#1804: Kerbau atau Lembu Balar Sebagai Haiwan Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Jika manusia yang Allah takdirkan balar (albino) sejak lahir dikira sebagai kecacatan. Justeru, bagaimana pula dengan kerbau atau lembu yang balar sejak dari lahir. Adakah ia dikira cacat dan bolehkah ia dijadikan sebagai haiwan untuk ibadah korban? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi balar. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, balar ialah binatang atau manusia yang lahir tanpa bahan pewarna semula jadi pada rambut dan kulit yang menyebabkan rambut dan kulit menjadi putih.[1]

Umumnya, haiwan albino yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan seperti anjing, arnab dan burung, memerlukan penjagaan lebih rapi berbeza dengan haiwan yang lain. Sebagai contoh seekor anjing albino apabila tuannya mahu membawa keluar, matanya perlu ditutup dengan penutup khas bagi mengelak silau atau jika cahaya berlebihan boleh menyebabkan buta.

Menurut Dr Shairah Abdul Razak (Pensyarah Kanan Program Genetik, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM), haiwan albino tidak seharusnya terdedah kepada cahaya matahari kerana kulitnya sensitif. Namun, untuk makanan pula tiada beza dengan haiwan normal lain. Menurutnya lagi, kewujudan haiwan albino adalah cara semula jadi dan menunjukkan kepelbagaian genetik.

Selain itu, Dr Shairah turut menyebutkan, sama ada manusia atau haiwan kewujudannya dipengaruhi oleh faktor genetik atau disebut juga pewarisan. Dalam aspek pewarisan ini, ada suatu kod arahan terdiri daripada asid deoksiribonukleik (DNA) yang menentukan baka atau ciri-ciri keturunan sekali gus membentuk gen. Gen ini menentukan ciri-ciri fizikal, iaitu warna kulit, mata atau yang tidak dapat dilihat dalam badan seperti penghasilan protein dan lain-lain. Salinan gen bagi setiap ogranisma pula ada dua, iaitu satu salinan diwarisi daripada induk jantan dan satu lagi induk betina. Sebagai contoh jika gen dalam induk membawa ciri warna kulit gelap dan menghasilkan banyak melanin, anak mewarisi salinan gen itu akan berkulit gelap. Gen ini juga wujud dalam manusia, haiwan, tumbuhan dan organisma hidup seperti bakteria.

Albino berlaku disebabkan mutasi atau sebarang perubahan berlaku pada gen yang berfungsi untuk hasilkan melanin. Proses penghasilan melanin itu dikawal oleh gen dinamakan sebagai gen protein Tyrosinase. Mutasi pula boleh berlaku secara spontan sebagai contoh jika berlaku kesilapan ketika DNA disalin dan diperbanyakkan dalam sel badan atau disebabkan oleh pelbagai punca lain termasuk persekitaran seperti bahan kimia, asap rokok, radiasi, sinaran ultraviolet (UV) dan sebagainya.

Dalam situasi normal termasuk manusia, gen protein Tyrosinase normal akan menjalankan fungsinya, iaitu bertindak sebagai pemangkin atau enzim dalam proses penghasilan melanin. Dalam kes albino, ia mengalami mutasi iaitu berlaku perubahan pada kod DNA, mengakibatkan fungsi gen tadi rosak, hilang, terganggu dan sebagainya. Jika mutasi ini berlaku pada satu salinan gen sebagai contoh dari ibu atau dari ayah sahaja, kesan mungkin tidak ketara. Bagaimanapun, apa yang berlaku hingga menyebabkan albino ialah dia menerima kedua-dua salinan gen Tyrosinase yang rosak akibat mutasi berasal daripada induk jantan dan betina, dan kini sel tidak lagi boleh menghasilkan melanin. Akhirnya, kesan ketiadaan melanin tadi dimanifestasikan pada fizikal seperti ciri keputihan pada kulit, bulu, mata, dan sisik haiwan berkenaan. Bagaimanapun, ada haiwan yang berwarna putih tetapi bukan albino, namun untuk membezakannya adalah pada bahagian mata yang berwarna merah.

Menurut Dr Shairah lagi, ada juga haiwan separa albino seperti ular sawa Burma, berwarna putih dan kuning. Jika mata ular sawa itu berwarna hitam, ia separa albino tetapi jika matanya berwarna merah, ia albino penuh. Selain itu, beliau juga ada menyatakan berkenaan jangka hayat haiwan albino. Bagi yang dijaga baik seperti di zoo atau dipelihara sebagai haiwan peliharaan mereka boleh menjadi sama dengan haiwan biasa. Namun, bagi haiwan liar habitat asal, jangka hayat mungkin tidak panjang seperti haiwan yang dipelihara kerana beberapa faktor. Antaranya, haiwan albino bermata merah mempunyai tahap penglihatan terhad, sekali gus menyebabkan ia senang menjadi mangsa haiwan lain. Tambahan lagi, potensi untuk haiwan itu hidup di habitat asal juga sangat tipis kerana warna putih menyukarkan mereka membuat penyamaran. Selain itu, haiwan albino juga sama seperti manusia mempunyai risiko tinggi menghidap kanser kulit.[2]

Haiwan korban

Pada asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.

(Surah al-Haj: 34) 

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Selain daripada itu, Imam al-Baghawi juga ada menyatakan, lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama.  Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Selamat daripada kecacatan yang menjejaskan daging

Selain itu, di antara syarat haiwan korban juga ialah haiwan tersebut tidak mengalami kecacatan yang menyebabkan kurang dagingnya. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/234), haiwan yang hendak dijadikan haiwan korban itu tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu, tidak sah korban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.

Imam al-Nawawi menyebutkan, disyaratkan pada haiwan korban itu mestilah selamat daripada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan yang sangat kurus, gila, terpotong sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak memberi kesan (kepada kesahan haiwan korban itu) jika kecacatan yang disebutkan tadi sangat sedikit, begitu juga ketiadaan tanduk-tanduknya, koyak telinga, dan tebukan pada telinga mengikut pendapat yang paling sahih. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa menurutnya, pendapat yang sahih dan yang dinaskan adalah tidak sah kudis yang sedikit. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320).

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan, disyaratkan pada haiwan korban itu untuk selamat daripada kecacatan yang menyebabkan dagingnya kurang pada masa tersebut ataupun akan datang. Hal ini kerana tujuan atau maksud haiwan korban itu adalah bagi mendapatkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan korban yang buta sebelah mahupun buta kedua-dua matanya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang tempang jika ketempangannya sangat parah sehingga haiwan ternak yang lain mendahuluinya ke padang rumput yang baik. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus sehingga hilang isinya disebabkan oleh kurus yang keterlaluan. Begitu juga tidak sah haiwan yang gila yang berputar-putar di padang ragut dan tidak meragut rumput melainkan hanya sedikit, lalu menjadi kurus. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang hilang semua giginya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian telinganya sekalipun sedikit kerana telah hilang sebahagian bahagian daging yang dimakan, begitu juga yang terpotong keseluruhan telinganya, dan yang dilahirkan tanpa telinga. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian lidahnya kerana ia akan memberi kesan. Hal itu adalah disebabkan berlakunya sesuatu yang akan memberi kesan kepada kekurangan daging. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang sakit dan mempunyai kudis yang jelas kelihatan sama ada sedikit atau banyak.

Semua ini adalah berdasarkan kepada hadith, daripada riwayat al-Barra’ bin ‘Azib R.A sebagaimana di atas. Seterusnya, kecacatan dan aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu diqiaskan kepada empat kecacatan tersebut (yang dinyatakan dalam hadith).

Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili lagi, jika semua aib atau kecacatan yang telah disebutkan di atas sangat sedikit, maka ia tidak memberi kesan kepada kesahan haiwan korban tersebut kerana ia tidak menjejaskan daging. Begitu juga memadai (sah) haiwan korban yang dikasi, haiwan jantan (yang menjadi baka) sekalipun telah banyak mengeluarkan mani, haiwan betina sekalipun telah banyak melahirkan dan tidak baik dagingnya. Melainkan apabila kedua-duanya berakhir dengan kurus yang jelas dan ketara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481-482).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami bahagikan jenis haiwan korban albino ini kepada dua. Jika albino itu merupakan penyakit yang mengganggunya serta ia memberi kesan kepada pemakanan dan pengurangan dagingnya, maka kami berpendapat tidak sah menjadikannya sebagai haiwan korban.

Namun, jika albino itu sekadar menjadikan warna fizikalnya iaitu bulu dan kulitnya berwarna putih, dan ia tidak memberi kesan kepada pemakanan dan pengurangan dagingnya, maka kami berpendapat sah berkorban dengannya. Apatah lagi terdapat sebahagian ulama menyebutkan, warna haiwan korban yang paling afdhal ialah warna putih. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa warna haiwan korban yang paling afdhal ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna seperti debu atau tanah iaitu tidak menggambarkan keputihannya, kemudian warna balqa’ iaitu sebahagiannya berwarna putih dan sebahagiannya lagi berwarna hitam, kemudian warna hitam. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/396-397). Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, sebaik-baik haiwan korban daripada jenis kambing ialah yang berwarna putih. (Lihat al-Mughni, 9/439).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=balar. Diakses pada 25 Mei 2023.

[2] Lihat https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2021/08/854931/eksotik-haiwan-albino. Diakses pada 25 Mei 2023.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H