#1813: Memilih Imam yang Lebih Bagus Bacaan untuk Dapatkan Khusyuk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah tinggal di Madinah beberapa tahun. Pada bulan Ramadhan, saya biasanya solat di Masjid Nabawi pada setiap solat fardhu, kecuali solat Isya’ dan tarawih kerana faktor bacaan imam. Soalan saya, apa hukum meninggalkan solat di Masjid Nabawi, tetapi pergi ke masjid lain kerana suara bacaan imam di masjid lain lebih merdu dan tenang, serta terasa lebih khusyu’ di hati?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kamu mulakan dengan hadith, daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ.

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram.”

Riwayat Ahmad (15271). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dalam takhrij beliau atas musnad Ahmad.

Hadith ini mencakupi solat wajib dan sunat yang dianjurkan menunaikannya secara berjemaah di masjid-masjid seperti tarawih. Fatwa al-Lajnah al-Da’imah menyebut: “Dianjurkan solat sunat di rumah, sama ada sunat rawatib mahupun yang lain. Kecuali apa yang disyariatkan melaksanakannya di masjid, seperti tahiyyatul masjid. Begitu juga apa yang disyariatkan dilaksanakan secara berjemaah seperti tarawih dan kusuf. Keduanya dilaksanakan di masjid. Begitu juga solat ‘eid dan istisqa’ dilaksanakan di tanah lapang (musolla). (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 7/239)

Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Ibn Jibrin dalam fatwanya menyebut: “Sesungguhnya suara yang bagus dan bacaan yang baik dapat menusuk pada hati, memberi kesan pada kehadiran hati, kekhusyukan badan, membekas dari kalamullah dan menikmati dengan mendengarkannya. Ia juga sebagai sebab dalam memahaminya, mengetahui maksud, mentadabburnya, mengetahui mukjizat dan keindahan bahasa, kekuatan uslubnya. Kesemua itu menjadi sebab untuk dapat mengamalkannya, menerima petunjuk dan arahannya.

Maka tidak dilarang bagi seseorang untuk mencari qari’ yang bagus bacaannya, indah bacaan al-Quran, menghafaz, khusyuk dalam bacaannya, tuma’ninah dalam solatnya. Kerana solat seperti ini yang dicari untuk dapat solat di belakangnya, meskipun di tempat yang jauh. Ia lebih diutamakan daripada yang lain, yang kurang bagus bacaannya, kurang tepat, sering salah atau suaranya kurang bagus, tidak melagukan al-Quran atau membaca dengan tergesa-gesa dan cepat sekali. Atau tidak tuma’ninah dalam solatnya, tidak khusyuk dalam bacaannya meskipun masjidnya dekat.” (Lihat Fatawa Syeikh Ibn Jibrin, 24/28)

Justeru, kami nyatakan bahawa khusyuk dalam solat dengan kehadiran hati adalah termasuk apa yang dicari. Manakala suara pembaca al-Quran yang indah membantu ke arah itu, bahkan ia dapat memberi kesan kepada yang mendengarnya. Maka jika dengan solat di masjid lain agar lebih khusyuk di hati, maka hal itu tidak mengapa, di mana kita sewajarnya mengutamakan keutamaan yang berkait dengan ibadah itu sendiri, berbanding keutamaan tempat.

Walaupun begitu, kami lebih cenderung untuk seseorang itu memilih masjid Nabi SAW bagi solat berjemaah berbanding dengan masjid yang berada di sekitar Madinah al-Munawwarah. Ini kerana, afdhaliyyah masjid itu sendiri sehingga membawa kepada 1,000 solat berbanding dengan solat di tempat lain kecuali Masjidil Haram.

Peri pentingnya di sini, bukan hanya penilaian pada suara, lagu atau tarannum semata-mata, tetapi juga aspek tempat dan sudut kealiman atau kelebihan yang lain. Ini kerana, kriteria untuk menjadi imam di dua masjid; iaitu Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi dipilih dengan amat ketat. Mungkin bacaannya tidaklah sebaik di sebahagian masjid tetapi ghalib dan kebiasaaannya semuanya menghafaz al-Quran serta memahami ilmu agama atau faqih.

Justeru, solatlah di Masjid Nabi SAW kerana kita dari jauh seperti Malaysia dan berpeluang menetap di kota Madinah yang mungkin selepas itu kita tiada lagi kesempatan untuk terus menetap. Oleh kerana itulah, ambillah peluang semasa berada di kota suci Madinah walaupun tempoh lebih panjang daripada jemaah haji dan umrah yang kita menetap di sana.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H