#1793: Yuran Penyertaan Pertandingan Dikira Judi?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kalau saya diberi tugas untuk handle satu pertandingan robot sesama kelas saya untuk menggantikan mini projek kami. Pertandingan itu disuruh mempunyai hadiah permenang yang disediakan oleh kelas kami sendiri, jika saya meminta duit dari setiap rakan kelas saya untuk membeli kelengkapan dan hadiah pertandingan, adakah perkara tersebut hukumnya haram?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami dahulukan dengan takrif judi. Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya); (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.

Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)

Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:

  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 2/200)
  • Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
  • Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
  • Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
  • Menurut Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 19/283)
  • Ibn Qayyim pula berpandangan judi adalah suatu situasi di mana salah seorang daripada keduanya untuk menang ataupun kalah.

Imam Malik menyatakan judi terdiri daripada dua jenis:

  • Judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak bermanfaat.
  • Judi yang bersifat pertaruhan iaitu apa-apa yang membahaya atau menggadaikan diri orang lain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/52)

Syeikh Rasyid Ridha mentafsirkan judi (al-maisir) dalam al-Quran sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa menggunakan akal dan tanpa bekerja keras. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/258)

Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)

Daripada takrifan yang dikemukakan oleh para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.

Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:

  • Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
  • Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
  • Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.

Berdasarkan ini para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.

Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah SAW diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah SAW menang. Rasulullah SAW menerima cabaran itu dan beliau menang dalam pertandingan.

Selain itu, sebarang permainan apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap sebagai judi yang diharamkan.

Dalam menjawab persoalan di atas, saya katakan supaya keluar daripada kaedah judi iaitu bukan semua murid yang menyertai pertandingan. Kedua, guru atau orang-orang lain boleh beri sumbangan walau seringgit dua. InsyaAllah, kalau ini dapat dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat lain di atas, maka ia tidak termasuk dalam judi. Semoga Allah SWT bebaskan kita dari terperangkap dalam perjudian. Amin.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H