untuk menghapuskan kulit mati tersebut. Ia tidak menghalang sampainya air ke kulit. Maka, sah wuduk atau mandi hadas yang dilakukan itu.
Al-Khatib al-Syarbini telah menukilkan dalam kitabnya, apabila ia menjadi sebahagian daripada badan, ia tidak dapat dipisahkan daripadanya. Dan yang dimaksudkan dengan menjadi sebahagian seperti bahagian adalah bahawa ia tidak dapat dibezakan dalam pandangan mata. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi,1/128).
Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H