#1805: Haiwan Korban yang Buta

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Adakah sah haiwan korban yang buta sekalipun hanya sebelah matanya sahaja? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.

(Surah al-Haj: 34) 

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, di antara syarat haiwan korban ialah haiwan tersebut tidak mengalami kecacatan yang menyebabkan kurang dagingnya termasuklah haiwan yang buat sekalipun hanya sebelah matanya. Hal ini jelas sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa disyaratkan pada haiwan korban itu mestilah selamat daripada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan yang sangat kurus, gila, terpotong sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak memberi kesan (kepada kesahan haiwan korban itu) jika kecacatan yang disebutkan tadi sangat sedikit, begitu juga ketiadaan tanduk-tanduknya, koyak telinga, dan tebukan pada telinga mengikut pendapat yang paling sahih. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa menurutnya, pendapat yang sahih dan yang dinaskan adalah tidak sah kudis yang sedikit. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320).

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan, disyaratkan pada haiwan korban itu untuk selamat daripada kecacatan yang menyebabkan dagingnya kurang pada masa tersebut ataupun akan datang. Hal ini kerana tujuan atau maksud haiwan korban itu adalah bagi mendapatkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan korban yang buta sebelah mahupun buta kedua-dua matanya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang tempang jika ketempangannya sangat parah sehingga haiwan ternak yang lain mendahuluinya ke padang rumput yang baik. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus sehingga hilang isinya disebabkan oleh kurus yang keterlaluan. Begitu juga tidak sah haiwan yang gila yang berputar-putar di padang ragut dan tidak meragut rumput melainkan hanya sedikit, lalu menjadi kurus. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang hilang semua giginya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian telinganya sekalipun sedikit kerana telah hilang sebahagian bahagian daging yang dimakan, begitu juga yang terpotong keseluruhan telinganya, dan yang dilahirkan tanpa telinga. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian lidahnya kerana ia akan memberi kesan. Hal itu adalah disebabkan berlakunya sesuatu yang akan memberi kesan kepada kekurangan daging. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang sakit dan mempunyai kudis yang jelas kelihatan sama ada sedikit atau banyak.

Semua ini adalah berdasarkan kepada hadith, daripada riwayat al-Barra’ bin ‘Azib R.A sebagaimana di atas. Seterusnya, kecacatan dan aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu diqiaskan kepada empat kecacatan tersebut (yang dinyatakan dalam hadith). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481-482).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa tidak sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban, haiwan yang jelas buta sekalipun hanya sebelah matanya berdasarkan kepada nas hadith yang sahih. Jika ia tetap disembelih, maka dagingnya itu tidak dianggap sebagai sembelihan haiwan korban tetapi hanya sembelihan bagi mendapatkan daging untuk tujuan lain seperti dimakan atau disedekahkan (tanpa tertakluk padanya hukum daging korban) serta ia halal untuk dimakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H