#1815: Adakah Qadha’ Solat di Masjid al-Haram dapat Mengganti Solat-solat yang Ditinggalkan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebelum ini, sudah bertahun-tahun saya  mengabaikan dan tidak melakukan solat sehingga jumlah solat yang perlu diqadha menjadi sangat banyak. Namun, sekarang saya ingin berubah. Saya ada dengar hadis bahawa solat di Masjid Haram lebih baik 100 ribu ganda dari solat di tempat lain. Jadi, apakah jika saya solat di sana dapat mewakili qadha solat-solat saya yang telah ditinggalkan tersebut? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertama, jalan yang benar untuk menebus segala maksiat dan dosa-dosa adalah dimulakan dengan bertaubat kepada Allah SWT dan menjadikan istighfar (memohon keampunan kepada Allah) sebagai rutin.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

(Surah al-Tahrim: 8)

Ibn Kathir berkata: Iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina. Disebabkan itu, para ulama menyebut: Taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Justeru, hendaklah dia memperbaiki kesalahan pada masa lalu. Sebagai contoh, dia bertekad dan berazam untuk tidak meninggalkannya lagi.

Berbalik kepada persoalan di atas, saudara wajib mengqadha’ (mengganti) seluruh solat yang telah ditinggalkan pada masa lalu. Sekiranya saudara tidak ingat berapa jumlah solat yang telah terlepas, teruslah lakukan qadha sehingga datang keyakinan bahawa tanggungjawab anda telah terlepas.

Adapun berkenaan solat di Masjidil Haram, maka kelebihan dan keutamaannya sudah tidak diragukan lagi. Benar bahawa pahalanya sebanding dengan pahala seratus ribu kali solat di tempat lain, sepertimana disebut dalam hadith, daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 (seratus ribu) solat di tempat lain.”

Riwayat al-Bukhari (1190) dan Muslim (1394) dengan sedikit perbezaan. Lafaz di atas mengikut riwayat Ahmad (15271). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dalam takhrij beliau atas musnad Ahmad.

Pelipatgandaan yang dimaksudkan di sini bukan bermaksud bahawa solat di sana dapat menggantikan pelaksanaan solat-solat yang lain.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Sesungguhnya pelipatgandaan yang dimaksudkan adalah terkait dengan pahalanya, dan tidak berakibat kepada menggugurkan kewajiban berdasarkan kesepakatan ulama’, sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dan yang lainnya. Jika seseorang mempunyai kewajiban menunaikan dua solat misalnya, lalu dia solat di Masjid al-Haram atau Masjid al-Nabawi, maka itu tetap hanya menggugurkan satu solat sahaja.” (Lihat Fath al-Bari, 4/191)

Justeru, kami nyatakan bahawa sememangnya terdapat kelebihan yang besar bagi sesiapa yang solat di Masjid al-Haram. Namun, ia tidaklah menggugurkan keseluruhan kewajiban solat yang telah ditinggalkan.

Walaupun begitu, hendaklah kita yakin rahmat Allah SWT amatlah luas apabila disertai dengan taubat nasuha serta qadha’nya solat yang luput, maka kita hanya mengharap kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT itu bersifat Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Banyakkanlah beristighfar, antaranya dengan menyebut: 

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendirikan solat.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H